Assalamualaikum dan salam sejahtera warganet semua. Aku kenalkan diriku Suhaila (bukan nama sebenar).
Aku sekadar ingin berkongsi cerita berkaitan diriku sendiri berkaitan bercinta tak semestinya memiliki.
Ceritanya bermula pada tahun 2018, aku berkenalan dengan seorang lelaki yang aku namakan dia S, seorang anak lelaki tunggal yang mempunyai kerjaya tetap, dan tidak merokok. Semasa awal perkenalan aku dengan S, S tiada kenderaan lain selain motorsikal.
Aku yang dahulu menghulurkan salam perkenalan kepada S dan sehinggalah dari hubungan kawan menjadi kekasih.
Sedar tak sedar eah tersuka pulakkan, aku susah ya untuk jatuh hati dengan lelaki sebab boleh dikatakan seorang yang memilih pasangan hidup. Tapi bukanlah rupa yang menjadi faktor utama.
Sepanjang tempoh perkenalan aku boleh gambarkan S adalah seorang yang baik terhadap aku.
Untuk pengetahuan semasa dalam tempoh perkenalan aku dan S sudah pun berada di penguhujung 20-an. Jadi dari dari tahun berganti tahun aku selalu bertanyakan S, hala tuju hubungan kami.
Dan S pula seperti tidak ada apa-apa persiapan tentang soalan yang aku tanya. Setiap tahun aku akan tanyakan kepada S, kita ni bila lagi nak mendirikan rumah tangga.
Seperti biasa S akan balas dengan cara nak elak dari soalan yang aku tanya. Contohnya tertidur dan keesokkan hari S akan whatsapp aku tanpa ada rasa bersalah kerana tidak menjawab pertanyaanku atau S akan jawab macam ni.
Aku : agak kita bila lagi?
S : saya tak suka kalau orang paksa saya.
Kau rasa? Aku rasakan setiap pertanyaan aku, rundingan untuk berumah tangga tu gagal, aku rasa sedih sangat. Apa lah lagi yang tak kena dengan S ni.
Aku menunggu dari 2018, 2019, 2020, 2021, dan tahun 2022 adalah tahun yang terakhir aku berikan peluang kepada S. A
ku berikan S peluang dari tahun ke tahun, mana tahu S akan berikan tarikh bila rombongan meminang akan datang. Hmm tapi hampa. S tetap dengan pendirian dia.
S 2 tahun lebih tua dari aku. Aku bukan mengejar umur tapi memandangkan faktor tempoh perkenalan kami sudah pun menganjak ke tahun yang ke-5 bukan?
Tak cukup lagikah dengan apa yang dah aku korbankan semasa dalam tempoh berkawan dengan dia. Teman ke sana ke sini tanpa mengira waktu. Minta tolong dengan aku, tak pernah aku tolak kalau dia minta untuk aku tolong dia.
Bab kewangan pun aku tak berkira dengan dia. Aku pergi mana-mana sahaja memang buah tangan untuk dia mesti ada.
Sehinggalah aku tanpa sengaja berkenalan dengan seorang lagi jejaka yang aku namakan dia N. Berkenalan dengan N pada bulan Mac 2022.
N adalah lelaki yang berfikiran lebih matang mungkin atas faktor umur juga. N sangat mengambil berat tentang diriku, ada kerjaya tetap dan juga tidak merokok. Susah ya nak cari yang tidak merokok zaman sekarang. Bukan semua tapi jarang-jarang ada.
Berkenalan tak sampai sebulan N berterus terang dengan aku kalau aku setuju dia nak tamatkan zaman bujang dengan aku. Orang lain yang aku ajak kawin, yang lain pulak yang beria nak hantar rombongan.
Nak dipendekkan cerita pada masa yang sama S masih lagi dengan pendirian dia. Dia masih yakin yang aku takkan cari yang lain. Dah kalau macam ni punya perangai ada lagi kah perempuan yang nak menunggu. Kecewa sungguh aku dengan sikap S.
Aku : betul tak mau lagi tahun ni?
S : tak tau la nak bagitau macam mana lagi. Tapi kalau tak boleh nak tunggu lagi, tak apa lah, nak buat macam mana.
Kalau korang di tempat aku, apa agak tindakan korang ya dengan S ni?
Aku masih ragu-ragu dengan perasaan aku sendiri. Nak pilih yang cinta tapi tu satu usaha nak halalkan aku pun tiada. Yang satu lagi pulak dah macam tergesa- gesa pulak ajak aku menikah. Tapi benda baikkan, kenapa nak dilewat-lewatkan.
Jiwaku runsing. Dan akhirnya aku memilih untuk berkongsi cerita ini dengan ibu aku sendiri. Ibuku tidak menyebelahi mana-mana pihak. Cuma ibuku minta aku untuk membuat istikarah.
Tak sampai sebulan aku istikarah akhirnya aku rasakan yang aku sudah mendapat jawapan, jalan mana yang akanku pilih. Hatiku berat untuk buat keputusan. Keputusan yang akan melukakan hati S.
Akhirnya aku menerima laraman N. Walaupun kami baru saja berkenalan tapi aku percaya N boleh jaga aku dengan baik.
S dapat tahu yang aku dan N akan bertunang. Aku ingatkan S akan bersahaja, tapi tidak. Nampak jiwa kacau juga di status whatsapp milik S.
Dah terhantuk baru nak meroyan. Tak habis-habis nak salahkan aku dalam perkara ini. Selalu salahkan diriku kerana buat dia begitu. Curang dibelakang dia. S meminta untuk diberi peluang kedua dengan mulut semata-mata. Tiada usaha yang lain.
Ini juga adalah satu kesilapan aku. Aku hulurkan salam perkenalan kepada S dengan baik. Tapi aku tutup perkenalan tu dengan cara yang kurang sopan bagiku. Tanpa ucapan salam perpisahan. Sedihkan cerita cinta aku ni. Kalau korang sedih, aku yang hadap ni lagi sedih.
Sebelum aku menerima pinangan dari N, aku sudah pun berfikir jauh ke hadapan. Kalau S datang balik bagaimana dengan perasaan aku, bagaimana dengan N. Adakah aku jadikan N sebagai pilihan kedua.
Aku pun tidak tahu dari mana kekuatan itu datang. Mungkin Allah sudah pun tetapkan ujian hidupku begitu. Aku tetap dengan pendirian aku untuk memilih N sebagai suamiku. Hujung tahun 2022 akhirnya kami pun disatukan dengan ikatan pernikahan. Alhamdulillah.
Aku masih menyimpan number telephone S. Aku sembunyikan semua status whatsappku dari S. sehinggalah pada tahun 2024, S memuat naik satu photo akad nikah di whatsappnya.
Aku gembira melihat akhirnya S juga menamatkan zaman bujangnya diusia pertengahan 30-an. Walaupun kenangan itu sukar untuk aku padamkan. Tapi aku gagahkan juga untuk titipkan ucapan tahniah dan selamat pengantin baru untuk S dengan pilihannya sendiri.
Biarlah masa yang padamkan memori yang pernah ada dulu.
Korang doakan aku dan S ya. Doakan kami bahagia hingga ke syurga dengan pasangan masing-masing. Korang jangan lah kecam aku, nanti aku koyak pulak. Hihi..
– Suhaila (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit