Kos sara hidup sekarang makin meningkat. Tapi kebanyakan dari kita berpendapatan tak setimpal dengan perbelanjaan. Pendapatan isi rumah RM2000 tapi perlu menanggung seluruh keluarga. Macam mana pula dengan yang ada anak lebih dari 2 orang, bersekolah atau yang perlu hantar kepada pengasuh? Seorang anak je bayaran ke pengasuh paling sikit RM300. Kalau 2 orang atau lebih? Belum lagi dikira sewa rumah, kos petrol berulang alik ke tempat kerja, lauk pauk & makanan seharian.
Ada satu kisah yang aku alami. Aku hantar anak pada seorang pengasuh ganti, sebab pengasuh anak aku balik kampung atas hal emergency. Aku hantar untuk 3 hari dengan bayaran RM28 sehari. Hari pertama aku hantar, belum pun separuh hari, pengasuh ganti tu dah whatsapp bertanyakan bayaran untuk jagaan anak aku, dan aku diminta membayar penuh untuk 3 hari pada petang tu juga, semasa ambil anak aku.
Masa tu hujung bulan, lagi beberapa hari untuk terima gaji. Poket aku dan suami sama-sama dah kempis. Tapi bila pengasuh ganti tu bagitahu dia perlukan duit untuk beli beras dan lauk, aku perah otak fikir mana aku nak korek duit untuk bayar dia in advance. Katanya, peti ais dah kosong, lauk untuk makan malam pun dah tak ada. Beras hanya cukup untuk sekali makan. Bila aku bagitahu masalah aku yang tak dapat bayar sekaligus, dia persoalkan “jadi macam mana ye kak? lauk langsung dah tak ada. Malam ni suami saya balik nak makan, saya kena masak ni”.
Aku taknak persoalkan kenapa isteri yang memerah otak memikirkan makan minum suami & peti ais yang dah kosong sedangkan itu sepatutnya tanggungjawab & tugas suami, aku cuma katakan “saya tanya suami dulu ye dik. InsyaAllah saya tolong”. Alhamdulillah lepas korek sana sini, kami mampu buat bayaran tu. Pengasuh ganti tu masih muda, suaminya pun muda dan masih belum punya anak. Tapi turut mendapat tekanan soal perbelanjaan harian. Apatah lagi keluarga besar?
Aku & suami pernah alami situasi yang sama. Seminggu sebelum gaji dapur kami dah licin. Kami kerap beli beras timbang sekilo semata-mata untuk cukupkan makanan sementara tunggu gaji, dan berlaukkan telur untuk beberapa hari. Oh ya, kami punya 3 orang anak, 2 sudah bersekolah.
Dari semasa ke semasa, aku & suami selalu cuba untuk perbaiki perbelanjaan. Bukan dengan cara tak makan, tapi dengan cara berjimat. Dengan berjimat, kami mampu makan tanpa perlu bercatu sampai hujung bulan.
Kalau dulu, aku & suami ke pasar berdekatan seminggu sekali, membeli lauk-lauk basah untuk keperluan seminggu atau 2 minggu. Kos perbelanjaan sangat tinggi. Tapi sejak 5 bulan yang lepas, kami ubah cara & Alhamdulillah kami dapat rasakan ada kelapangan & penjimatan, sekaligus kami tak perlu lagi pening fikirkan adakah bekalan makanan kami mencukupi.
1. Beli bahan basah di pasar borong
Setiap hujung bulan bila terima gaji, aku & suami akan ke pasar borong yang terletak agak jauh dari rumah. Sekitar 40-45 minit perjalanan. Kami akan pergi awal pagi selepas solat subuh. Di pasar borong, harga lauk basah murah. Aku & suami mula ketagih untuk ke pasar borong bukan semata-mata kerana harga yang murah, tetapi juga lambakan pelbagai pilihan lauk basah seperti ikan yang pelbagai, udang, sotong, ketam, siput, lala, kerang & bermacam-macam lagi. Harga yang di-offer sudah murah, kalau pandai tawar menawar mungkin boleh lebih berjimat.
2. Hanya beli sebulan sekali
Aku & suami akan ke pasar borong hanya sebulan sekali untuk memborong semua bahan basah, untuk kegunaan sebulan. Ye, lauk pauk basah yang aku beli aku bajet untuk kegunaan sebulan hingga hari gaji yang akan datang. Kami memborong dalam kuantiti yang agak banyak. Contohnya, ayam saiz besar 2 ekor, ikan siakap 3 ekor, ikan cencaru saiz sederhana 2kg, sotong 2kg (bergantung kepada harga semasa. Kalau harga semasa agak mahal, aku hanya akan beli 1kg.
Selalunya harga di pasar borong boleh dapat lingkungan RM13-16 sekilo untuk sotong saiz sederhana), udang 1-2kg, ikan kembung / kerisi / sardin / mata besar / tongkol dan berbagai lagi jenis ikan, anggaran 1-2kg setiap satu. Kuantiti memang banyak bila beli sekaligus. Anggaran kos antara RM250 – RM300. Bila teringin ikan yang agak mewah / mahal seperti ikan merah, mungkin kos akan sedikit meningkat hingga RM300. Tapi untuk yang nak berjimat macam aku, hanya beli ikan & lauk basah yang biasa. Cukup dengan ikan siakap pun kami dah rasa mewah.
Selepas siap memborong, aku & suami dah tak pening-pening lagi fikirkan adakah duit kami cukup untuk perbelanjaan hingga hujung bulan terutama untuk makanan. Hal lain kami boleh berjimat, contohnya kehendak lain seperti makan di kedai / duit belanja harian. Yg kami pentingkan, makanan di rumah untuk anak-anak terutamanya.
Aku akui, memang setiap hujung bulan pergi ke pasar beli semua keperluan makanan, dan pulang ke rumah perlu lagi mencuci & menyimpan, memang penat. Tapi penat hanya sebulan sekali, dan peti ais akan jadi sangat padat terutama bahagian beku. Peti ais rumah aku pun hanya peti ais biasa 2 pintu. Apa yang aku praktikkan, aku akan bahagikan lauk-lauk mengikut bahagian untuk sekali masak. Contohnya, untuk sekali masak aku perlukan 4 ketul ayam, jadi aku akan asingkan setiap 4 ketul ayam ke dalam plastik jernih (plastik air).
Aku tak mampu nak guna bekas / Tupperware / tipuware sebab faktor ruang peti ais yang membataskan. Jadi aku hanya packing dalam plastic jernih sahaja & susun dalam peti ais. Sama dengan lauk-lauk lain. Aku akan buat anggaran portion untuk sekali masak / makan & bahagikan ikut portion. Kenapa aku nak bahagikan? Sebab aku akan keluarkan lauk beku untuk dicairkan hanya ikut portion untuk dimasak manakala lain-lain portion tidak terusik & kekal beku. Jadi kesegaran bahan masakan tetap terpelihara.
Setakat ni Alhamdulillah, walaupun selepas sebulan, ikan, udang, sotong aku masih kekal fresh. Dengan syarat, semasa membeli, pastikan beli bahan yang segar dan segerakan penyimpanan ke dalam ruang beku. Aku akan siang, bersihkan, potong & bahagikan sebelum simpan. Selalunya setengah hari baru selesai semua.
Ini jimat cara aku. Bagi aku, kita perlu belajar berjimat dengan cara yang betul. Aku pernah tersalah cara. Berbelanja makanan mewah bila dapat gaji tapi selepas 2 minggu, tertekan sebab kehabisan duit. Dan aku dah taknak ulang lagi silap aku. Sekarang hidup aku dengan suami lebih aman sebab makanan kami mencukupi sampai hujung bulan walaupun poket dah licin hahaha.
Lain keluarga, lain keperluan, lain cabaran jadi akan ada pelabagai cara untuk survive. Mana yang baik datang dari Allah, dan yang buruk dtg dari aku. Mohon maaf kalau ada yang buruk itu.
Assalamualaikum.
– Nora
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit