Berehatlah

Ini bukan confession tapi lebih kepada luahan.

Termasuk aku, kami ada 3 adik beradik. Aku yang paling sulung dan ada sorang adik lelaki dan adik perempuan.

Adik perempuan aku yang bongsu ni dia lagi sekolah rendah memang sakit. Bab keluar masuk hospital jangan cakap, hospital tu dah jadi rumah kedua dia.

Ayah aku sebab penat dengan kos adik aku dan hal rumah dia lari tinggalkan mak dan kami adik beradik.

Sejujurnya untuk rawatan adik aku bukan setakat makan duit tapi makan masa dan tenaga.

Terus terang cakap aku dulu masa belum boleh fikir panjang. Zaman sekolah dulu aku macam penat dan letih dengan adik aku. Aku macam “patutlah ayah lari”.

Tapi makin lama aku makin sedih dengan adik aku. Hidup tak macam orang lain, dia terpaksa terperuk atas katil dan kadang tu baru kami bawa dia jalan guna wheelchair.

Yang paling aku sedih, adik aku dia banyak kali cakap, ‘dia minta maaf’.

Dari dulu aku macam penat dan letih, tapi aku lebih sedih bila kenangkan nasib adik aku.

Kami berempat teruskan hidup macam biasa. Bila aku dah tamat belajar dan mula kerjaya & masa tu mak meninggal dunia.

Bila mak aku meninggal aku tengok dan tenung balik kisah hidup mak aku. Aku cuma mampu menangis.

Hidup dia susah, kerja keluar sebelum subuh, cuti cuma setahun tu tak sampai seminggu, itu pun Raya Adilfitri dan Raya haji. Hari lain kena kerja, kalau dah settle hal adik lepastu kena masuk kerja balik.

Menangis aku bila fikir tak pernah dapat bawa mak makan sedap, bawa jalan2 pergi bercuti, bawa mak tenangkan fikiran.

Cuma mampu menangis dan menjerit dalam hati bila fikir hidup mak berhenti setakat itu sahaja.

Kami teruskan hidup bertiga. Sewa rumah tempat yang agak dekat dengan hospital supaya nak senang keluar masuk.

Bila aku dah ada duit sikit, aku bawa adik-adik aku pergi bercuti.. dekat je dan yang paling penting ada accessibility sebab adik aku memang akan pakai wheelchair,

Dan negara kita ni hakikatnya memang payah dan tak mesra pengguna kerusi roda.

Adik aku yang sorang tu pun dah tamat belajar dan kerja.

Penghujung 2024. Aku dah masuk 30an.. Waktu ni adik bongsu aku cakap, “along, adik penat along”

Aku cuma cakap dengan dia, “takpe tidur dulu”

Tapi adik aku cakap dia penat. Dia cakap letih dah lebih 20 tahun hidup dia kekal sama.

Sambil adik aku baring, sambil dia menangis, cakap dia minta maaf menyusahkan semua orang.

Aku cuma cakap dengan dia tak apa benda dah jadi, pasrah sahaja.

Tak sampai 2 bulan masuk tahun 2025 adik aku meninggal dunia.

Aku sedih dan dalam masa yang sama rasa dia perit sangat sebab mak dan adik aku pergi tanpa sepenuhnya dapat rasa nikmat hidup.

Rehat lah adik, rehatlah mak.

– Hisyam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *