Sudah lama saya berazam untuk menulis sesuatu berkenaan amalan berpantang selepas bersalin. Kini setelah g7p7+2 dilahirkan dengan selamat, (hari 11) barulah saya berpeluang menebus azam saya.
Saya mulakan dengan menceritakan tentang aturan berpantang yang diamalkan oleh susur galur keturunan yang di sampaikan turun menurun dari kedua belah keluarga, ibu dan ibu mertua saya.
Ibu saya telah bersalin sebelas orang anak, tiada sejarah keguguran. Semuanya kelahiran normal. Semasa dalam fasa mengandung-melahirkan-
Selepas bersalin, beliau akan bertungku setiap hari, diurut tukang urut 3 hari, berstokin, mengikat perut (bengkung panjang). Daripada apa yang beliau beritahu saya, berbengkung tujuaannya adalah supaya ibu boleh bangun dan buat kerja.
Bengkung sebagai support untuk badan mengekalkan postur yang baik ketika membuat kerja-kerja rumah. Tidak boleh mengangkat berat dan berjalan langkah kecil dan perlahan. Duduk berlunjur dan elak bersila.
Mandi pagi pula dengan air daun-daunan yang direbus. Harum semerbak baunya. Daun apa, saya juga tidak begitu pasti. Pantang keluar rumah sehingga habis tempoh berpantang.
Diet ibu pula adalah nasi putih dengan ikan bakar dan lada hitam yang ditumbuk dengan garam. Lada hitam ditumbuk dengan garam sentiasa ada dalam setiap menu. Biasanya ikan cencaru, selar atau ikan masin.
Ikan yang perlu dielak adalah ikan yang tidak mempunyai sisik seperti selayang, kembong. Seafood lain, ayam dan telur pantang dimakan. Pantang makanan berminyak. Sayur-sayur terutama yang menjalar juga pantang. Pantang juga makan makanan pedas bercili. Air yang diminum mesti air panas.
Walaupun begitu beliau sebenarnya tidaklah begitu rigid dalam diet sebegini. Kalau tidak ada pilihan atau teringin beliau jamah juga makanan lain. Beliau mengambil jamu kampung dan pernah menceritakan tentang amalan ber’diang’ dalam berpantang.
Duduk berdekatan api untuk memanaskan badan. Tetapi saya sendiri tidak pernah menyaksikan sesiapa berdiang tradisional. Biasanya nenek dari kampung akan datang ke rumah untuk membantu menjaga ibu dan menguruskan anak-anak lain.
Ibu mertua pula mengamalkan pantang yang tidak jauh berbeza dengan ibu saya. Berurut sengkak, bertungku, berstokin dan melilit perut. Mandi dengan air rebusan daun-daunan yang harum.
Ibu mertua juga banyak menekankan tentang postur badan. Duduk berlunjur tegak tidak boleh mengiring atau senget-senget untuk memelihara rahim. Menyusukan juga perlu duduk berlunjur.
Bayi juga bagi beliau begitu rapuh perlu dibaringkan dan diangkat dengan bantal. Baring tegak dan tidak boleh ditiarapkan atau di dukung menegak berdiri.
Makan perlu awal sebelum jam 12 tengahari dan makan malam sebelum maghrib. Pilihan ikan yang boleh dimakan pula lebih banyak, terutama ikan isi putih atau ‘ikan mahal’.
Ayam seafood lain dan telur juga pantang. Sawi, lobak merah lobak putih dan ulam-ulaman boleh. Pedas hanya dari lada hitam dan pantang lada.
Apapun mereka berdua banyak juga improvise amalan yang turun dari nenek moyang, misalnya air minum tak perlu disukat-sukat. Berkipas atau air-conditioning boleh gunakan ikut kesesuaian.
Apabila saya berpantang dengan ibu dan ibu mertua, mereka juga tidak akan memaksakan amalan-amalan berpantang pada saya. Disesuaikan mengikut keselesaan dan keperluan saya.
Ini adalah pengalaman saya sendiri pula. G1p0 – g2p1 – g3p2 saya berpantang di rumah ibu. Ggp3 keguguran. Berpantang sendiri sekadarnya.
G5p3+1, berpantang di rumah sendiri dijaga oleh suami. G6p4+1 keguguran. D&C dan berpantang sendiri sekadarnya. Tahun 2020 setelah melahirkan p7p4+2 saya berpantang dtemani ibu mertua.
Selain merujuk pada pengalaman orang lama dalam hal berpantang, saya juga mendapatkan informasi daripada pakar perubatan dan pengamal perbidanan melayu di internet.
Secara kasar banyak percanggahan pendapat antara dua kelompok ini. Setelah menimbang tara saya menerima kedua-dua cara dan menyesuaikan dengan keperluan saya sendiri.
Berpantang bagi saya adalah tempoh penyembuhan dan juga fasa ‘welcoming the new member’. Selepas bersalin, berlaku perubahan pada fisiologi ibu.
Perubahan hormon, menyebabkan badan ibu dalam keadaan stress dan mudah berlaku inflamasi. 6 minggu diperlukan untuk mengembalikan fungsi badan menjadi normal, rahim kecut dan kembali ke posisi dan bentuk asal.
Perkara pertama apabila selesai proses kelahiran ialah bangun dan berjalan ke tandas untuk membersihkan diri. Cuba duduk di kerusi dan cari posisi yang selesa untuk menyusukan bayi.
Dalam fasa ini saya suka menyusukan sambil mengiring di katil, dan tidur bersama bayi di katil. Naikkan penghadang kiri kan kanan, sendalkan bantal disebelah bayi. Bila ke tandas baru letakkan bayi di baby cot. Susukan bayi sejurus selepas kelahiran sekiranya keadaan mengizinkan.
Dalam fasa berpantang badan akan terasa lebih sejuk berbanding semasa mengandung yang selalu panas dan berpeluh.
Ketika ini, saya setiap hari memakai kain batik, baju t dan stokin. Kain batik memberikan rasa kejap dan hangat di bahagian abdomen. Mudah disarung dan ditanggalkan apabila mahu bertungku, mengikat perut dan buang air.
Fabrik kapas yang selesa dan tidak berlengas jika berpeluh. Bila mengenakan stokin rasa lebih selesa dan hangat. Baju t pula berlengan pendek sahaja untuk keselesaan.
Sebelum 7 hari saya akan memanggil tukang urut tradisional untuk mengurut selama 3 hari berturut-turut.
Minggu pertama post partum ini biasanya saya akan ‘menikm4ti’ sakit rengat yang begitu menyeksakan. Otot-otot dan sendi seluruh badan terasa ketat dan berat. Jika ada luka, sakit luka juga terasa ngilu dan menyucuk.
Payudara pula mula bengkak untuk adjusting the demand dan jika tidak bersedia, puting akan pecah dan luka. Kadangkala kepala terasa berat dan pening.
Urutan 3 hari ini boleh melegakan ketidakselesaan2 tersebut. Alhamdulillah, melahirkan baby g7p4+2 kali ini, tiada masalah dalam penyusuan.
Tiada bengkak dan cracked nipple. Luka dan koyakan perineum juga tiada. Namun rengat terasa extra intensity, mungkin kerana grand multipara, macrosomic baby dan manually removal of placenta. Sakit2 badan juga rasanya extra intensity berbanding kelahiran lalu.
Letih dan fatigue juga kerana loss of blood (hb 8 selepas transfusi). Urutan tradisional memberi kelegaan yang ketara lebih2 lagi selepas sengkak pujukan manja yang mengurangkan rasa rengat. Bukan sengkak yang menolak paksa rahim berganjak ke rumahnya.
Rutin harian selepas itu pula bangun pagi, buang air dan kejutkan bayi. Mudah sahaja, buka bedung, stokin, barut dan baju. Biarkan bayi warm up badannya sendiri, sambil itu sediakan pakaian dan peralatan untuk mandi.
Kalau lampin berat atau berak, boleh cebokkan. Bila bayi dah sedar dan celik, susukan bayi sambil urut kaki dan tangan dia supaya bayi keep awake dan minum banyak.
Sedawakan, bedung dan biasanya dia akan sambung tidur dalam kekenyangan. Masa ni suami akan panaskan tungku dan siapkan air mandian ibu. Bila baby dah tidur ibu bangun dan sarapan ringkas, kemudian mandi.
Lepas mandi sapukan minyak panas tradisional keseluruh badan, bertungku dan ikat perut. Selesai mandi ibu, abdomen kejap dan kemas dengan sokongan bengkung, kaki hangat dengan stokin, rambut kemas diikat, sekarang masa untuk mandikan bayi.
Jam 11-12 adalah masa yang paling sesuai untuk makan tengahari. Petang pula selepas asar ulang lagi rutin bersihkan badan, bertungku dan bengkung kemudian makan malam sebelum jam 7.
Dalam selang masa itu boleh lakukan aktiviti yang sesuai dan mengikut kemampuan seperti mengemas rumah, masak dan menguruskan bayi dan anak-anak lain. Tidur awal dan elakkan makan berat di waktu malam.
Isu yang paling hangat diperkatakan dalam perihal berpantang ni adalah tentang diet. Bagi saya, diet setiap orang adalah berbeza malah setiap kelahiran menuntut diet yang berbeza mengikut tahap kesihatan ibu.
Bukankah 6 minggu ini tempoh penyembuhan untuk si ibu dan tempoh adaptasi untuk bayi. Menu minggu pertama dan minggu ke 5 mungkin tidak sama.
Menu orang dulu-dulu sangat sesuai saya amalkan pada minggu pertama kerana badan terasa agak fragile malah mengunyah pun boleh menyebabkan otot rahang dan urat dikepala terasa tegang.
Nasi panas, sayur bening sawi/ lobak putih/ lobak merah dengan banyak halia muda, bawang & ikan bilis. Ikan isi lembut dibakar atau lebih mudah air-fryed saja. Sambal (ikan bilis, halia, lada hitam ditumbuk & di tambah air asam jawa).
Saya percaya pantang makan yang diamalkan orang lama adalah bagi mengelakkan inflamasi dan berdasarkan pemerhatian terhadap reaksi tubuh pada makanan-makanan tertentu. Dalam fasa berpantang, ada beberapa tujuan penyembuhan yang ingin dicapai, iaitu
1. Pengecutan rahim.
2. Kesembuhan luka.
3. Mengurangkan risiko allergi dan inflamasi.
4. Adaptasi usus bayi yang menyusu susu ibu.
Diet yang ideal adalah yang mencapai keempat-empat tujuan ini. Makanan apa yang membantu pengecutan rahim, pada masa yang sama tidak menghalang penyembuhan luka (termasuk luka-luka dalaman), tidak mencetuskan inflamasi pada tubuh, dan mesra usus bayi.
Ada sesetengah makanan apabila diambil diluar waktu pantang bersalin tidak mencetuskan allergi tetapi boleh memudaratkan sekiranya diambil pada masa ini.
Oleh kerana itu beberapa kategori makanan dikenalpasti orang dulu-dulu perlu dielakkan untuk mengurangkan risiko inflamasi ini. Istilah yang digunakan adalah makanan sejuk, makanan berangin, makanan gatal dan bisa.
Sudah tentu senarai makanan ini tidak sama bagi setiap orang tetapi untuk langkah berhati-hati mereka menurunkan senarai ini demi kasih sayang pada si anak, tidak menderita seperti pernah dialaminya.
Hari ini sains mengkaji kesan makanan pada tubuh dan mengkelaskan makanan ini pada kelas-kelas tertentu. Nightshades, high in histamine, saliyclate, oxalate, glutamate. Makanan ini tidak bersalah lebih-lebih lagi jika ia makanan sebenar, bukan makanan berproses tinggi.
Perut yang lemah dan usus yang tidak berfungsi secara optimal tidak mampu menerima makanan tertentu. Begitu juga dengan ibu bersalin yang fragile, sensitive dan sedang mengalami perubahan hormon.
Sebab itu kita perlu belajar mendengar bahasa tubuh dengan teliti seperti orang lama. Mereka adalah pemerhati yang baik.
Minggu pertama selepas bersalin, saya hanya minum air suam yang agak panas. Minum secukupnya. Pantang makanan berminyak. Pedas cukup dengan lada hitam.
Kurangkan masin dan manis kerana lidah terasa agak sensitif. Makan buah oren, sayur lobak putih, sawi, bawang. Lebihkan halia dan kunyit.
Minggu-minggu seterusnya boleh cuba satu persatu makanan lain, terutama buah-buahan dan sayur sayuran yang berkhasiat. Saya makan pisang, epal, pear, ulam ulaman dan beberapa jenis sayur lain. Snacking kerepek pisang, ubi, tempe.
Saya juga ada mengambil good fat seperti pure ghee, pure butter, minyak kelapa. Air minum dalam suhu bilik. Makanan pedas ambil secara berperingkat.
Ayam, telur dan seafood juga boleh diambil sedikit demi sedikit, asalkan dari sumber yang segar. Dalam masa yang sama perhatikan perubahan atau reaksi pada tubuh ibu dan juga bayi.
Sudah tentu apa yang dimakan oleh ibu mempengaruhi quality susu ibu. Ruam dan kembung perut menunjukkan ada yang tidak kena dengan pemakanan ibu.
Sebenarnya apa yang patut diketahui oleh ibu adalah dua tiga jenis makanan yang terbukti boleh mencetuskan inflamasi bukan sahaja kepada ibu dan bayi, tetapi kepada semua secara umum.
1. Gluten
2. Karbo ringkas-gula.
3. Highly processed food (transfat, additive, preservative dll)
Biasa dengar bayi kena ekzema? Inilah contoh inflamasi yang dicetuskan oleh 3 makanan diatas yang mulanya merosakkan gut lining dan memberi kesan pada organ terbesar manusia, iaitu kulit.
Saya fikir inilah pantang yang sepatutnya bagi semua ibu bersalin.
Saya sendiri masih dalam usaha untuk mengelak makanan tertentu yang kalau difikirkan agak mustahil untuk dielakkan dalam budaya hidup kita sehari-harian. Tetapi sekurang-kurangnya perlu ada usaha untuk mengelak atau mengurangkan kekerapan mengambilnya.
Maha pemurah Allah yang memberikan ilham kepada orang lama yang tidak berpeluang menikm4ti kemajuan ilmu perubatan moden untuk berubat dengan cara mereka sendiri.
Dengan sumber alam dikurniakan Allah dibumi kita, dan dianugerahkan ilmu urutan tradisional yang berkesan sekalipun tidak ada kajian ilmiah membuktikan keberkesanannya.
Bayangkan kena makan PCM saja setiap kali rengat dengan badan yang lunyai tanpa dapat diurut. Begitu juga dengan ramuan herba, rempah, akar kayu yang mencepatkan proses pemulihan. Namun sayang tidak ramai yang mahu mengkaji tetapi cepat pula mengkeji.
MashaAllah..
Demikian coretan saya berdasarkan pengalaman dan pemerhatian. Kepada ibu-ibu muda, paling penting elakkan stress. Ibu tenang, bayi pun tenang, inshaAllah..
– Mak Tang Ting Tang Ting (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit