Berdosakah Aku?

Assalamualaikum semua.. Nama aku Lara Amanda, Seorang gadis yang berusia pertengahan 20-an. Dan aku juga berasal dari selatan tanah air. Belum berkahwin tapi aku sedang merancang untuk berkahwin pada tahun ini (Doakan aku).

Aku seorang gadis yang dibesarkan dalam keluarga yang berantakan. Tidak mendapat kasih sayang yang sebetulnya dari ibu dan bapa. Tapi aku redha,

Sabar dalam menjalani ujian kerana aku harus kuat demi adik-adik aku. Pertengkaran demi pertengkaran berlaku antara ibu dan ayah aku,

Dan yang menjadi mangsa adalah aku dan adik-adik. Tapi yang paling teruk di ‘torture’ mental dan fizikal pastinya adalah aku.

Hari-hari aku dipenuhi cacian dan makian sang ibu. Ayah? Ketika itu ayah berkahwin dengan perempuan lain, Dan jarang berada di rumah.

Sekiranya dia berada di rumah, Nasib kami adik-beradik akan terbela, Kerana dia amat mengasihi anak-anaknya. Tapi kenyataan tetap sama masalah itu berpunca dari insan yang bergelar ayah.

Yang melepaskan segala tanggungjawab kepada sang ibu dan akhirnya anak yang tiada bersalah menjadi mangsa.

Aku seorang anak pastinya kasihan mengenang nasib seorang ibu, Tapi apakan daya seorang ibu seakan-akan tidak memahami dan sering melemparkan tuduhan bahawa aku sentiasa menyebelahkan ayah. Dari situ aku sentiasa dihina,

Tambah-tambah dihadapan adik-beradiknya. ” Anak tak guna” ” Anak tak derhaka perangai macam bapak s**l” ” Perangai macam c*l*k* ”

Dan banyak lagi kata-kata yang tak boleh aku tuliskan disini.

Tika menulis ini pun hati aku bagaikan disiat-siat, Terasa hinanya aku sebagai seorang anak. Dipukul didepan adik bradik dan saudara mara sudah menjadi kebiasaan untuk aku sejak dari kecil.

Disimbah air ke muka, Ditampar, Diherdik dan disepak . Aku sudah biasa. Sehinggakan kini hati aku bukan seperti dulu lagi.

Aku menjadi seorang yang keras, Hidup aku pastinya untuk Tuhanku dan adik-adik aku.

Kini ibuku sudah semakin menua tetapi perangainya tetap sama, Kata hinaan cercaan bagaikan benda biasa dimulutnya. Apabila dia tenang dia akan buat macam biasa sedangkan hati kita sakit tak terkata.

Aku tidak pernah menderhakai dia, Tak pernah sekalipun aku meninggalkan doa untuk dia, Kerana aku sedar bagaimana pun besar kesalahan dia, Dia tetap ibu yang melahirkan aku dan aku tidak akan pernah terbalas akan jasa itu, Sakit dia aku yang jaga,

Ke klinik kah ke hospital kah tetap aku yang membawa, Duit tidak pernah putus aku kirimkan. Cumanya demi Tuhan hati ini tak mampu nak rasa sayang sepertimana kita cintakan seseorang, Tak mampu. Kata-kata hinaan bagaikan terngiang-ngiang.

Berdosakah aku wahai Tuhan? Aku menjadi seorang yang tidak pandai ekspresikan kasih sayang bila aku bersama dengan insan bergelar ibu.

Hati aku telah jauh, Hati aku sudah keras dek kerana kata-kata seorang ibu. Ini adalah ujian yang paling besar untuk aku, Kadang cemburu melihat orang boleh bergurau bersama ibu, Tapi aku mungkin orang nampak bahagia tapi nyatanya hati aku kosong tanpa kata.

Dan aku sedang berusaha kearah perkahwinan pada tahun 2022 ini, Tapi aku tidak pernah mengidolakan ibu aku. Cukuplah tradisi memperbodohkan anak, Berkasar dengan anak, Memukul anak dikhalayak ramai, Melemparkan kata-kata kesat kepada anak, Cukuplah!

Cukup berakhir dengan aku sahaja. Anak adalah amanah untuk dijaga dengan baik, Kanak-kanak adalah fasa dimana kita perlu berlembut dengan anak.

Berlembut, Peluk dan ucapkan kata-kata sayang kepada anak, Doakan yang baik-baik untuk anak pastinya anak akan sentiasa mengingati kita sebagai seorang ibu.

Adakah cukup bahagia bagi insan yang bernama ibu sekiranya anak lebih selesa bersama kawan-kawan berbanding dengan ibu? Hebatkah seorang ibu membuatkan anak begitu takut sehingga langsung tiada rasa untuk bercakap? Cukuplah hentikan budaya begini.

Herdikan cacian, akan merosakan/ merencatkan lagi sistem IQ anak-anak. Mereka akan jadi hilang keyakinan diri dan Menjadi takut untuk mengutarakan pendapat.

Sahabat-sahabat sekalian, Untuk bergelar ibu pastikan ilmu di dada cukup dahulu, Sekiranya tidak anak yang tidak bersalah pastinya akan jadi mangsa keadaan.

Bukan anak-anak sahaja yang berdosa dengan ibu bapa tetapi ibu dan bapa juga ada yang menanggung dosa dengan anak.

Hati-hati segala apa yang kita lakukan pastinya akan dipertangungjawabkan nanti, Jadilah ibu yang sentiasa memberi kata-kata yang baik untuk anak-anak.

Aku sekadar meluahkan rasa yang terpendam, Tidaklah semua yang ku ceritakan. Tapi inilah bait-bait yang telah aku karang supaya menjadi nasihat di masa depan.

Wahai ibu dan wahai bakal-bakal menjadi ibu santunilah anakmu dengan sebaik-baiknya mengikut apa yang diajarkan agama agar hidup mereka tenang dan bahagia.

Jangan lupa berdoalah supaya dikurniakan suami yang bertanggungjawab, Berilmu agama, dan suami yang sentiasa susah senang bersama, Doa mohon pada Allah dengan sungguh-sungguh, Kerana sungguh malang bagi wanita apabila mendapat seorang suami yang salah.

Waiyya Zubillah.

Salam Sayang,

– Lara Amanda (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *