Dengan nama Tuhanku, Allah saya menulis. Semasa di sekolah menengah sejak tingkatan 1, saya kerap dibuli, dipulaukan, dimalukan dan dikutuk secara lisan beramai-ramai kerana perbezaan personaliti dan pendapat.
Cara saya berjalan juga diberi kritikan asbab saya suka berjalan laju.
Masih segar dalam ingatan saya ketika tingkatan 1 di asrama, baju-baju saya digantung di siling tingkat 2 kemudian ditertawakan beramai-ramai.
Setiap kali dibuli saya lantang bersuara mempertahankan diri, malangnya para pembuli masih meneruskan kegiatan buli sehingga tingkatan 5.
Tidak perlu saya ceritakan pengalaman pahit dengan lebih lanjut. Tidak ada manusia dalam dunia ini yang suka dimarahi, apatah lagi kerap dilukakan dengan lisan yang tajam bak mata pedang.
Satu sifat pembuli adalah, mereka pengecut kerana mereka hanya mahu berhadapan dengan mangsa buli dalam kumpulan.
Selepas meninggalkan alam persekolahan, kehidupan saya tidak pernah tenang bahkan emosi dan mental saya cedera teruk.
Saya kerap bermimpi kejadian dibuli, kejadian sangat jelas berlaku seperti melihat video depan mata sehingga menyebabkan saya kerap menjerit separa sedar sehingga terjaga.
Disebabkan kerap mimpi buruk, saya mengalami ketakutan untuk tidur pada waktu malam dan takut untuk tidur ketika menaiki pengangkutan awam kerana risau saya akan menjerit.
Seperti mangsa buli yang lain, saya mengalami kemurungan yang teruk, sentiasa ingin mati serta pernah hampir meninggal dalam kemalangan ketika memandu, semuanya berpunca kerana kemurungan.
Tidak mahu kalah pada kehidupan yang pahit, saya bangkit dan mendaftarkan diri di klinik psikiatri.
Langit kelihatan cerah sebentar tetapi tidak tahan lama, berita-berita yang melaporkan kejadian buli membuatkan saya terkenang kejadian pahit, mimpi buruk kerap menjengah, kemarahan dan dendam makin bertambah.
Dengan izin tuhanku Allah, Dia membuka lorong agar saya bertemu dengan kaunselor Puan N. A. M. J. A. Pertemuan dengan Puan NAMJA memberi nafas baru kepada kehidupan saya.
Perlu saya jelaskan dengan lebih lanjut, dalam mimpi-mimpi buruk, saya akan lantang bersuara bahawa saya benci dibuli dan ingin berpindah sekolah.
Mimpi seseorang adalah pemikiran separa sedar yang cuba memproses emosi dan fikiran yang seseorang alami sepanjang hari.
Selepas berjumpa dengan Puan NAMJA, saya mengambil keputusan untuk menghubungi ketua pembuli dan rakan- rakan subahat.
Saya nyatakan dengan jelas kesan-kesan lisan dan perbuatan mereka semasa sekolah menengah, juga harapan agar mereka bertaubat supaya kifarah dosa tidak mengenai anak-anak mereka.
Saya memohon kemaafan dan berterima kasih atas kesudian mereka membaca coretan saya.
Selepas meluahkan, bara api dendam dalam hati mengecil dan hati saya sangat lapang. Saya tidak sangka ramai sangat kawan sekolah meminta maaf dan mendoakan kesembuhan saya.
Apa yang lebih menarik, setakat ini dua orang mangsa buli berani meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati dan mampu menarik nafas lega.
Jika anda mahu meluahkan perasaan kepada bekas pembuli anda, saya kongsikan sedikit ilmu dari Puan NAMJA:
1. Perlu semangat yang kuat kerana tidak mudah untuk seseorang punya keberanian untuk meluahkan.
2. Menulis objektif yang ingin dicapai. Sebagai contoh, saya mahu pembuli tahu perbuatan masa lampau mereka memberi parut dan trauma kepada emosi saya.
3. Senaraikan reaksi positif, negatif dan sikap berkecuali (neutral) dari bekas pembuli anda.
Hal ini sangat penting supaya jika anda menerima reaksi negatif atau pembuli ‘blue tick’, anda boleh mengelak pergaduhan dan mengeruhkan lagi hubungan. Anda juga boleh berlatih di hadapan cermin lakonan pelbagai reaksi yang bakal diterima.
4. Selepas sesi luahan hati, senaraikan cara anda mahu meneruskan hidup dengan aman. Melupakan kejadian buruk adalah tidak mudah, tetapi no 4 ini penting supaya anda boleh hidup dengan aman tanpa api kemarahan dan dendam.
Tujuan saya menulis secara umum bukanlah untuk memalukan mana-mana pihak, tetapi jika anda adalah salah satu mangsa buli fizikal atau mental atau kedua-duanya, dan anda menyimpan dendam,
Mudah-mudahan cerita saya ini memberi kekuatan untuk anda meluahkan implikasi buruk kepada si pembuli.
Harapan saya, semoga para pembuli bertaubat dan kepada mangsa buli, semoga kalian dapat hidup dengan lebih tenang dan dapat buka helaian hidup yang baru.
Saya dengan rendah hati menyeru agar ibu bapa dan para guru mengambil cakna perubahan emosi anak-anak kandung atau anak didik anda.
Akhir kata, saya berterima kasih kepada ibu bapa saya kerana memberikan nama yang bermaksud berani. Saya berani bersuara di sini untuk memberi kesedaran penyakit mental.
Ingatlah kisah saya ini mudah-mudahan ianya memberi semangat kepada kalian yang dibuli supaya terus kuat meneruskan hidup dan melupakan dendam.
Jika emosi anda sakit, sila kumpul keberanian untuk berjumpa doktor psikiatri atau kaunselor.
– Hanis (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit