Penat baca luahan isteri-isteri tentang masalah rumahtangga, punyai suami curang, dan sebagainya.
Sejujurnya saya juga begitu. Pernah rasa “dicurangi” oleh suami. Sehingga saya pernah seperti orang sakit mental bila terlalu fikir “dosa curang” yang suami lakukan.
Curang ni besar maksud dia. Curang yang buat perkara haram tak kira secara realiti ataupun di alam maya.
Curang means buat dosa maksiat sama ada melihat pornografi, sengaja melihat wanita seksi, fon sex, terlanjur dan seumpamanya. Ini dikira seolah-olah mencurangi isteri dalam diam. Apatah lagi curang yang lebih daripada itu.
Saya tergerak hati nak tulis ni sebab saya pernah diuji dengan “kecurangan” seorang suami.
Jadi, Saya ikhlas nak sampaikan nasihat ni kepada para isteri khususnya. Tolong dan tolong hentikan luah masalah suami atau masalah rumahtangga dekat Facebook. Tak payah dah tag suami dekat post yang berkaitan dosa suami etc.
Sebab pertama mostly lelaki memang takkan baca pun, yang baca mungkin sebahagian suami. Kedua sebab takut kawan FB baca dan sangka buruk pada suami kita (terbuka aib suami).
Dan pada saya media social bukan tempat terbaik untuk luahkan dan lepaskan rasa sedih dalam hati.
Kita cuba didik diri supaya jadikan Allah sebagai teman akrab kita. Di mana saja, masalah apa pun, luahlah pada Dia. Dia maha mendengar segalanya. Saya pernah luah menangis-nangis kat Allah, lepastu saya rasa tenang ya amat.
Didik diri jadi seperti Asiah isteri Firaun yang zalim tu. Macam mana Asiah berdoa pada Allah. Baca kisah-kisah srikandi seperti itu untuk dapatkan ilmu dan tahu kisah tentang mereka, perempuan dan isteri yang baik walaupun suami nya zalim tahap dewa.
Saya juga perempuan. Saya juga isteri kepada seseorang. Perempuan memang emosi, melebihi lelaki. Itu sebab kuasa talak bukan pada isteri. Tapi perempuan ni istimewa. Dia cepat matang berbanding lelaki.
Nak belajar jadi matang, boleh kaji dan baca sejarah Khadijah isteri Nabi. (Saya pun masih dalam proses nak khatamkan kisah-kisah Srikandi, nak ubah jadi isteri yang baik untuk suami saya).
Zaman serba canggih ni memang kita lagi senang nak buat dosa. Ini dipanggil zaman dajjal. Fitnah dan godaan sangat dahsyat. Sebab tu benteng kita kena kuat. Jadikan amalan-amalan khusus untuk kuatkan spiritual kita.
Kita sebagai isteri jaga part kita. Cuba sedaya upaya jadi isteri yang baik, taat suami (yang tidak bertentangan dengan agama), tak perlu kita nak fikir sangat pasal suami kita.
Curang ke, ada perempuan lain ke, main game ke, tengok perempuan seksi ke, dengar suara perempuan menggoda ke, biarkan. Lantak dia lah, Jangan kita sibuk jaga dosa-dosa yang mereka buat di belakang kita. Sebab apa?
Sebab dosa-dosa yang mereka buat tu kita langsung tak tanggung. Dia buat dosa, kalau dia taubat dan Allah terima Alhamdulillah.
Tapi kalau dia buat dosa, tak sempat taubat, lepastu mati, dia akan diazab oleh Allah. Isteri tak kena azab. Bukti dia ada dalam Al-Quran surah Yasin ayat 65. Dan ada beberapa lagi ayat dalam Qur’an Allah kata semua anggota badan kita akan ditanya termasuk hati kita.
Jadi usah risau sebab isteri tak tanggung dosa suami. Kita cuma boleh tegur sekali dua je. Kalau tak mau dengar juga doa saja lah pada Allah. Sebab suami ni ada ego dia. Memang susah nak terima teguran. Lagi-lagi cara kita tegur tak kena. Tapi apa pun doa itu penting.
Maka, begitu jugalah kita. Untuk kita nak tenang dan nak masuk syurga. Kita jaga je diri kita daripada dosa-dosa besar dan kecil. Muhasabah diri kita, tak perlu sibuk urusan dosa suami kita.
Amalkan doa di bawah ni supaya kita serahkan segalanya pada Allah. Biar Allah yang “uruskan” Suami kita.
Doanya begini,
“Ya Allah sekiranya di dalam pengetahuan Mu suamiku ini akan berubah jadi hambaMu yang bertaqwa dan jadi suami yang soleh, taat perintah Mu dan jauhi laranganMu, serta jadi suami yang bertanggungjawab maka Kau kekalkanlah serta bahagia kan kami hingga ke syurga.
Tapi sekiranya di dalam pengetahuan Mu suamiku ini takkan berubah jadi suami yang soleh dan hambaMu yang bertaqwa maka Kau jauhkanlah dia dan pisahkanlah dia daripadaku serta gantikanlah aku dengan suami yang lebih baik dan bertaqwa dari suamiku sekarang ini.” Aamiin….
Serahkan segalanya pada Allah, iaitu Pemilik hati-hati hambaNya. Isteri jadilah hamba Allah yang bertaqwa, semoga suami kita juga akan jadi hamba Allah yang bertaqwa.
Sahabat Rasulullah yang bernama Ibnu Masu’d berkata,
“Orang mukmin melihat dosa pada dirinya seolah-olah dia berada di bawah bukit yang akan menghempapnya, manakala orang munafik melihat dosanya umpama lalat yang hinggap di atas hidungnya lalu menepis dengan tangannya sahaja dan terbanglah lalat tersebut.”
Semoga di bulan Ramadhan ini kita dikurniakan sifat TAQWA kerana asbab Allah ciptakan bulan Ramadhan ialah supaya hambaNya bertaqwa. Rujuk surah al-Baqarah ayat 183.
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Jadi jika keluarnya kita dari Ramadhan tapi masih belum temui TAQWA, maka pintalah pada Allah agar dikurniakan hati yang lain (yang lebih bersih dan suci).
Akhir kalam, semoga puasa kita kali ini dapat mengubah kita agar menjadi hamba yang soleh, tinggalkan maksiat dan perkara lagha serta dikurniakan hati yang takut untuk berbuat dosa.
Ingat, Apa saja dosa yang kita takut dan malu bila buat depan manusia, maka kita perlu rasa perkara yang sama juga bila duduk berseorangan.
Kerana Allah lebih berhak untuk kita rasa takut dan malu apabila kita dengan sengaja melakukan dosa dan perkara mungkar yang Allah larang.
#Salam28Ramadhan
– Deheartyy (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit