Salam para pembaca yang budiman.
Secara peribadi, saya merupakan seseorang yang tidak mempunyai ramai kenalan menjadikan diri ini sangat menghargai hubungan persahabatan yang sedia ada di antara kenalan yang rapat, yang dikenali sejak zaman persekolahan, dan juga di zaman menara gading. Terlebih-lebih lagi, sekiranya seseorang kenalan itu saya sudah anggap sebagai kawan baik di mana sepanjang 35 tahun hidup di dunia ini, cuma ada 4 orang saja kawan-kawan baik saya ini.
Seorang kawan baik bagi tanggapan saya, boleh didefinisikan sebagai seseorang yang walaupun jarang berjumpa disebabkan komitmen dalam kehidupan, namun, adakalanya saat berkongsi pendapat, masalah atau perasaan, seringkali jiwa raga sesama sendiri itu seperti satu klik. Secara automatiknya, apabila berbual, tidak terasa janggal atau hubungan itu tidak lari jauh seperti mana dahulu apabila masih rapat, berjumpa setiap hari apabila bersekolah/ada kelas bersama, walaupun pada hakikatnya, antara kita sudah lama tidak bersua, bertepuk-tampar, berjenaka macam dulu lagi. Rasa silaturrahim itu masih utuh walaupun seorang di benua utara, seorang lagi di benua selatan. Begitulah jua.
Sejak berkahwin dan menggalas tanggungjawab yang baru dan berat sebagai seorang isteri, terlebih istimewa lagi apabila dinaikkan pangkat menjadi seorang ibu, memang tidak dapat dinafikan, hubungan persahabatan di antara rakan-rakan menjadi tersisih sedikit demi sedikit. Alhamdulillah, di zaman sekarang, dapat dipermudahkan hubungan silaturrahim itu dengan mengikuti perkembangan rakan-rakan melalui media sosial. Sesekali terasa dihambat rindu masa lalu, boleh juga berborak santai di ruang sembang persendirian. Tidak pun, mereka-reka janji untuk bertemu demi secawan kopi, dan sejenak duduk adakan perbincangan gosip kehidupan masing-masing.
Tetapi tidak untuk seorang kawan yang saya anggap terlalu baik ini. Entah silapnya di mana, apabila saya ada juga berkongsi secangkir kisah kehidupan saya kepadanya, sepenuh jiwanya dia yakinkan saya supaya bersabar. Demi nasihatnya juga, saya yang pada waktu lemah itu, menjadi kuat kembali seperti Badang. Kerana dia selalu menjadi tulang belakang di waktu kami sama-sama rapat dahulu, maka jika saya perlukannya, saya pasti dia akan selalu berada di sudut itu untuk menyokong saya. Walaupun dia cuma berkata, ‘Sabarlah’, saya akan bersabar. Seperti itulah kepercayaan saya, keyakinan saya terhadap hubungan persahabatan kami.
Sejak beberapa bulan yang lepas, apabila secara tiba-tiba dan tidak sengaja saya ternampak dia telah berbadan dua lagi, saya berasa sedikit pelik atas sebab apa dia tidak mahu berkongsi berita gembira itu dengan saya? Saya biarkannya untuk seketika. Beranggapan baik mungkin belum tiba waktunya untuk dia umumkan kepada saya. Oleh sebab tidak tahu apa-apa langsung, waktu-waktu yang berlalu saya cuma fokus dalam komitmen saya sehari-harian. Dengan bebanan kerja dan tanggungjawab di rumah, saya sangat komited dalam tugas saya dan juga tanggungjawab menjaga kebajikan suami dan anak-anak. Sangat komited.
Mungkin atas sebab itu, saya tidak unjurkan pertanyaan selamba kepada kawan baik itu sama ada benar dia akan mendapatkan zuriat lagi. Lagipun, saya tidak gemar untuk terlalu sibukkan soal orang yang mungkin menganggap sesuatu perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsikan. Walaupun perkara itu mengenai dia mengandung atau berita itu berita yang menggembirakan. Dan, walaupun saya sedar dia juga menganggap saya sebagai teman baiknya, tapi tidak mengapalah saya tunggu saja saatnya dia umumkan berita gembira itu. Saya sudah siap-siap memikirkan bagaimana mahu berpura-pura terkejut apabila dia bagitahu nanti walaupun sebenarnya sudah sedia-maklum.
Sehinggalah tibanya hari saya tahu sendiri akan berita bahawa dia sudah selamat melahirkan; itupun selepas 4 hari, mungkinlah, mungkin lebih dari 4 hari, dan saya tahu pun melalui sekeping foto yang dikongsi juga di laman sosial. Sehingga sudah melahirkan pun dia masih tidak beritahu. Saya benar-benar kecil hati. Kawan baik, ya. 22 tahun duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Segenap inci apabila saya berada di saat memerlukan dia sebagai sahabat, dia ada. Berita segembira ini, tidak kisah pun dia mahu berkongsi dengan saya. Kenapa?
Berkemungkinan besar, saya terlalu mengikut perasaan sendiri atau terlalu mahu menagih perhatian seorang sahabat darinya, lantaran penat menghadapi rencah ragam, senda dan gurau anak-anak, apabila ada berita gembira, boleh juga tumpang sama untuk bergembira. Ada rezeki, boleh bertamu melawat bayi yang baru. Namun, hati yang berkecil hati tetap rasa berkecil hati sebab tidak mengetahui asbab kenapa dia seperti mahu menjauhi tunjang persahabatan ini?
Di kesempatan ini, ingin juga saya sampaikan salam tahniah saya kepada sahabat saya itu, seandainya ditakdirkan dia juga di antara para pembaca yang budiman di sini.
Selamat menjalani tempoh berpantang dengan sempurna. Aku tumpang gembira kau dikurniai seorang lagi zuriat, syukur alhamdulillah. Maafkan aku mungkin aku telah merajuk dengan kau, lalu menulis di sini. Aku juga kurang pasti apa yang membuatkan aku tak mahu bertanya dengan kau secara terus-terang. Mungkin sebab aku kecil hati dengan cara-cara kau. Maafkan aku.
Terima kasih kerana menyiarkan andai disiarkan. Mmuah!
– Delima Sari
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit