Beri Kami Petunjuk Allah

Assalamualaikum para pembaca & sahabat IIUM Confession.

Biasanya aku hanyalah silent reader di page ini, namun harini terdetik aku nak berkongsi cerita dan meminta pendapat serta pandangan dari sesiapapun yang sudi membaca sekiranya cerita aku disiarkan.

Sedikit perkenalan, aku Eddy (bukan nama sebenar), berusia pertengahan 20an, seorang penjawat awam di sebuah bandaraya.

Berbalik kepada apa yang ingin aku kongsikan hari ini, ialah mengenai dilema yang sedang aku dan bakal isteri lalui.

Ya, aku dalam perancangan untuk berkahwin dalam beberapa bulan lagi. Namun, hubungan kami diuji. Diuji melalui aku.. kerana aku seorang homos3ksual.

Sedikit sejarah hidup, seingat aku, aku tidak pernah melalui peristiwa pahit yang menyebabkan aku tertarik kepada kaum sejenisku sebaliknya rasa itu timbul secara semulajadi sedari umur 6 tahun..

Aku mulai sedar aku tertarik kepada kaum sejenis, namun ketika itu aku tidak faham semua itu. Sehinggalah dewasa dan aku mula faham. Aku cuba untuk berubah. Berkali-kali aku cuba berubah, namun berkali juga aku gagal.

Setelah sekian lama berusaha, alhamdulillah aku berjaya tinggalkan dunia gelapku.

Aku ditakdirkan berjumpa dengan bakal isteriku sekarang dan aku merasakan aku patut mencuba untuk berubah melalui berkahwin. Dia tidak pernah tahu tentang situasi diriku. Kami jalani hubungan seperti pasangan lain.

Namun disebabkan naluri aku ini, hubungan kami sering melalui fasa kegagalan. Kami pernah berpisah dua kali sebelum kembali bersama untuk kali ketiga dan membuat perancangan untuk berkahwin.

Namun, aku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Aku terjebak kembali ke dunia gelap itu disebabkan kebodohan aku. Aku menyesal dan rasa bersalah yang teramat dalam.

Dalam usaha perbaiki diri aku, aku telah berjumpa dengan kaunselor @ psikiatri dan berkongsi ceritaku.

Aku disarankan untuk jujur dengan bakal isteriku mengenai situasi diriku.

Setelah berhari berlalu, mengumpul kekuatan untuk berterus terang, aku akhirnya membuka cerita kepada bakal isteriku kerana aku tidak tenang selagi tidak jujur kepadanya. Segala yang tertanam selama ini akhirnya terungkit kembali.

Inilah juga penyebab dua kali hubungan kami terputus sebelum ini. kerana aku sendiri keliru dan merasa bersalah kerana tidak jujur kepadanya, dalam masa yang sama aku takut untuk jujur.

Sejujurnya aku bukanlah tiada langsung nafsu kepada perempuan. Namun nafsu itu hanyalah sekadar 20% dari seluruh, selebihnya kepada kaum sejenisku.

Aku sayangkan bakal isteriku, tapi aku tidak pasti sayang ini sekadar sebagai sayang sebagai manusia atau cinta yang sebenar.

Setelah mengetahui status diriku yang homos3xual dan pernah terlibat hubungan haram itu, bakal isteriku meminta tempoh bertenang untuk membuat keputusan semula mengenai hubungan kami.

Jadi, akhir cerita ini, aku hanya inginkan pendapat kalian semua, apa yang patut kami lakukan.. Adakah patut kami masih mencuba? Kami tidak tahu untuk berkongsi cerita ini dan meminta pendapat daripada siapa.

Bakal isteriku merupakan seorang yang terlalu baik, walau apa telah terjadi, dia masih menyimpan aibku ini sekemasnya tanpa berkongsi kepada sesiapapun.

Sekiranya dia membaca perkongsian ini, aku rasa dia tahu ini adalah mengenai kami. Sungguh aku buntu.. Aku telah cuba berubah, namun aku menemui kegagalan. tapi aku masih ingin mencuba bangkit kerana aku tidak mahu selamanya berada di dunia gelap ini.

Terima kasih atas pandangan kalian semua, aku hargai sangat².

– Eddy (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *