Better Late Than Never

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih kerana sudi menyiarkan confession ni.

Aku nak cerita kisah aku ketika menyambung pelajaran selepas zaman sekolah dan bagaimana aku jatuh beberapa kali sebelum bangkit.

Aku dilahirkan pada tahun 1986. Sebaik tamat SPM pada tahun 2003 dan sementara menunggu keputusan keluar, aku ambik kursus bahasa inggeris di Infotech Mara. Bila result diumumkan, SPM aku hanya dapat 1A sahaja. Manakala subjek Bahasa Inggeris hanya dapat D7 sekaligus menyukarkan aku dapat universiti/matrikulasi dan jurusan pilihan. Jadi pada Julai 2004 mendaftar masuk tingkatan 6 di sebuah sekolah kerajaan.

Ketika habis lower 6 pada hujung 2004, aku decide untuk berhenti tingkatan 6 dan menerima offer dari Politeknik untuk diploma kejuruteraan..since aku ada basic civil engineering ketika belajar di sekolah teknik. Keputusan yang aku buat waktu itu juga disebabkan terikut dengan kawan-kawan yang berhenti form 6 pada hujung tahun.

Jadi aku pun mendaftar masuk di politeknik Shah Alam. Malangnya ketika belum habis semester pertama, aku memilih untuk berhenti atas sebab peribadi. Marah dan kecewanya mak aku waktu tu. Tetapi keputusan telah dibuat oleh aku. Kaunselor di Politeknik tu tak mampu untuk mengubah hasrat aku yang ingin berhenti.

Pada Mei 2005 aku bekerja sambilan di McDonalds sementara menunggu ‘destinasi’ seterusnya. Pada hujung 2005 aku mendapat offer menyambung diploma di UiTM Shah Alam. Ia bukanlah bidang yang aku nak. Tetapi apa pilihan yang aku ada since keputusan SPM aku tidaklah memberangsangkan terutama subjek B.I. Jadi aku tetap mendaftar masuk.

Ketika masih sem 1 di UiTM, sekali lagi aku decide nak berhenti atas sebab sendiri. Bapa saudara aku begitu marah pada aku. Aku sendiri kecewa dengan diri aku. Apatah lagi bila memikirkan sepupu seusia sudahpun menerima tawaran menyambung degree.

Julai 2006 ketika sudah berusia 20 tahun aku membuat keputusan untuk menyambung kembali tingkatan 6 yang aku pernah belajar separuh jalan dahulu..dimana mak aku (tanpa putus asa) mendaftarkan aku masuk di sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur. Kali ni, aku berjaya menghabiskan pelajaran dengan mengambil STPM 2007 selaku calon persendirian.

Ketika keputusan STPM diumumkan, aku boleh menarik nafas lega apabila aku mendapat keputusan 1A dan 4B. Walaupun hanya 1A, tapi semua sedia maklum STPM antara peperiksaan paling susah di Malaysia.

Pada pertengahan 2008, ketika berusia 22 tahun..aku mendaftar masuk di sebuah IPTA di utara tanah air dengan mengambil kursus ijazah pilihan aku. Di penghujung sem 1, permohonan biasiswa JPA aku telah diluluskan. Lebih menarik, aku mohon menggunakan result STPM 2007 aku.

Dipendekkan cerita, aku berjaya menamatkan ijazah pada tahun 2012 dengan mendapat keputusan 2nd class upper. Waktu tu aku sudahpun berusia 26 tahun. Alhamdulillah akhirnya..

Menyentuh soal kerjaya pula selepas berjaya tamatkan degree, tak dinafikan untuk mendapat kerja tetap zaman sekarang sangatlah sukar. Aku bermula dengan kerja berstatus kontrak di 2 buah bank sebelum mendapat pekerjaan tetap ketika sudah berusia hampir 30 tahun sebagai eksekutif di salah sebuah bank berstatus GLC di Malaysia.

Apa yang aku cuba nak sampaikan ialah, sebagai manusia kita memang tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Hatta dalam kes aku, kesilapan tu dilakukan berkali-kali. Yang penting, kesilapan tu dijadikan panduan dan pedoman. Juga mesti berazam untuk tidak lagi melakukan kesilapan yang sama pada masa akan datang. Walaupun hanya tamat degree serta mendapat kerja tetap masing-masing ketika berusia 26 dan 30 tahun, mungkin istilah ‘better late than never’ lebih sesuai dalam kisah hidup aku.

Terima kasih dan Wassalam.

– Saya Insan Biasa

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit