Bersyukur Menjadi Yang Kedua

Aku bersyukur menjadi yang kedua, Alhamdulillah bahagia.

Perkahwinan kami melalui proses perundangan yang sah di Mahkamah Syariah tempatan.

Isteri pertama turut hadir untuk nyatakan persetujuan.

Kenduri yang ringkas berjalan dengan lancar, hanya menjemput saudara mara dan teman rapat.

Kini sudah bertahun-tahun menjalani kehidupan berumah tangga.

Ada pasang surut seperti perkahwinan yang lain tapi jarang berkisar kehidupan poligami, hanya gaduh manja suami isteri.

Aku bersyukur ;

– Dilayan sangat baik oleh mertua, diterima baik oleh keluarga suami.

– Suami turut diterima baik oleh keluargaku walaupun pada awalnya suasana sedikit janggal tetapi Alhamdulillah keadaan semakin baik dan amat baik.

– Suami adil, suami buat aku rasa cukup dan bahagia.

– Semasa bukan giliran aku, Allah rezekikan aku dengan masa yang indah bersama orang tuaku dan aku nikmatinya.

– Semasa bukan giliran aku, aku lebih banyak luangkan masa berdua-duan dengan Sang Pencipta, beribadah dengan caraku. Dan pabila dengan suami, aku cuba jadi isteri yang menyenangkan hati suami, semoga itu juga dikira ibadah.

– Tidak bergaduh dengan isteri pertama tetapi tidak jugak berbaik, kami buat hal masing-masing.

– Anak tiri terima aku dengan baik.

– Aku boleh berlapang dada untuk suami ke rumah isteri pertama saat bersama denganku jika ada hal kecemasan.

– Hubungan suami dan isteri pertama aku nampak semakin baik. Berbeza saat sebelum kami berkahwin yang mana aku lihat masing-masing akan buat hal masing-masing pada hujung minggu. Suami di rumah ibu bapanya, isterinya di rumah ibu bapanya.

– Suami ceritakan yang isteri pertama sudah banyak berubah ke arah kebaikan. Alhamdulillah. Mereka sudah boleh bermesej ibarat orang baru bercinta yang mana sebelum ini amat hambar.

Apa yang aku harapkan:

– Kita semua bahagia dengan cara kita, hormati pilihan hidup orang lain, jangan menghakimi jika kita tidak berada dalam situasi tersebut.

– Kita semua berjaya mewujudkan keluarga sakinah mawaddah warahmah.

– Hubungan aku dengan isteri pertama baik seperti sahabat.

– Kita semua mati dalam husnol khotimah dan dikurniakan syurganya.

Aamiin…

– Sofea (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *