Ini kali kedua aku cuba submit confession, yang pertama dulu kena reject. Mungkin terlalu biasa, tapi jika confession kali ni tersiar, terima kasih admin.
Aku terpanggil nak menulis disini selepas viral kisah seorang cikgu meninggal dunia bersama dua anak masih kecil. Allahu, sedih sebak bila baca ceritanya. Aku ibu anak dua yang baru habis berpantang. Berpantang anak kedua ini banyak cabarannya kerana dalam 44 hari tempoh berpantang, separuh daripadanya aku ternyata betul betul berpantang sendiri. Mental, emosi dan fizikal aku betul betul dicabar, syukur ada sahabat yang selalu bertanya khabar setiap hari dan selalu ingatkan untuk banyakkan berzikir dan rancang aktiviti seharian aku.
Seperti yang selalu diceritakan dan dihebahkan umum, wanita berpantang perlukan rehat yang secukupnya serta perlukan sokongan yang baik dari orang terdekat terutamanya suami. Tapi tak semudah itu bagi suami yang tiada ‘common sense’. Common sense yang aku maksudkan ini bukanlah sesuatu permintaan yang melampau, cuma cukup sekadar tahu dan peka apa yang menjadi keperluan bagi seorang isteri yang berpantang.
Selama tempoh berpantang sendiri, dari waktu bangun pagi aku tak akan ada masa untuk tidur siang walaupun anak tidur. Orang selalu kata, kalau penat, masa anak tidur, kau tidur lah sama. Tidak bagi aku. Bangun pagi aku perlu siapkan sarapan sendiri lepas suami pergi kerja. Ada masa sarapan awal, ada masa dah nak masuk tengahari baru dapat jamah makanan kalau anak merengek. Suami? Tak pernah pun dia bertanya aku nak makan apa, atau dah makan belum. Pernah, pada waktu hari dia cuti dia tanya “awak tak buat sarapan ke? Kalau takde tak apa, nanti tengah hari saya suruh mak datang hantar lauk”. Aku rasa cukup emosi dan meluap luap rasa nak marahkan dia. Serius, dia tak tahu berfikir tentang betapa pentingnya makan pagi untuk ibu yang menyusukan anak, dan anak sulung kami yang tengah nak membesar. Muka dia begitu selamba, macam tak ada perkara pelik berlaku dekat situ. Tiada langsung common sense yang menggerakkan otak untuk berfikir bahawa dia yang perlu sediakan makanan, kalau tak pandai keluar lah rumah pergi cari dan beli diluar.
Pernah aku dilontarkan pertanyaan ‘apa awak buat seharian kat rumah?’, semata mata kerana lupa masak air untuk penuhkan botol di dalam peti sejuk. Pada waktu tu aku betul betul rasa bahawa dia buta, tak nampak kain baju dah siap bersidai, makanan dah siap berhidang, baby dah siap mandi dan menyusu, pinggan mangkuk dah siap dibasuh. Dia fikir aku ada bela hantu ke untuk siapkan semua kerja tu? Tapi aku hanya mampu menangis sebab terlalu kecewa suami aku tiada common sense.
Aku tahu ramai yang akan pertikaikan kenapa tak cakap dan terangkan dengan suami. Aku akui, aku tak mahu. Sebab aku tak reti. Aku tak pandai nak ajar orang tentang common sense. Tentang benda yang sepatutnya semua orang dah tahu. Perkara seperti ini, ibu ibu yang perlu ajarkan kepada anak lelaki, sewaktu dia masih kecil, atau paling tidak pun sebelum dia berkahwin. Tapi aku sedar sebenarnya aku silap, sepatutnya ini perkara komunikasi. Apa yang aku mahu, aku patut beritahu sebelum perkara terjadi.
Jadi bagi yang berniat untuk berpantang sendiri, anda ambil tindakan yang betul untuk tak menyusahkan ibu atau ibu mertua. Tapi perlu di ingat, suami perlu mainkan lebih peranan dan laksanakan lebih tanggungjawab. Untuk suami yang diketahui tidak dapat berfikir tentang common sense, terangkan lebih awal tentang apa perlu dia buat sewaktu anda bersalin nanti. Perlu terangkan dari A to Z, dari pukul 7 pagi sampai keesokan harinya. Jangan ambil mudah kerana memendam rasa itu akan buat anda stress. Stress di dalam pantang boleh membawa kepada kematian. Jadi berhati hatilah.
– Suraya
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit