Assalamualaikum dan salam sejahtera. Nama aku Wiya (Bukan nama sebenar). Aku sekarang sedang submit surat berhenti kerja.
Mula-mula izinkan aku kenalkan sedikit sebanyak perkara tentang diri aku. Aku lulusan Ijazah dengan Kepujian dan memiliki result 2nd class upper. Aku sekarang berkerja di sebuah badan beruniform di Malaysia. Suami aku juga berkerja sama seperti aku cuma berbeza kawasan.
Kami telah PJJ hampir 1 tahun. Aku kini hamil bulan ke-6. Niat aku untuk berhenti kerja bermula apabila aku mula disahkan hamil. Pada mula perkahwinan, suamiku telah menyuarakan hasrat agar aku berhenti kerja dan mencari kerja dalam bidang lain.
Pada mulanya aku tidak bersetuju kerana memikirkan berkenaan kewangan. Setelah aku disahkan hamil, aku mula berasa tidak selesa dengan keadaan persekitaran tempat kerjaku yang kurang mementingkan hal kebajikan.
Sebagai contoh, aku perlu mengutamakan segala kerja-kerjaku berbanding dengan temujanji checkup di klinik ataupun keadaanku yang sedang menghadapi morning sickness. Aku juga perlu ikut serta dalam aktiviti yang melibatkan perarakan atau perbarisan walhal aku sedang hamil.
Mulanya aku hanya mengikut sahaja, tetapi semakin lama semakin mereka membebankan aku dengan pelbagai jenis kursus dan seminar yang perlu aku hadiri.
Memandangkan aku dan suami jauh, suami tidak mengetahui apa aktiviti yang perlu aku lakukan sehinggalah rakan suami memberitahu pada suami bahawa dia terjumpa aku sedang mengikuti perbarisan.
Ketika aku dan suami berjumpa pada hujung minggu, suami mula bertanya berkenaan dengan perkara yang terjadi dan aku menceritakan semuanya. Aku juga telah memberitahu niatku pada suami untuk berhenti tetapi aku takut aku tidak ada income sendiri.
Suami ada membincangkan berkenaan perancangan kewangan yang sedang dia lakukan bermula dari dia mula kerja.
Selama ini, keretaku, hutang pelajaran juga dibayar oleh suami sepenuhnya. Wang aku adalah untuk kegunaan diriku, dan juga barang-barang rumah. Setelah berbincang, aku bersetuju untuk menghantar permohonan berhenti kerja.
Masalah aku bermula apabila permohonanku ditolak mentah-mentah oleh majikanku atas alasan aku masih muda dan susahnya keadaan sekarang mendapatkan kerja.
Malah setelah aku menghantar permohonan berhenti, aku selalu dimarahi atas kesalahan yang kecil dan disindir “kalau aku dimarahi, aku akan berhenti kerja”.
Setiap kali pegawai atasan berjumpa denganku, pelbagai perkara yang akan mereka ceritakan agar aku berfikir semula untuk berhenti dan kata mereka peluang sebegini hanya sekali datang dalam hidup aku. Ada juga pegawai senior berkata jangan percaya sangat dengan lelaki. Aku sedih dengan ayat itu.
Aku sekarang dilema samada mahu meneruskan berhenti kerja atau kekal sahaja. Aku kadang-kadang sampai tidak mahu keluar dari office agar tidak dengar suara-suara sumbang yang berkata kepadaku.
Sekiranya ada yang berpengalaman berhenti kerja dan menjadi surirumah, aku harap boleh memberikan pendapat dan sedikit nasihat kepadaku. Terima kasih dan aku doakan kalian semua sentiasa dilimpahkan rezeki.
– Wiya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit