Siapa yang tak cerdik akan terus berjuang walaupun dia tau dia akan kalah akhirnya. Itulah hakikatnya yang berlaku dekat aku.
Aku tetap berjuang untuk terus kalah atas. Hanya sebab aku pegang title anak.
Anak gadis 20-an yang tak ada suara, tak ada hak, tak ada perasaan dalam keluarga aku.
Kenapa aku tapi bukan anak-anak yang lain? Sebab aku yang mengalah. Sebab aku yang dengar cakap. Aku je yang mampu ikut.
Aku berjuang untuk nak belajar. Pepatah kata jauh perjalanan luas pemandangan.
Tapi aku kalau nak sambung belajar hanya boleh yang 20km dari rumah. Walaupun tiada kos yang aku minat and boleh adapt. Yang penting cuma market pekerjaan.
Kalau aku nak kerja, kerja hanyalah ofis hour yang gaji mesti 4k ke atas. Kalau tiada tak payahlah kerja. Walaupun aku tiada pengalaman.
Macam mana aku cakap, aku communicate aku bentangkan, tetap salah.
Cakap ibu bapa itu muktamad. Segala kata hingga ke koma dan noktah daripada ibu bapa adalah umpama suruhan perintah Tuhan.
Mana taknya redha Allah kan letak pada redha ibu bapa.
Anak-anak atau lebih tepatnya anak mereka ialah aku cumalah satu alat.
Alat yang mereka boleh gunakan untuk buat apa yang mereka nak. Untuk tunjuk keluarga, kawan-kawan supaya nampak bagus. Aku tiada suara, tiada jiwa.
Namun, aku tak putus asa. Meski aku tau, perjuanganku cuma sia-sia.
Aku cakap hari-hari apa aku nak, apa aku nak buat. Tapi masih tetap tak boleh walaupun halal di sisi agama. Segala tingkah lakuku umpama pelacur di lorong hitam.
Selangkah aku keluar ke rumah tanpa izin walaupun hanya cuma nak mengambil barang sama seperti aku menjual maruah aku pada jiran-jiran.
Tapi aku degil. Aku buat jugak. Sebab apa aku buat tak salah di sisi Tuhan.
Walau salah di sisi ibu bapa tapi tidak salah di sisi Tuhan.
Siapa Tuhan aku? Mak bapak aku ke? Kenapa aku kena ikut semua cakap mak bapak aku? Walaupun apa aku buat tak salah di sisi Allah?
Ke kewujudan aku ni yang salah di sisi mak bapak aku dan juga di sisi agama? Aku tak patut wujud kan.
Untuk apa aku berjuang? Untuk aku keluar daripada belenggu kesedihan diri aku yang dinamakan sebagai kasih sayang ibu bapa.
“Kasih sayang”? Tapi kenapa aku tak rasa langsung sayang mahupun kasih tu?
Anak-anak di luar sana dahagakan kasih sayang mak bapak mereka. Tapi aku yang dah dapat “kasih sayang” ini, hari-hari menangis, merana, meraung.
Mak, bapak. Ketahuilah anakmu ini sangat sakit keranamu tapi kerana batas agama, dia masih ihsan. Dia masih bertahan.
Melihat dan merasai bagaimana kalian menjadi ibu bapa yang berjaya di mata orang luar tapi bila pintu rumah ditutup kalian gagal di mata anaknya sendiri.
Akan aku simpan perjuanganku ini sebagai bukti kepada Tuhan di sana nanti, aku masih lagi berjuang.
Aku tidak mengalah dengan hidup dan janjiMu, walaupun aku terus kalah kepada dua insan yang bergelar ibu bapa dalam hidupku ini.
– Anna (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Ikhlaskan.. kerana Allah Maha Mengetahui segala isi hati kamu.. Tiada perjuangan yang sia-sia.. Yakin suatu hari nanti ada sinar membahgiakan buat kamu…
Sekarang kamu difasa anak. Tunggu kamu ada tanggungjawab, suatu hari nanti kamu akan faham kenapa ada sesetengah Ibu Bapa yang tegas. Ada Ibu Bapa yang biar sakit menangis sebab berusaha mendidik anak daripada mengalirkan airmata tengok anak dalam Lokap. Antara Ibu Bapa yang mendidik anak dengan baik dan suka membiarkan anak. Ramai anak – anak rosak kerana kurang didikan. Kurangnya perhatian. Suatu hari nanti kamu akan faham juga. Buatlah hal kamu sendiri, supaya kamu faham erti PENYESALAN.