Assalamu’alaikum aku mulakan lafaz kepada semua pembaca. Saja nak kongsi perjalanan hidup aku yang tak seberapa ni. Mungkin boleh jadi inspirasi dan iktibar untuk orang lain.
Aku pemegang ijazah pendidikan di salah sebuah univesiti tempatan. Selepas graduated, aku buat macam-macam kerja dalam 1 masa. Tak pernah menganggur sebab aku berusaha nak kerja untuk balas budi mak ayah aku.
Penat? Sangat wehhhh.. Allah ja tahu macam mana struggle nya aku nak survive hidup ni mula dari bawah. Aku bujang lagi. Tinggal dengan mak ayah. Inilah hadiah terbesar Allah beri untuk habiskan masa dengan mak ayah aku. Terima kasih ya Allah.
Selepas tamat belajar, aku jadi guru ganti sekolah rendah swasta yang mana aku dibayar gaji hari pada sebelah petang. Tiada simpanan KWSP sebab ganti hari ja.
Pada waktu yang sama, aku dapat jadi guru ganti di sebuah sekolah menengah kerajaan di waktu pagi. Ya, 2 kerja dalam 1 masa. Aku dibayar gaji SPM mengikut hari oleh pihak sekolah.
Alih-alih di tengah bulan penghujung aku nak habis berkhidmat sebagai guru ganti tu, kerani sekolah beritahu aku, PPD boleh bayar aku gaji Ijazah mengikut hari bekerja. Bersyukur sangat masa tu. Aku pulangkan kembali gaji sekolah yang aku dapat. Ada simpanan KWSP walaupun 3 bulan ganti.
Sebab dah terbiasa penat bekerja 2 kerja dalam 1 masa. Tahun depannya aku buat 3 kerja dalam 1 masa. Aku sukakan cabaran dengan benda aku minat. Biarlah kerja tak seberapa, pengalaman yang penting.
Petang, aku dapat mengajar tetap (kontrak) di sekolah rendah swasta tempat yang sama aku ganti tu. Sebab Guru Besar tu nampak potensi aku. Aku komited dalam bekerja. Tak pernah hadir lewat.
Masa ni baru ada simpanan KWSP. Gaji SPM sebulan. Maksud aku walapun kontrak, tak perlu fikir cari kerja lain dah. Just renew kontrak jalah.
Pagi, dapat mengajar di sebuah sekolah menengah swasta. Gaji tak sampai RM 750 sebulan (kontrak) tanpa simpanan KWSP. Majikan tak mampu carum katanya.
Aku tak salahkan sekolah, sebab masa interview diorang dah cakap semua, aku setuju ja sebab nak pengalaman dulu.
Malam, aku buat part time mengajar tuisyen murid UPSR. 3 kerja aku buat ni, dalam 1 daerah yang sama. Motor ayah aku ja aku guna. Jauh tak jauh gaklah jarak dari tempat kerja ke tempat kerja lain. Hujan panas dah biasa.
Masa hujan tu, ada sekali aku menangis sampai mengalir air mata, sebab nak pergi kerja kena hujan lebat. Aku fikir ni semua rahmat dari Allah. Aku hanya hantar resume ja. Sebab swasta. Kalau kerajaan, lain cara mohonnya.
Aku seronok kerja ni. Aku yang pilih. Bidang yang aku minat sama. Kalau tak mana sanggup sampai 3 kerja dalam 1 masa kan. Aku deal dengan majikan siap-siap. Kalau tak mana boleh buat semua kerja ni kalau ada kursus yang perlu hadir di luar sekolah kan. Alhamdulillah, dapat majikan yang memahami.
Sampailah suatu hari, ada beberapa rakan sejawatan aku sebelah pagi suka perli aku kata aku kaya. Banyak duit. Bujang, senanglah buat 3 kerja.
Mulanya memang rasa diorang melawak ja, aku ok ja. Tapi lama-lama, makin menjadi perli diorang tu. Sorang tu siap kata aku kedekut, sebab tak banyak sedekah dekat sekolah yang tiada sedia KWSP tu.
Ya Allah… memang kalau nak sedekah kena beritahu 1 dunia kah? Dia pula tolong kira ibadah aku. Hahaha… aku makin menjauhkan diri dari mereka-mereka ni. Memang sakit hati. Tapi aku fikir balik sebab diorang “jealous” sebab kau maju.
Yang tolong kira ibadah sedekah aku ni pemegang PhD taw. Tapi ramai ja rakan sekerja lain rasa sangsi dengan kelulusan dia. Sebab mulut boleh tahan bila berbicara. Boleh kata aku tak laku sebab tiada siapa minat sebab asyik bekerja ja.
At the same time, kenapa kerja di sekolah gaji ciput without KWSP. Padahal ada PhD. Boleh ja grow di tempat lain sesuai dengan PhD tu.
Aku tak pernah balas apa dia kata kat aku, 1 pun tak. Aku pendam dan sabar ja. Hantar anak pergi tadika paling mahal di Malaysia boleh plak. Sapa lagi kaya sebenarnya? Aku ada motor ja.
Kadang kita nampak rezeki orang lebih, rezeki sendiri tak nampak. Semoga kita semua dijauhkan dari orang begini.
Aku bila mereka kata aku kaya, aku aamiinkan ja dalam hati. Memang aku tak banyak sumbang dekat sekolah, sebab aku ada komitmen lain juga.
Ingat aku ni bakhil sangat sampai tak sedekah kepada orang lain. Aku belanja pelajar makan siap di luar sekolah lagi. Hiasan kelas duit sendiri. Banyak lagilah. Itulah kan, kita seronok sangat kerja, tapi rakan sejawatan yang membuat kita tidak seronok untuk berkhidmat.
Memang betul, Melayu sesama Melayu mudah dengki dengan rezeki orang lain. Allahu Akhbar… Tak boleh terima orang lebih sikit dari dia. Sedihnya….
Sepatutnya kita sama-sama seronok dengan rezeki orang lain, In Shaa Allah, kita akan dapat jugak. Tapi bila dah “jealous”, memang lambat atau tiada langsung rezeki tu.
Aku mula perasan lambat laun tu, mereka yang SELALU memerli aku ni, datang kerja tak tepat waktu. Boleh dikatakan lewat setiap hari. Setiap hari wehhh, bukan sekali setahun. Gaji ciput, KWSP tiada, bukan alasan untuk kita hadir kerja lewat. Keberkatan gaji tu penting.
Kadang aku perli balik mereka, aku kata memang aku buat 3 kerja ni duduk goyang-goyang kaki ja, duit masuk. Masyukkkk, hahaha… Tahu tak apa alasan diorang datang lambat? Malam buat kerja “part time” juga.
Baru diorang tahu buat 2 kerja macam mana. Aku buat 3 kerja, boleh ja datang tepat waktu. Punch Card tak pernah merah. Diorang 1 kerja ja. Petang ada masa dengan family dengan kawan-kawan. Aku? Tunggu hujung minggu baru ada masa semua tu. Penat betul, tapi aku seronok, aku ada matlamat aku.
Aku dapat tahu diorang ni join 1 “business” berlangsirkan pendidikan. Siap aim aku untuk join sebab kata aku banyak duit. Hahaha… Tapi mereka tak paksa.
Aku dengar jelah walaupun dalam hati menyirap. Siap boleh bayar langsai hutang belajar, melancong, pergi umrah, kereta mewah, i-Phone 11 pro max, beli rumah. Siap gadai emas pinjam duit saudara mara untuk join. Lain macam…
Lepas jadi “reseller” kena cari orang. What? Macam MLM dah aku tengok. Diorang guna kuasa sebagai guru untuk para pelajar sekolah tu guna apps tersebut _ _ _ M. Katanya mudah belajar.
Scroll nota ja. Siap claim tak perlu tuisyen. Silap-silap hari mendatang sekolah pun tutup sebab belajar dari rumah. Guru-guru pun tak diperlukan dah sebab guru pun dah online. Amboi, dia punya claim.
Aku rasa macam merendahkan martabat guru pula. Biasalah, mulut manis untuk tarik orang join kan. Apps ni okay ja, tapi tak mengikut standard KPM. Kesian aku tengok pelajar miskin tak dak duit beli kad ni mahal untuk masuk apps tu.
Kalau dah education, sepatutnya membantu pelajar, bukan menyusahkan. Aku tidak bersetuju apps ni. Banyak lagi apps free yang bantu pelajar. Aku memang tak pakai langsung. Aku mengajar ikut standard KPM walaupun swasta.
Pelbagai manusia aku jumpa dalam hidup untuk bekalan persediaan di masa akan datang. Alhamdulillah, setiap kali lepas solat, aku berdoa pada Allah, supaya Allah beri aku peluang berkhidmat bidang yang sama tetapi hanya fokus 1 kerja sahaja.
Alhamdulillah… aku dah dapat posting tetap seiring dengan ijazah aku. In Shaa Allah, lepas tamat PKP baru berkhidmat. Allah Maha Mendengar. Liku-liku hidup aku, Allah sahaja yang tahu.
Aku selalu amalkan solat Dhuha setiap hari. Baca surah Al-Mulk selepas solat isyak. Mengaji setiap kali selepas solat. Berdoa sungguh-sungguh pada Allah. Bagi duit tiap bulan pada Mak Ayah.
Buat semua ni sampai kita rasa tak seronok hidup kalau tinggal salah satu amalan ni. In Shaa Allah, istiqamah pelan-pelan, lama-lama jadi gunung.
Bekerjalah dengan penuh amanah dan ikhlas walaupun gaji sikit. Ada keberkatan disebaliknya. Gaji cukup. Makan minum cukup. Dikelilingi orang baik. Boleh beribadah kepada Allah dengan sempurna. Mulalah dari bawah dengan selalu merendah diri. Bila sudah di atas, sentiasalah ingat orang di bawah.
Sepanjang aku kerja, aku banyak saving. Sebab kita tak tahu masa depan macam mana kan. Belilah sesuatu barang mengikut kemampuan bukan pujian. Sepanjang tempoh PKP ni, boleh lah guna sikit saving ni.
Semoga wabak Covid 19 cepat pergi sebelum kita umat Islam menyambut Ramadhan dan Syawal tak lama lagi.
Btw, aku seorang perempuan yang akan berkahwin tidak lama lagi. Doakan aku semua, supaya Allah mudahkan urusan hidup aku.
– PEREMPUAN BERFIKIRAN POSITIF (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit