Ibu seorang isteri kepada mutawif. Suami biasanya akan ke tanah suci setiap bulan selain musim haji. Rezeki, orang lain bergolok bergadai ke tanah suci tapi suami berulang alik lebih kerap dari pulang ke kampung.
Tahun 2020, azam ibu nak ikut suami ke tanah suci. Jadi memang dari beberapa tahun kebelakangan ni sangat agresif nak menabung simpanan. Ada lebihan RM50 pun terus masuk ke Tabung Haji supaya duit tak disentuh ke tempat lain.
Dalam masa yang sama ibu selalu buat kerja sukarelawan.
Selalu suami ibu ingatkan “kita bantu orang, Allah akan bantu kita. Kita mudahkan orang, Allah akan bantu kita.”
Banyak kali ibu pujuk suami untuk ikut ke tanah suci tapi suami diam. Simpanan ibu bajet dah cukup, nak bawa baby seorang. Jadi, RM10k dah memadai termasuk urusan suntikan vaksin, nak buat passport dan kelengkapan.
Nak tak nak memang kena ambil pakej daripada buat DIY Umrah sebab suami ibu mutawif, jadi bila kira kos pergi dengan pakej lebih murah sebab suami tak perlu keluar belanja.
Dah lama ibu melobi suami, buat proposal dan bentangkan belanja. Ibu siap cakap suami tak perlu keluar belanja pun, 100% ibu guna simpanan sendiri termasuk kos untuk anak. Cuma minta bawa ibu, ibu dah rindu sangat nak ke tanah suci.
Sehinggalah sehari sebelum suami balik Malaysia, semasa di Mekah suami mesej.
“Free tak? Nak call pasal umrah.”
Ibu pun terus sarung tudung. Biasa suami buat video call bila berhubung.
Terus suami bagi offer dia nak bawa pakej umrah 22 hari 20 malam tapi tak ada makanan. Kena makan sendiri. Harga pun berpatutan. Jarak hotel sekitar 500 meter dari Masjidil Haram.
Ibu dengar je.
Suami terus tanya.
“Kalau nak ikut, bagi jawapan segera. HQ kata kena confirm hari ni juga dan terus bayar deposit.”
Tak sempat nak fikir panjang terus setuju.
“Tapi, kalau nak ikut kena bawa semua anak.”
Allah. Diam sekejap.
Akhirnya selepas berbincang, suami tetapkan juga syaratnya kena bawa semua anak-anak.
QadarAllah. Ibu setuju. Lepas tamatkan panggilan terus bayar deposit umrah untuk kami.
Bila suami sampai Malaysia, baru sambung fikir mana nak cari lebihan duit dalam masa singkat.
Dan, ibu pejam mata keluarkan semua simpanan ibu dalam Tabung Haji. Suami pun keluarkan simpanan juga untuk cukupkan harga bahagian anak-anak.
Dalam masa singkat, kami uruskan suntikan vaksin, passport dan gambar visa.
“Berdoa lah banyak-banyak semoga Allah beri kecukupan.”
Kami perlu juga bawa duit di tangan 2k untuk makan. Dan tetap juga bawa bekalan dari Malaysia. Kalau berdua, makan roti pun dah selesa untuk alas perut tapi bila nekad bawa anak-anak kena sedia plan A, B, C.
QadarAllah. Gadai barang kemas. Memang bergolok bergadai lah. Tapi hati tak rasa sedih pun bila tengok simpanan dah habis. Tak sabar-sabar nak bertamu ke tanah suci.
Yakin. Allah akan bantu. Ibu dan suami ikhtiar apa yang mampu.
Allah susun cantik sangat.
Daripada nak pergi pakej 12 hari 10 malam, digantikan dengan 22 hari 20 malam.
Daripada nak bawa baby saja, digantikan pergi sekeluarga.
Sungguh, kami tawakal dengan Allah. Dan ikhtiar semampu yang boleh.
Allah atur, kawan yang lama menghilang pun muncul bayarkan hutang.
Allah atur, adik beradik yang berhutang pun bayarkan hutang.
QadarAllah. Simpanan yang kering kontang, boleh dikatakan hampir semuanya Allah gantikan semula dalam masa yang sangat singkat. Allahuakbar.
Sungguhlah.
Kita tolong orang, Allah akan tolong kita. Kita mudahkan orang, Allah akan mudahkan kita.
Semoga Allah rezekikan kita semua untuk menjadi tetamu Nya di tanah suci.
Doakan kami semoga perjalanan umrah ini diredhai.
– Ibu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit