Beri Peluang atau Berpisah?

Assalammualaikum. Saya menulis di ruangan ini kerana ini sahaja jalan terakhir saya untuk meluahkan isi hati dan perasaan saya yang berada di dalam dilema untuk meneruskan perkahwinan ini atau sebaliknya.

Nama saya Hawa (bukan nama sebenar) telah berkawin dengan suami saya Adam (bukan nama sebenar) selama lima tahun dan masih belum dikurniakan cahaya mata.

Untuk pengetahuan pembaca bukan isu besar bagi kami untuk memiliki cahaya mata dalam masa terdekat ni kerana masing-masing sibuk bekerja.

Kami bekerja di sektor swasta. Tambahan pula suami saya bekerja di sektor oil&gas (offshore) dan tidak selalu berada di rumah. Boleh dikatakan untuk setahun kami akan berjumpa sebanyak 4 hingga 5 kali sahaja.

Kehidupan kami bahagia walaupun jarang berjumpa. Duit bukan menjadi masalah kami kerana pendapatan suami saya menjejak 5 angka untuk sebulan. Saya juga bekerja untuk mengisi masa lapang.

Suami saya boleh dikatakan seorang yang sempurna di mata saudara mara kerana hormat orang tua, peramah, ringan tulang dan langsung tidak pernah memarahi saya.

Dan jika dia pulang untuk bercuti semua urusan rumah dia akan selesaikan dari mencuci pakaian, rumah dah segalanya.

Akan tetapi segalanya berubah bermula tahun lepas (2021). Suami saya terpengaruh dengan ‘investment’ yang menyebabkan kerugian sebanyak lebih seratus ribu.

Sebagai seorang isteri, hati saya berasa kecewa dan gelap dunia saya. Saya fikir mungkin ini ujian buat kami. Saya memberi peluang kepada suami saya dah memaafkan kesalahan nya dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Akan tetapi kehidupan saya menjadi tidak tenang kerana banyak hal lain yang suami saya selindung di belakang saya (Bukan hal orang ketiga). Saya terlalu percayakan suami saya, sehingga semua harapan saya letakkan pada dia.

Antaranya hal terbesar untuk tahun ini 2022, saya mendapat satu mesej dari pinjaman wang berlesen mengatakan suami saya ada membuat pinjaman sebanyak RM25300.

Pinjaman ini dibuat semasa kerugian tahun lepas untuk selindung dari saya.

Suami saya meletakkan nama saya sebagai penjamin dan hancur hati saya kerana merasakan suami saya telah meletakkan diri saya di posisi yang tidak selamat bagi saya.

Saya juga merasa takut jika ada nombor yang tidak dikenali menelifon saya. Saya menjadi trauma sehingga tidak tidur pada waktu malam kerana saya takut. Saya juga duduk di rumah seorang diri.

Disebabkan suami saya sekarang berada di offshore luar negara, saya terpaksa mendahului duit saya untuk melangsaikan hutangnya kerana berasa takut dan tidak selamat jika pihak pinjaman mencari saya.

Suami saya juga berjanji akan membayar balik duit saya menggunakan gaji dia pada bulan ini.

Suami saya memberi alasan, bukan tidak mahu membayar pinjaman tersebut tetapi selepas kes kerugian tahun lepas, saya telah mengambil alih untuk pegang kad bank suami saya.

Suami saya merahsiakan hal ini kerana mahu menjaga hati saya dan tidak mahu membuat saya kecewa.

Saya merasakan semua kepercayaan saya terhadap dia di khianati seolah-olah dia menggangap saya tidak penting baginya. Sedangkan saya isterinya yang sah.

Jujur katakan, saya sudah tidak ada hati terhadap suami saya dan merasakan penceraian adalah yang terbaik untuk kami. Saya ada mengadu masalah ini kepada keluarga mertua kerana mahu mereka menasihati suami saya.

Tetapi mereka tidak mahu mengambil tahu masalah ini kerana merasakan ini hal rumah tangga yang patut kami selesaikan sendiri.

Saya juga ada menyuarakan pendapat kepada suami saya untuk bercerai dan dia memohon untuk menunggu sehingga dia pulang ke malaysia pada hujung tahun ini.

Banyak perkara yang saya fikir kan mengenai penceraian antaranya saya akan memalukan keluarga saya dan diri saya sendiri malu untuk berhadapan dengan keluarga dan kawan-kawan,

Kerana mesti ramai yang tidak percaya jika kami berpisah kerana kami boleh dikatakan pasangan yang sempurna di mata saudara mara dan kawan-kawan.

Keluarga saya telah tahu hal ini dan mak ayah saya akan menyokong apa pun keputusan saya jika itu yang terbaik untuk diri saya.

Saya keliru untuk mengambil keputusan yang terbaik untuk saya. Solat hajat, istikharah juga sudah dilakukan tetapi masih buntu untuk mencari jawapan.

Saya memohon pembaca memberikan pandangan jika kalian berada di tempat saya apakah jalan yang patut diambil teruskan atau berpisah?

Saya meminta pembaca sekalian untuk tidak mengecam saya, saya hanya ingin meminta pendapat yang ikhlas dari semua.

Terima kasih.

– Hawa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *