Bersyukur Dengan Segala Tindakan

Assalamualaikum kepada semua pembaca. Terima kasih diberi peluang dan ruang untuk saya sampaikan sesuatu di page ini.

Bersyukurlah dengan tindakan? Macam mana? Bagi saya, bersyukur dengan lafaz ‘Alhamdulillah’ sahaja tak cukup jika ingin dibandingkan dengan nikmat yang Allah sudah beri pada kita. Mungkin perlu sedikit ‘prove’.

Saya bagi contoh, saya sayang mak saya dan saya kata kepada mak, “Saya sayang mak”. Selepas dari tu, tolong kemas rumah tidak, jenguk mak tidak, dengar mak bercerita tidak, tapi kita main phone. Ya kita sayang, tapi seolah tiada pembuktian sayang tu. Hanya pada kata-kata. Bukankah lebih elok, kalau kita buktikan sayang dengan tindakan, macam contoh tolong ke, apa-apa je lah yang boleh dibuat. Barulah mak tu akan kata, “Ya, anak aku betul-betul sayang aku”. Sudah pastinya perkataan sayang dari seorang anak tu sudah cukup buat hati seorang ibu gembirakan? Dan ya, betul, cara setiap orang mengungkapkan sayang itu berbeza. Ada dengan perkataan, ada dengan tindakan, ada dengan perhatian dan sebagainya.

***
Panjang pula intro. hehe.
***

Alkisah, selepas saya diberi kefahaman Islam yang lebih baik, ada satu part yang membuatkan saya rasa, ungkapan terima kasih (alhamdulillah) sahaja tu tak cukup. Tak tau kenapa saya ada perasaan seperti tu. Lepas perasaan tu timbul, saya dapat kisah dari nabi SAW yang mana (saya tak ingat sangat siapa, aisyah mungkin) beliau tanya nabi kenapa solat sampai bengkak-bengkak lutut, walhal nabi dah terjamin masuk syurga. Dan jawapan nabi SAW buat saya tersentak, nabi kata, apa salahnya kalau dia buat tu semua sebagai tanda bersyukur. (Sila betulkan jika salah).

Lepas dapat kisah tu, saya terinspirasi dari apa yang nabi buat. Saya mulakan solat dhuha. Dulu-dulu saya buat dhuha bila tengah sempit, hujung-hujung sem, pernah juga terlintas nak jadi kaya raya sebab tu buat solat dhuha. Lawak bila fikir balik. Tapi lepas dapat kisah dari nabi tu, saya buat dhuha bukan untuk kaya, bukan untuk rezeki, bukan untuk exam dan segala macam hal dunia. Tapi saya buat solat dhuha sebagai tanda saya bersyukur. Mungkin macam pelik, tapi bagi saya adalah jauh lebih pelik jika lakukan dhuha sebab nak kaya. Huih.

Saya amalkan dhuha secara konsisten waktu saya kerja lepas diploma. Waktu tu sangat sesak. Gaji dia beri hanya RM930 sebulan (gaji bersih lagi kurang dari ni) dengan hari bekerja adalah 5 1/2 hari seminggu. Saya hanya mampu beri mak ayah RM100, dan ptptn saya tak dapat nak bayar. Memang tak cukup untuk menyimpan. Takda ‘life’ kata orang. Pada fasa ni, saya amalkan dhuha untuk dimurahkan rezeki. Alhamdulillah, saya dapat sambung degree. Ini juga rezeki. Yelah, pointer cukup-cukup makan je. Saya tetap amalkan dhuha kerana bersyukur sebab dapat masuk universiti tu.

Zaman universiti, saya amalkan dhuha juga kerana bersyukur hari-hari Allah bagi nikmat. Alhamdulillah, semester pertama saya dapat anugerah dekan yang mana waktu diploma dulu nak lepas 2.50 pun susah! Saya tetap amalkan dhuha kerana bersyukur untuk itu. Sehinggalah saya graduate dan dapat kerja pada waktu orang lain masih menganggur. Dan saya tetap amalkan dhuha sebagai tanda bersyukur.

Amalkan dhuha agar dimurahkan rezeki? Saya tidak nafikan. Lepas saya amalkan dhuha, walaupun saya tak jadi kaya, tetapi rezeki saya dilapangkan. Jarang sakit, duit gaji cukup walaupun tak mewah, masa yang cukup. Itu juga rezeki bukan? Tidak nafikan, zaman sekarang ni tekanan hidup meningkat, saya sudah mula gusar kerana akhir-akhir ni kecoh tentang PTPTN. Dan tunggakan saya sebanyak RM6600 perlu diselesaikan segera untuk jaga rekod yang baik. Jumlah hutang saya pula RM36K yang mana jumlah tersebut terus meningkat dan saya perlu bayar 2 akaun dalam satu masa. Ya, tertekan. Saya mula teralih niat, buat dhuha untuk kaya. Tapi alhamdulillah, sedar. Cepat-cepat tajdid (betulkan) niat balik. Yakin, Allah pasti buka jalan! Dan saya amalkan dhuha kerana bersyukur dengan kesedaran yang Allah bagi tu.

Sungguh benar janji Allah terhadap hambanya. Saya ditawarkan jawatan sebagai trainee di salah sebuah syarikat luar negara. Syarikat besar yang mana saya minta hanya main-main. Sebab tak yakin akan dapat ‘bit’ calon lain. Dia tanya saya berapa expectation gaji saya. Saya cuma kata RM2000-RM2500 sahaja. Untuk course saya gaji memang tara ni sahaja. Ada juga yang kurang dari ni. Bagi saya kalau dapat RM2000 dah cukup bersyukur sebab gaji bersih saya sekarang hanya RM1700 (degree ni). Kalau dapat RM2500 alhamdulillah sangat-sangat. Tapi macam over sangat dengan status trainee saya.

Lepas dapat call dari HR mereka, dia kata (cakap BI) gaji saya setahun adalah RM15,000. Saya masih keliru fifty dengan fifteen. Jadi saya tulis kat kertas, angka 15 ribu. Kemudian HR kata lagi, “So your montly salary we will pay you RM47**.00” Saya terus menjerit, what?! Seriusly?.

Ya Allah, tak tahu nak ucap syukur macam mana lagi. Status trainee tapi dia berani bagi gaji sebanyak tu. Dia kata, dia berani bagi gaji sebab dia yakin dengan saya. Bagi dia sikit la kot lepas convert dollar ke RM. huhu. Saya akan ditempatkan di Malaysia sahaja. Tapi main office di luar negara sebabtu dia bagi dalam RM.

Saya tak tahu, macam mana stressnya work load nanti. Semoga Allah mudahkan. Semoga Allah berkati. Tidak salah kita amalkan dhuha untuk dimurahkan rezeki, untuk kaya raya. Tak salah. Tapi lakukanlah solat dhuha tu sebagai salah satu tanda kita bersyukur. Kemudian, Allah pasti beri sebahagian daripada nikmat dan rezekinya dengan cara yang tidak disangka-sangka!

Wallahualam

– Zulaikha

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit