Assalamualaikum. Aku kenalkan diri aku seorang yang kurang kasih sayang. Aku dah umur 30an. Masih belum berkahwin.
Tapi aku bukan nak cerita pasal jodoh yang belum kunjung tiba.. aku nak cerita yang aku kurang kasih sayang dalam keluarga aku. Aku berasal dari utara.
Aku ada 7 orang adik beradik dan aku seorang saja perempuan. Aku anak ke 4.
Kalau jumpa sesiapa dan tahu aku anak perempuan tunggal, kebanyakan akan kata ‘wah! Bertuahnya’. Aku sebenarnya tak tahu apa yang bertuahnya aku ni.
Aku tak rapat pun dengan keluarga aku termasuk mak dan ayah. Aku rasa diri aku mula menjauh dengan keluarga sejak aku sekolah menengah sebab aku sekolah berasrama.
Masa aku duduk asrama dulu, keluarga aku jarang pergi ziarah walaupun rumah dengan sekolah jarak dalam 1 jam.
Aku selalu menangis bila tengok keluarga kawan-kawan aku datang lepas tu buat small picnic kat padang sekolah. Kadang-kadang aku ada call rumah tapi tak borak lama pun.
Dulu tak ada handphone lagi. Guna public phone saja. Beratur punya lah lama sampai pernah 1 jam sebab beria nak call rumah.
End up 2,3 minit saja on phone. Bila tiba hari untuk balik rumah, aku balik sendiri naik bas. Masa tingkatan 1 saja mak aku pergi ambil kat sekolah. Macam tu la aku sampai habis SPM.
Pastu sambung belajar dekat IPTA kat Selangor. Lagi la aku jauh dengan keluarga. Waktu tu dah mula ada handphone sendiri.
Aku call parents aku hari-hari tapi macam biasa tak cakap lama. Kadang-kadang tu diorang akan tanya “haa ada apa call ni?” “Tu saja? Ok dah ayah sibuk ni”.. kadang-kadang mak aku pun macam tu jugak.
Dengan abang-abang dan adik-adik aku lagi la tak berhubung langsung. Makin lama aku jadi makin tak ada perasaan dah nak call. Diorang pun tak call tak tanya khabar aku macam mana.
Waktu tu abang aku 2 orang ada belajar dan kerja kat Selangor jugak tapi diorang langsung tak ambil tahu pasal aku. Cukup makan ke tak, sihat ke tak. Aku rasa aku ni macam tak wujud pun dalam keluarga tu.
Dipendekkan cerita, baru-baru ni aku baru sahaja habiskan pengajian Master dekat IPTA Selangor juga dan baru sahaja konvo.
Tapi hari konvo tu aku rasa macam hari paling sedih dalam hidup aku. Sebabnya aku pergi konvo seorang diri. Parents aku ada saja kat Selangor.
Diorang stay dekat rumah abang sulung aku. Mostly family aku ada kat area Selangor dan KL. Tapi seorang pun tak datang pada hari konvo aku.
Aku konvo hari Ahad dan abang-abang aku semua tak kerja hari Ahad. Aku cuba fikir positif, mungkin sebab covid ni yang buat diorang tak nak datang.
Tapi sepositif mana pun aku fikir, air mata aku tetap tak boleh berhenti mengalir. Bila aku keluar dari dewan, aku terus sebak bila tengok keluarga kawan-kawan aku.
Ada yang datang dengan surprise, ada yang datang 2,3 buah kereta penuh 1 keluarga.
Keluar-keluar dewan saja mak ayah peluk ucap tahniah, adik beradik, suami, isteri dan anak-anak pun sama datang support, celebrate kejayaan bersama-sama dengan diorang.
Tapi aku?
Keluar dewan hanya mampu memerhati wajah-wajah kegembiraan orang lain.
Lama aku berdiri di satu sudut dewan sebab aku berangan keluarga aku ada sama. Aku berangan diorang datang surprise kan aku. Aku berangan semua ahli keluarga aku datang.
Tapi, itu semua hanya mimpi.
Aku cuba buat video call nak tunjuk aku dah dapat sijil. End up tak ada sorang pun family aku yang angkat call. Minggu depannya aku pergi rumah abang sulung aku.
Parents aku masih ada lagi kat sana. Tapi aku hanya boleh singgah sekejap saja sebab diorang dah plan nak pergi Melaka.
Aku cakap nak ikut tapi abang aku tak bagi. Last-last aku balik lah ke rumah sewa tanpa sempat pun tunjukkan sijil Master pada diorang.
Aku sedih sangat. Aku tak tahu nak luah pada siapa. Aku banyak pendamkan diri dan akhirnya aku yang sakit.
Aku tak kisah kalau kawan-kawan yang tak pedulikan aku, tapi aku sedih sangat bila keluarga sendiri tak anggap aku wujud. Aku tak tahu apa salah aku.
Kalau aku balik kampung, aku jadi macam tunggul kayu. Tapi semua kerja-kerja rumah tetap aku juga yang kena buat.
Selalunya aku dengar, kalau anak perempuan tunggal mesti rapat dengan ayah. Tapi aku tak. Sahkan nak peluk bergurau senda dengan ayah, bercakap pun sepatah-sepatah saja.
Jujurnya aku sangat cemburu bila tengok kawan-kawan aku yang rapat dengan ayah diorang. Boleh cerita macam-macam perkara. Ada yang siap keluar dating dengan ayah lagi. Tapi aku? Sekali lagi hanya mampu berangan.
Kadang-kadang aku terfikir, mungkin salah satu sebab Allah belum hadirkan jodoh untuk aku disebabkan hubungan aku dengan keluarga yang tak berapa baik.
Tapi aku tak tahu nak betulkan dari mana. Apa yang aku perlu buat? Makin hari aku rasa aku makin menjauh dari keluarga sendiri. Sungguh aku tak kuat.
Bertuahkah aku?
– Asfa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit