Dalam dunia kejuruteraan dan penyelidikan, tidak semua pencapaian hebat bermula dari sesuatu yang baharu. Banyak kali, ia lahir dari kesinambungan daripada usaha generasi terdahulu yang meletakkan batu asas untuk kita sambung, perbaiki dan sempurnakan.
Sebagai R&D biomedical engineer yang kini berdiri di barisan hadapan teknologi perubatan, saya sering diingatkan bahawa pencapaian saya hari ini bukanlah hasil tangan saya seorang. Ia adalah hasil tangan ramai yang telah mencurah masa, keringat, dan fikiran jauh lebih awal daripada saya.
Saya cuma menyambung cerita yang mereka mulakan dan berharap satu hari nanti, akan ada yang menyambung cerita saya pula.
Bekerja dalam industri berimpak tinggi seperti Siemens Healthineers telah membuka mata saya tentang betapa telitinya proses inovasi. Ia bukan sekadar tentang teknologi canggih atau AI pintar.
Hal itu juga tentang menghargai setiap fasa R&D dari kajian pra-klinikal, pembangunan prototaip, sehinggalah kepada clinical trial yang panjang dan rumit.
Setiap langkah memerlukan ilmu yang diwarisi, diuji, dan akhirnya diperbaharui oleh mereka yang benar-benar memahami erti kesinambungan dalam inovasi.
Ia adalah usaha kolektif yang memerlukan disiplin saintifik dan kekuatan moral, kerana setiap produk yang kami bangunkan akan memberi kesan langsung kepada kehidupan pesakit di seluruh dunia.
Namun dalam dunia luar, ramai beranggapan kami ini bebas untuk berkolaborasi sesuka hati, seolah-olah posisi kami hanya sekadar pangkat dan kepakaran.
Hakikatnya, bekerja di syarikat bertaraf global bermaksud amanah ilmu dan teknologi bukan milik peribadi. Ia tanggungjawab yang datang bersama batasan, etika, dan disiplin.
Sebab itulah saya memilih untuk menolak mana-mana pelawaan kerjasama secara individu yang tidak melalui saluran rasmi. Bukan kerana sombong, tetapi kerana saya tahu tanggungjawab saya bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga terhadap legasi yang saya wakili.
Bila ramai pihak dari syarikat perunding di Malaysia mengetahui latar belakang pendidikan saya seperti ini.
Bachelor of Science in Biomedical Engineering & minor in Bioinformatics, Master of Sciences in Machine Learning in Medical Imaging (tajuk tesis: Machine Learning for Feature Extraction and Anomaly Detection in Computed Tomography Colonography),
PhD in Colorectal Cancer Screening (tajuk tesis: AI Driven Innovation in 4 Dimensional Computed Tomography Colonography for Optimized Colorectal Cancer Screening and Early Diagnosis),
Dan Master of Sciences in Deep Learning for Digital Pathology (tajuk tesis: Deep Learning for Morphological Classification and Anomaly Detection in Fully Automated Hematology Analyzer Systems).
Mereka menyangka saya bebas memberikan sumbangan teknikal pada bila-bila masa. Tapi hakikatnya, setiap pengetahuan itu lahir daripada dana, masa, dan usaha kolektif saya kerja dan bukan milik mutlak saya sendiri.
Kadang-kadang kita lupa bahawa kerja yang kita anggap kecil hari ini, boleh menjadi pengubah arah masa depan suatu hari nanti. Sama seperti saya yang kini sedang membangunkan sistem agentic AI untuk humanoid klinikal.
Humanoid klinikal ini akan berfungsi untuk membantu doktor dalam memberi konsultasi kepada pesakit. Saya sedar teknologi ini tidak akan wujud tanpa hasil usaha mereka yang telah lama pergi.
Dari pembangunan mesin hematologi automatik untuk meningkatkan kecekapan dan kecepatan dalam proses analisis diagnosis penyakit berkaitan darah sehinggalah ke 4D Computed Tomography Colonography untuk saringan kanser kolorektal yang lebih jelas imej diagnosis.
Semua ini adalah kesinambungan perjuangan yang panjang. Teknologi yang bersifat disrupsi hari ini lahir daripada dokumen teknikal yang ditulis tiga dekad lalu dan eksperimen yang gagal dirakam dalam jurnal yang hampir dilupakan.
Akhirnya kata daripada saya.
Adanya jurutera lama maka adalah jurutera baru.
Adanya kerja lama maka adalah kerja baru.
Sesuatu perkembangan teknologi bermula dari mereka yang sudah meninggal dunia.
Salam daripada saya dan isteri dari bumi Erlangen, German.
– Angah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit