Berhenti Bersedih

Saya suka membaca IIMUC kerana kepelbagaian topik dan isu tentang kehidupan individu, yang sekali-sekala saya kaitkan dengan kecelaruan diri saya sendiri, untuk merasa lega bahawa masalah saya bukan masalah terpencil kerana ia juga di rasa oleh individu-individu lain dan sebagainya. Penulisan saya ini adalah khas di tujukan kepada mereka-mereka yang sedang celaru, jiwa kacau, merasakan dunia ini kejam, sedang gundah-gulana dan segala macam perasaan resah yang berat. Juga relevan kepada pembaca-pembaca yang sedang bahagia dengan hidup dunia.

Apa yang saya perhatikan, masalah kecelaruan tentang carian jodoh bagi yang bujang, kecelaruan masalah rumah tangga bagi yang berjodoh, masalah dengan ibu bapa bagi seorang anak, masalah dengan teman serumah, sepejabat, dengan bos, dengan kakak senior di tempat kerja, masalah-masalah kecelaruan manusia harian biasanya mendapat sambutan hebat dan menjadi diskusi rancak di sini.

Sejujurnya, saya juga tidak lepas dengan masalah-masalah hidup yang bila dicampur pula dengan bancuhan kimia hormon badan yang dipam jantung bersama darah naik ke otak, seolah-olah bingung dan terlepas pandang dengan tujuan hidup kita yang sebenar. Konteks yang saya akan bicarakan ini adalah berdasarkan konteks kehidupan ajaran Islam ( jika ada pembaca non-Muslim), iaitu, konteks kenapa hidupnya kita di dunia. Saya percaya, jika kita merenung kembali dan tersedar dari mimpi, tersedar bahawa kita diwujudkan di dunia ini untuk menjadi Khalifah Allah di muka bumi, masalah jodoh, masalah putus cinta, masalah dikhianati dan masalah-masalah “besar” lain akan terasa kecil sebesar kuman.

Saya mahu bertanya, berapa ramai kita di sini yang sedar akan ujudnya diri kita ini adalah gabungan dari jasad fizikal yang diberi pinjam sementara yang mempunyai tarikh luput atau “mortal” ; dan juga roh yang bersifat kekal dan abadi yang akan melintas ke alam selepas mati dan kekal di sana, “Immortal”. Berapa ramai yang tahu bahawa “kesedaran” dan gerak fikir minda ini adalah gabungan roh dan jasad, emosi yang bercampur baur ini adalah emosi yang diadun cantik oleh gabungan koktel hormon dan pengaruh alam di sekitar kita? Jadi, kenapa kita kalut kelam-kelibut dengan masalah-masalah dunia fizikal ini seolah-olah ia adalah batu besar menghempap kepala? Lupakah kita pada kita yang lagi satu, kita yang akan hidup immortal sebagai roh nanti. Apakah pengakhiran kita di sana, kerana kita sedia maklum masa hidup kita di dunia ini relatifnya sebesar zarah dengan masa hidup kita sebagai roh.

Persoalan saya di atas, mungkin boleh disalah ertikan sebagai seruan untuk sedar bahawa kita tidak perlukan kalut dunia fizikal tetapi fokus pada dunia akhirat. Bukan itu maksud saya. Emosi dan keputus-asaan terhadap kehidupan di dunia itu fitrah manusia tetapi jangan terlalu lama. Anda perlu sedar yang itu adalah salah satu dugaan yang mengalir didalam darah anda dengan pelbagai tindak balas kimia. Anda perlu sedar dari mimpi bahawa kita adalah Khalifah Allah. Khalifah Allah yang bagaikan satu cahaya yang bila bergerak, sekelilingnya juga akan cerah. Jika semangat kita padam dan kelam, sekeliling kita juga akan gelap hitam, tinggallah diri kita sebagai objek fizikal yang menunggu tamat tarikh luput sahaja, ibarat seketul batu yang sejuk.

Tugas kita sebagai Khalifah Allah, adalah untuk menambah baik kehidupan dunia dan alam sekeliling, dan diberikan amanah untuk jadi yang terbaik setakat mana kita mampu. Jadi, jangan tinggalkan dunia dan menganggap dunia ini tiada makna, pergi masuk kedalam gua bertapa untuk jadi manusia paling alim paling zuhud, jangan! Tinggalkan lah kesedihan dan kecelaruan emosi, tegapkan minda dan ayuh, timbalah ilmu pengetahuan dan jadilah penyumbang kepada umat manusia. Jadilah insan yang mewah dan senang hidupnya di dunia, dan juga senang dan mewah hidupnya di akhirat.

GST, budget 2018, taraf hidup tinggi, jodoh dari neraka, boleh di jadikan diskusi, tetapi cuba untuk berfikir jauh ke luar kotak, melepasi isu-isu yang kita sendiri tidak ada daya untuk mengubahnya, kecuali kita mempunyai kuasa. Jika anda seorang petani, jadilah petani terbaik! Jika seorang ibu atau bapa, jadilah ibu atau bapa yang boleh mendidik anak-anak berminda mantap, jika anda seorang anak muda yang masih mahu bertatih di dunia, bukalah minda, pergilah bergaul dan belajar tentang hidup, jadikan sepak terajang dunia sebagai motivasi diri untuk naik dan naik lagi. Jangan putus asa. Konsisten. Anda boleh bersedih, tapi jangan lama! Anda boleh meminta-minta tapi anda juga perlu berusaha!

1) Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)
2) Warhamni (sayangi aku)
3) Wajburnii (tutuplah aib-aibku)
4) Warfa’nii (angkatlah darjatku)
5) Warzuqnii (berilah aku rezeki)
6) Wahdinii (berilah aku petunjuk)
7) Wa’Aafinii (sihatkan aku)
8. Wa’fuannii (maafkan aku)

Jika mahu menghuraikan semua jadi agak panjang jadi saya hanya berikan contoh doa antara 2 sujud yang kita sebut setiap kali solat. Kita meminta 8 perkara itu, kita juga perlu berusaha untuk mendapatkan 8 perkara itu!

Saya tidak mahu menulis panjang, biar lah tulisan ini pendek tapi padat yang boleh membawa anda untuk berfikir. Untuk mereka yang sedang bersedih dan putus asa dalam hidup, bangkitlah! Untuk yang sedang ketawa, selesa tapi leka dengan dunia, sedarlah! Jika agak susah difahami, saya minta maaf. Semoga berjumpa lagi di tulisan akan datang wahai rakan-rakan Khalifah Allah. Bagi penulisan akan datang, jika penulisan ini di siarkan, saya akan menggunakan nama pena tetap. Assalamualaikum wbt…

– Pemetik Suis

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit