Perjalanan hidup kita masih panjang (dengan izinNya), tapi trend anak muda sekarang yang mengurus kewangan mereka dengan prinsip selesa berbelanja atau “enjoy selagi boleh” sangat membimbangkan.
Wang gaji terima bulan-bulan, tapi cukup hujung bulan, sikit je yang tinggal, entah ke mana melayang perginya duit gaji. Pangkat makin naik, gaji makin besar ingatkan makin banyak lah simpanannya. Rupanya tak juga.
Tak lain tak bukan kerana punca sebenar bukanlah pada masalah gaji sedikit, tetapi attitude. Betullah kata-kata, makin besar gaji, makin besar nafsu berbelanja.
Setiap hari ada je cafe hipster yang nak disinggah, setiap hari ada je yang di check-out di akaun Shopee dan Lazada, setiap hari ada je rider FoodPanda dengan Grab datang hantar makanan,
Sekali bawa awek shopping mesti nak ke restoran atas langit sana, berhabis-habisan bagi hadiah itu ini, belum cerita belanja berhabis-habisan untuk majlis kahwin umpama kahwin itu sehari je cuma.
Bila ditanya cara dia urus kewangan tergelak je la yang mampu, bila ditanya ada hadir kelas atau baca ilmu tentang urus kewangan dia pun jungkit bahu.
Wang kecemasan 6 bulan gaji, simpanan pelaburan, aset fizikal seminimum emas perak, perlindungan takaful bila ditanya dah ada ke belum.. Hmm mula lah tergagap-gagap katanya “belum mampu”. Padahal, bila tengok lifestyle, kalah Mark Zuckerberg.
Yang dia tahu, ahh belanja je lah duit gaji ni, bulan depan masuk lagi! Kalau gaji besar, aset ada, tahan lah jugak! Tapi hmm faham-faham je la ayat seterusnya.
Harga barang semua naik bukan main dia bising, tapi bila tengok cara berbelanja takde juga diubahnya, takde fikir nak tambah pendapatan ke.
Adui tepuk dahi! Bukan nak mengata atau menyindir. Sekadar mengajak kita semua berfikir semula. Hidup ni panjang lagi. Kita tak tahu apa yang menanti dihadapan. Yakin ke kita mampu pergi bekerja dan terima gaji bulan-bulan selamanya?
Pernah terfikir kalau satu hari jatuh sakit, accident ke, sakit kronik dan sebagainya, dan pada waktu tu kita tak mampu bekerja, macam mana agaknya? untuk yang dah berkeluarga, anak bini macam mana nak sara?
Tak perlu pergi jauh, contoh terdekat boleh tengok semula masa lockdown PKP haritu.
Berapa ramai yang diberhentikan kerja? Berapa ramai yang depressed sampai ada yang bunuh diri? Berapa ramai keluarga yang bercerai-berai angkara masalah kewangan?
Hidup ni keras. Tapi kita mesti lebih keras dik. Cukup baik dah tu kalau ramai orang yang nak bantu kita kongsi itu ini, ingatkan kita itu ini.
Tapi kalau kita sendiri yang berkeras tak nak bantu sendiri? Hmmm terpaksa la berkeras dengan diri sendiri di kemudian hari. Jangan muda-muda terlampau memanjakan diri, tua-tua esok menagih simpati.
Kat media sosial sana merata-rata pakar yang berkongsi tentang ilmu pengurusan kewangan yang asas. Tinggal kita saja rajin atau malas untuk luang masa sejenak membaca. Ilmu pengurusan kewangan sangat penting adik-adik.
Tambah pendapatan saja tidak cukup jika poket mudah bocor. Apatah lagi kalau jana pendapatan pun tak reti, ditambah pula dengan poket yang mudah bocor. Harta berkoyan-berkoyan yang diwarisi pun boleh hilang sekelip mata je kalau begitu gayanya.
Berbelanja mewah untuk self-reward sekali-sekala tu tak apa. Tapi berhati-berhati jangan sampai sekali-sekala tu menjadi sesuatu yang ketagih.
Poin utama dia belajar cara jana pendapatan lebih, jangan sekadar terikat dengan satu jenis sumber pendapatan saja.
Setkan matlamat kewangan dan hidup. Tambah ilmu pengurusan kewangan dan kemahiran diri. Mula kumpul aset seawal yang boleh kerana bukan wang yang mengkayakan kita tetapi ilmu dan aset.
Tetapkan sebahagian daripada gaji dan set siap2 untuk tujuan pelaburan. Tanggungjawab zakat dan sedeqah jangan sekali dilupa supaya berkat hartanya.
Ok tu je. Jom kita, sama-sama berubah.
– AA (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit