Berdamailah Dengan Takdir

Assalamualaikum. Mungkin kisah tentang jodoh telah banyak dikongsi sebelum ini. Namun, kisah ini aku ceritakan untuk berkongsi beberapa pengajaran penting buat mereka yang masih belum bertemu jodoh.

Aku berusia awal 30an. Telah berumahtangga dan dikurniakan 2 orang cahaya mata. Ini adalah kisah tentang perjalanan jodohku. Sejak dari zaman belajar, aku merupakan seorang yang agak pemalu. Hanya mempunyai beberapa orang kawan baik perempuan, dan tidak ada kawan lelaki.

Ketika usiaku dalam lingkungan 20an, ada jugalah aku berkenalan dgn beberapa org lelaki. Prinsipku, aku tidak suka berkawan lama-lama dan bukan untuk suka-suka. Tapi, memang bukan jodohku, akhirnya perkenalanku dengan beberapa orang lelaki itu berakhir begitu sahaja.

Ketika usiaku menghampiri 30an, aku mula sedikit risau. Jodoh belum kunjung tiba. Kawan-kawan seusiaku telah lama berkahwin bahkan sudah ada 2 3 orang anak.

Ditakdirkan Allah, aku berkenalan dengan seorang lelaki. Dia aku gelarkan sebagai A. Pada mulanya aku tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap A. Tapi semakin lama aku mengenalnya, aku rasakan bahawa A seorang lelaki yang baik, dan ada ciri-ciri lelaki idamanku.

Dia menjaga solatnya, rajin berpuasa sunat, dan anak yang taat kepada ibu bapanya. Ketika itu, aku rasakan bahawa aku sangat bertuah. Ku rasakan doaku selama ini telah dimakbulkan Allah. Lama kelamaan, aku telah menyimpan harapan supaya hubunganku dan A membawa ke jinjang pelamin.

Namun, kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan. Pada saat hati sedang berbunga rindu, aku rasakan bahawa A semakin menjauhkan diri. Aku cuba menyedapkan hati menyatakan bahawa dia sibuk. Tapi aku tidak dapat menipu hatiku sendiri. Aku sedar bahawa memang A semakin menjauh dan aku sangat takut kehilangannya. Aku ada juga cuba bertanyakan kepadanya, tetapi tiada jawapan yang aku perolehi.

Setelah keadaan itu berlarutan beberapa lama, aku rasa makin terdesak. Aku ingin dia menjadi milikku. Dan aku tidak sanggup untuk melepaskan orang sebaiknya. Setiap doaku tidak aku lupa untuk meminta supaya dia dijodohkan denganku. Akhirnya aku ceritakan perkara itu kepada ibuku. Mengharapkan doa seorang ibu kerana aku yakin doa seorang ibu tiada hijabnya di sisi Allah.

Ku sangkakan keadaan akan bertambah baik. Namun, aku tetap merasakan bahawa dia makin menjauh dan menjauh. Kenapa begini? Belum makbulkah doa ibuku? Tidak keruan aku jadinya.

Hinggalah suatu hari ibuku menyatakan kepadaku bahawa dia mendoakan jika benar A itu baik untukku, maka dekatkanlah. Jika bukan, jauhkan dan gantikan dengan yang lebih baik. Ketika mendengarkan itu,hatiku membentak. Mengapa ibu doa begitu? Kenapa tidak didoakan supaya A berjodoh denganku? Teruk bukan…

Kemudian, pada satu hari selepas bersolat, aku duduk menenangkan diri. Aku imbas kembali semuanya. Dan aku berlaku jujur dengan diri sendiri. Ya benar, memang aku sayangkan A. Tapi benarkah dia jodohku? Benarkah dia yang terbaik untukku? Kenapa Allah tidak memakbulkan doaku? Buat seketika aku terhenyak.

Sebenarnya bukanlah Allah tidak memakbulkan doaku. Dia sebenarnya telah memakbulkan doa ibuku. Allah telah jauhkan A daripadaku, pasti kerana dia bukanlah yang terbaik untukku. Bagai tersedar dari lamunan, aku terpaku bila terkenangkan betapa sombong dan angkuhnya aku sebagai hamba.

Aku meminta sesuatu yang aku inginkan tanpa menyerahkan kemahuanku pada pengetahuan-Nya. Siapa yang lebih tahu apa yang terbaik untukku? Tiada lain kecuali Allah! Habis tu, kenapa aku terus mendesak agar Allah menjodohkan aku dengan A tanpa menyerahkan yang terbaik di tangan-Nya?

Mulai detik itu, aku bulatkan tekad. Jika inilah petanda yang A bukanlah untukku, aku harus redha dengan takdirNya. Saat itu, aku membuat keputusan untuk melepaskan A. Biarlah dia dengan pilihannya. Sakit, memang sakit. Hanya yang pernah merasai akan memahami. Sakitnya bila terpaksa melepaskan orang yang kita sayang.

Tapi ketika itu, aku niatkan dalam hati, Ya Allah aku lepaskan dia keranaMu. Berikanlah kepadaku ganti yang lebih baik daripadanya. Waktu itu adalah waktu-waktu yang paling sukar dalam hidupku. Seolah kakiku terlalu lemah untuk berdiri. Tapi, kerana Allah aku cuba bangkit, mencari semula kekuatan diri.

Hari-hari selepas itu, aku isi dengan solat-solat sunat dan amalan-amalan yang lain. Aku beroleh ketenangan dan kekuatan melalui sujud-sujud dan doa-doaku. Baruku sedar aku telah lama terlalai. Dalam setiap sujudku, tidak pernah aku lupa untuk meminta diberi kekuatan, dan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Aku juga meminta kepada Allah untuk menjauhkan A daripadaku sekiranya benar dia bukanlah untukku. Itulah doaku setiap kali. Bukan saja di waktu solat, bahkan juga ketika saat-saat makbulnya doa seperti ketika hujan turun, ketika mendengar ayam berkokok, juga ketika bermusafir. Aku doa sungguh-sungguh.

Aku sangat yakin Allah akan memakbulkan doaku. Dan Allah juga akan berikan ganti yang lebih baik, kerana Dialah yang maha penyayang dan maha mengasihi. Aku percaya Dia tidak akan mengambil sesuatu daripada kita melainkan Dia akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Dan sepertimana doaku, A hilang dari hidupku tanpa khabar berita. Aku redha, jika itulah yang Allah pilih untukku.

Allah maha Besar. Genap 40 hari kemudian, aku berkenalan dengan seorang lelaki yang lain. Aku namakan dia H. Perkenalan kami agak singkat. Seminggu berkenalan, aku ditemukan dengan ibunya. Dua bulan kemudian kami bertunang. Tiga bulan mengikat tali pertunangan kami bernikah. Alhamdulillah, sangat mudah.

Kini, setelah beberapa tahun melayari rumahtangga, hati budi H semakin aku kenali. Benarlah, Allah tidak akan sesekali menganiayai hambaNya. Sesuatu yang diambilnya dari kita, pasti akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik. A memang seorang lelaki yang baik, tetapi H lah yang terbaik untukku.

Aku mungkin mahukan A (sebelum ini), tapi Allah Maha Tahu bahawa H lah yang aku perlukan. Aku bersyukur dengan ketentuanNya. Betapa aku berasakan bahawa dialah jodoh yang dipilih oleh Allah untukku. Sungguh, baiknya Engkau Ya Allah.

Kini, bila aku renung kembali, tidak pernah aku kesal dengan apa yang terjadi. Perkenalanku dengan A walaupun berakhir dengan keperitan, telah mengajar ku untuk mendekatkan diri kepada Allah. Di sini ada beberapa pengajaran yang aku ingin kongsikan.

1. Berdamailah dengan takdir. Yakinlah pada ketentuan Allah. Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Walaupun kita berasa sakit sekarang, teruskanlah melangkah. Yakinlah, anda akan lihat hikmahnya nanti.

2. Serahkan urusan hidupmu kepada Allah. Jangan diminta si polan si polan itu menjadi jodoh kita. Tapi mintalah jika benar si polan baik untuk kita, dekatkanlah. Jika tidak, jauhkanlah. Dan redha lah dengan apa sahaja ‘jawapan’ yang diterima.

3. Jangan membelakangkan ibu bapamu dalam urusan hidupmu. Doa seorang ibu itu sangat makbul. Mulakanlah sesuatu yang penting dalam hidupmu dengan restu seorang ibu. Tiada ibu bapa yg inginkan perkara buruk berlaku terhadap anaknya.

4. Belajarlah melepaskan. Boleh berusaha, tapi jika perkara itu terlalu sakit untuk diteruskan, tidak salah untuk dilepaskan. Mungkin sesuatu yg kita rasakan baik untuk kita sebenarnya buruk. Dan sesuatu yang dirasakan buruk sebenarnya baik untuk kita.

5. Allah itu mengikut sangkaan hambaNya. Fikirlah yang baik-baik, insyaAllah baiklah akhirnya.

6. Jangan berkahwin kerana ikut-ikutan. Berkahwinlah kerana Allah. Berkahwinlah apabila telah benar-benar bersedia.

7. Jika kamu jatuh kerana manusia, bangkitlah kerana Allah. Carilah sisa-sisa kekuatanmu di setiap sujud dan rintihan doamu. Sesungguhnya Dia lah sumber segala kekuatan.

– Yaya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *