Bertaubatlah, Allah Tetap Sayang

Sejak kebelakangan ini makin banyak berita dan kisah hangat melibatkan si penyondol AKA orang ketiga dalam rumahtangga sehingga saya sendiri bersimpati atas ujian yang menimpa para isteri yang dicurangi di luar sana.

Sebelum saya membebel lebih jauh, perkenalkan saya Maisarah (bukan nama sebenar) berusia awal 30an dan bekerja sebagai seorang penjawat awam.

Untuk pengetahuam, sebelum ini saya merupakan ibu tunggal anak seorang. Kami bercerai kerana bekas suami ada penyakit narcissistic yang amat teruk sehinggakan saya ditorture fizikal mental.

Alhamdulillah berkat meminta petunjuk Allah, Allah lorongkan hati ini bahawa membawa haluan masing-masing adalah yang terbaik.

Menjadi ibu tunggal memang tidak mudah, tapi percayalah, jika kita bergantung harapan pada Allah, semuanya menjadi indah disebalik ujian itu.

Stigma negatif masyarakat terhadap golongan J/SM takkan berubah sampai bila-bila kecuali kamu sendiri yang pandai menjaga nama baik title tersebut.

Setelah saya menjadi ibu tunggal, saya berusaha jaga diri dan imej membawa title tersebut bimbang orang lain menganggap saya janda miang, penyondol, dsb.

Hal penceraian saya juga saya tidak hebohkan di mana-mana media sosial termasuk di story whatsapp. Hanya keluarga dan sahabat baik yang saya percayai sahaja tahu perkara ini.

Tahu-tahu sahajalah lelaki pantang dengar nama-nama Miss J AKA Single Mother. Pasti akan ada yang cuba mengambil kesempatan baik lelaki bujang mahupun suami orang.

Setelah saya menjadi ibu tunggal yang berjaya, tiada sekelumit dalam hati mahu suami orang dan mahu rampas kebahagiaan orang lain kerana saya berfikir,

Dulu Allah uji saya mempunyai suami yang bermasalah, dan sekiranya saya menjadi isteri kedua/ketiga pasti akan timbul lagi masalah dan ujian dari segi isteri pertama, ketidak adilan suami, perasaan cemburu, ujian dari segi kos sara hidup, masa, tenaga dsb.

Untuk apa menghadapi ujian yang teruk selepas kita berjaya lalui ujian yang menyedihkan sebelum ini?

Saya lebih memikirkan untuk bahagia tanpa berhadapan dengan orang- orang yang memeningkan kepala.

Hidup terlalu singkat untuk bersedih. Selagi Allah beri umur, kesihatan,masa dan tenaga gunakanlah ia dengan sebaiknya. Hargai setiap nikmat yang Allah berikan tanpa melukakan dan menganiaya insan lain.

Suka saya kongsikan teguran Allah dalam ayat Al-Quran:-

Allah berfirman:-

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

(Al-Fussilat : ayat 46)

Hadamkan ayat teguran ini sedalamnya. Jika kita mempunyai hati yang bersih sebolehnya kita tidak akan menyakiti dan menganiaya insan lain apatah lagi seorang isteri yang banyak berkorban siang dan malam, sakit melahirkan anak.

Sepanjang saya menjadi ibu tunggal yang berjaya, saya tidak henti berdoa agar Allah temukan saya seorang suami yang ikhlas dengan saya, keluarga dan anak yang pastinya bukan suami orang.

Alhamdulillah, nikmat Tuhanmu yang mana kamu dustakan? Allah kurniakan kepada saya seorang suami bujang yang insyaAllah terbaik untuk saya dunia akhirat. Mudah-mudahan. Amiin Ya Rabb.

Allah Maha Baik. Dia tidak menzalimi hambaNya. Bahkan sekiranya kita sabar hadapi ujian itu, pahala sabar, berita gembira pasti mengejar kita.

Ujian demi ujian yang kita lalui mudah-mudahan menjadikan kita hamba yang menyerah kepadaNya.

Ingatlah, hidup di akhirat itu lebih lama, seksanya juga lebih sakit.

Sebelum menganiaya orang lain, sebelum menyakiti insan lain, fikirlah adakah kita ingin hidup bahagia di akhirat atau ingin menanggung azab seksa yang kekal selamanya?

Sebelum melakukan kerosakan atas bumi ini,ingat Allah, ingat Allah dan ingat Allah pasti kamu akan lebih takut kepadaNya.

Suka saya ingin kongsikan doa Rasulullah SAW:-

Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Hakim, Nabi berdoa, “Ya Allah, anugerahkanlah untuk kami rasa takut kepada-Mu, yang dapat menghalangi antara kami dan perbuatan maksiat kepada-Mu..”

Wahai wanita yang bermaruah jaga diri kamu kerana kamu begitu berharga.

Serikandi-serikandi Islam terdahulu amat memuliakan diri mereka sehingga mereka digelar Ketua Bidadari Syurga dan bidadari Syurga amat cemburu kepada kita.

Wahai lelaki budiman, kamu diciptakan sebagai seorang pemimpin. Jadilah kamu pemimpin yang berwibawa agar di akhirat sana, Rasulullah SAW bangga dengan kamu.

Man khasyiyar-raḥmāna bil-gaibi wa jā`a biqalbim munīb.

Mari kita renungkan sebuah firman Allah dalam QS. Qaf ayat 33, yakni:

Ertinya: “(Iaitu) orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat”.

Bertaubat sebelum terlambat. Sesungguhnya Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

– Duri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *