Betul Ke Bahagia Ini Kekal?

Assalamualaikum dan hai semua. Aku rasa terpanggil nak berkongsi dengan korang luahan hati aku.

Pernah tak korang rasa bahagia setelah berbelas tahun hidup korang dikelilingi dengan masalah? Dan korang rasa ragu-ragu adakah kebahagiaan yang korang rasa ni akan kekal sampai bila bila?

Oh, sebelum tu aku rasa aku kena cerita sedikit jalan hidup aku. Mungkin lagi senang nak faham situasi aku.

Aku kematian ayah sejak aku kecil lagi ketika aku berumur empat tahun. Yang buat aku rasa terkilan sampai sekarang ialah punca kematian ayah aku. Ayah aku terkena buatan orang. Yes. Buatan orang.

Jadi bayangkan, ayah korang ‘dibunuh’ oleh orang lain dan sampai sekarang, korang tak tahu siapa yang hantar sihir tu kat ayah kau.

Kau terpaksa membesar berbelas tahun tanpa kasih sayang seorang ayah. Walaupun ya, aku tahu lebih baik ayah aku pergi dari menderita menahan sakit.

Tetapi, aku rasa sebab ketiadaan ayah aku lah, hidup aku dan orang yang rapat di sekeliling aku terpaksa berhadapan dengan ujian bertimpa-timpa. Lagi-lagi mak aku.

Mak aku lah orang paling tabah dan kuat yang pernah aku jumpa. Korang bayangkan, di usia muda dah terpaksa menanggung kesusahan untuk sara hidup aku dan adik beradik aku.

Mak aku kerja dia biasa sahaja. Nak dipendekkan cerita, keluarga aku sekali lagi diuji dengan abang aku pula kemalangan di jalan raya tak beberapa tahun lepas ayah aku meninggal dunia.

Waktu tu, dia baru sahaja tamatkan pengajian dia di universiti dan mahu mencari kerja. Dia terpaksa dibedah dan untuk beberapa tahun perlu untuk berehat dari melakukan sebarang kerja berat.

Dia tak boleh nak cari kerja. Jadi bayangkan, anak sulung yang baru habis belajar tak dapat nak bantu mak kau dan diuji pula dengan sakit lain. Aku membesar dalam keadaan terpaksa melihat abang aku menahan sakit di rumah.

Kesusahan yang aku alami ini membuatkan aku tekad untuk belajar betul betul agar aku dapat menjadi orang yang berjaya dan dapat meringankan beban keluarga aku. Tapi macam biasalah. Bila satu tiang penting dalam rumah kau tiada, harapan kau untuk rasa kebahagiaan amat tipis.

Aku mempunyai seorang lagi abang yang agak panas baran. Abang aku yang ni, aku boleh katakan rezeki dia agak murah. Rupa pun ada. Cuma, dia susah nak ‘ngam’ dengan tawaran pekerjaan yang dia dapat.

Berbelas pekerjaan yang dia pernah dapat, berbelas kali jugalah dia berhenti. Mak aku dah banyak kali cuba untuk memujuk dia supaya jangan berhenti kerja. Tapi, akhirnya dia berhenti juga.

Pernah untuk beberapa tempoh yang agak lama, mak aku terpaksa bayar komitmen bulanan abang aku setelah duit simpanan dia habis.

Sampai ke satu tahap, mak aku terpaksa menggunakan wang simpanan aku dan adik beradik aku yang lain (hasil peninggalan arwah ayah aku) untuk menyelesaikan beban komitmen bulanan tersebut.

Demi menjaga hati abang aku, mak aku turuti juga. Ye lah, nanti segala rasa tidak puas hati abang aku akan dilepaskan pada mak aku.

Cuma, abang aku tidak pernah mencederakan mak aku, cuma sakitkan hati mak aku dengan kata-katanya yang tajam tu selalu lah. Aku yang dengar pun selalu akan menangis, ni kan pula mak aku.

Abang aku selalu menyalahkan mak ayah aku dengan nasib yang menimpanya. Katanya ayah aku garang dengan dia.

Tapi mengikut pendapat abang aku yang sulung, arwah ayah aku selalu akan menangkan abang aku yang kedua kalau mereka bergaduh sesama sendiri. Aku rasa korang yang ada adik beradik semua mungkin fahamkan situasi ni?

Yang peliknya, abang aku yang sulung tu lah yang nampak paling redha dengan situasi kami sekeluarga. Begitulah perjalanan hidup aku untuk berbelas tahun lamanya. Kitaran dia sama.

Punca hidup aku tak tenang adalah masalah orang sekeliling. Pernah sekali aku tengah belajar dan abang aku nombor kedua datang ke bilik mak aku.

Memang itu la rutin mingguan beberapa kali. Dia akan datang ke bilik untuk mengadu berkenaan masalah dia yang tiada pekerjaan dan tidak boleh berkahwin. Waktu tu mak aku tengah tidur dan aku pun buka pintu bilik.

Sebab mungkin aku geram dengan rutin mingguan dia yang datang untuk melepaskan kemarahan dan masalah hidup dia yang membuatkan kami semua tidak tenang, aku menggelengkan kepala dan memberitahu mak aku sedang tidur dalam nada suara orang yang tidak puas hati.

Ye lah, aku tengah belajar, mak pula tengah tidur. Buat apa nak kacau. Sekali abang aku rasa geram dengan aku dan mengugut untuk baling buku yang aku tengah pegang waktu tu kat muka aku. Ugut saja la.

Kan aku kata, dia tidak pernah mencederakan secara fizikal, tapi kata kata dia pun dah cukup untuk menyakitkan hati orang dan buat orang ingat kata kata yang menyakitkan tu sampai bila bila.

Mungkin korang semua dapat bayangkan tahap toxic environment yang aku terpaksa hadap di rumah.

Oh ya. Abang aku yang panas baran tu selalunya tidak akan pernah berani buat hal depan abang aku yang sulung. Kalau tak, nanti jadilah perang dunia kedua. Jadi, hubungan mereka memang dingin dari kecil kerana sering bergaduh.

Bayangkan, anda berada di situasi aku? Dari kecil rasanya, aku tak pernah rasa kebahagiaan yang kekal. Hari biasa hambar, apatah lagi hari raya.

Aku dengan arwah ayah aku sangat rapat. Mungkin sebab aku sorang saja anak perempuan. Aku kalau waktu raya, automatic akan rasa sedih yang melampau.

Orang lain raya, keluarga happy. Aku langsung tak boleh relate. Dalam keadaan keluarga yang tidak bersatu macam ni. Lepas arwah ayah aku meninggal, boleh dikatakan keluarga aku hampir tidak pernah ambil gambar sekeluarga. Mungkin sekali dua? Tu pun atas permintaan orang lain.

Nak dipendekkan cerita, hasil usaha aku belajar betul betul membuahkan hasil. Aku menerima tawaran biasiswa dari pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Dan setelah mempertimbangkan pros and cons, aku memilih untuk menerima tawaran biasiswa yang sekali dengan bond kerja. Ya, aku rasa itu jalan terbaik untuk aku.

Sekurang-kurangnya tamat belajar, aku tiada hutang dan hanya perlu untuk habiskan bond kerja aku. Aku belajar di negara barat untuk beberapa tahun setelah berjaya habiskan program persediaan ke luar negara.

Dan ya, di sini la kebahagiaan aku bermula. Aku duduk jauh dari family, tidak lagi dikelilingi oleh manusia yang mendatangkan aura negatif pada aku.

Aku dimurahkan rezeki dengan mempunyai sahabat rapat yang baik semuanya. Aku mampu hidup berdikari di negara orang buat pertama kalinya.

Boleh dikatakan, aku baru mengecapi kebahagiaan yang aku inginkan. Aku mempunyai ramai teman rapat perempuan yang aku anggap macam kakak dan adik beradik aku.

Ye lah. Selama ni membesar dikelilingi oleh lelaki. Namun, masa berjalan pantas dan akhirnya, aku pulang ke tanah air setelah menamatkan pengajian degree aku.

Waktu ni, aku berasa sedih yang amat kerana aku bakal berpisah dengan kawan kawan aku yang aku anggap macam keluarga aku. Mereka semua berasal dari negeri yang lain dari aku. Untuk berjumpa selalu, amat susahlah.

Dan sewaktu aku belajar, aku juga seperti orang lain. Kerana fitrah manusia tidak akan pernah larikan?

Aku harapkan sewaktu aku belajar, aku akan bertemu dengan seseorang yang boleh dijadikan calon untuk aku berumahtangga untuk beberapa tahun yang akan datang nanti.

Oh, lupa untuk aku ceritakan. Kedua-dua abang aku telah pun berkahwin sewaktu aku belajar di universiti. Jadi, aku mula berasa sunyi. Aku membesar dalam ketiadaan kasih sayang dari seorang ayah dan sudah tentu fitrah aku sebagai perempuan ingin disayangi dan dihargai.

Namun, mungkin aku tiada rezeki dalam percintaan ketika belajar di negara orang walaupun di sana mempunyai komuniti melayu yang agak besar dan majoriti merupakan kawan aku juga.

Ya, aku tidak pernah bercinta sekalipun seumur hidup aku. Mungkin juga kekurangan aku dari segi rupa, tidak secantik kawan kawan aku yang lain, tetapi manis sikit tu ada la.

Jadi, aku pulang ke tanah air dengan fokus baru untuk berjaya dalam kerjaya pula. Sekarang, aku sedang bekerja di ibu kota. Jauh dari keluarga aku.

Cuma sekarang, aku berasa sedih kerana mak aku disahkan berpenyakit dan harus bergantung kepada ubat. Melihat keadaan ibu aku yang semakin dimamah usia, aku berasa kecewa kerana tidak dapat duduk dekat dengan ibu aku.

Aku selalu overthink, what if mak aku tiba tiba tinggalkan aku pula? Aku rasa hidup aku akan rasa sekosong kosongnya. Dalam keadaan aku yang tiada tempat bergantung ni. Aku hanya boleh mendoakan yang mak aku akan dipanjangkan umur.

Aku mempunyai impian. Selain nak bawa mak aku nak pergi haji, aku harap umur mak aku panjang untuk tengok aku kahwin, ada anak dan biarlah anak anak aku membesar mengenal rupa nenek mereka. Cukuplah mereka tidak dapat mengenal muka atuk mereka.

Aku mengharapkan doa kalian agar aku dipercepatkan urusan untuk ditemukan jodoh dengan seorang lelaki yang baik budi pekerti dan soleh. Aku sudah pasang niat untuk kahwin beberapa tahun lagi apabila sudah bersedia. Aku bukan apa.

Aku nak lelaki yang boleh jadi imam yang baik, boleh bawa aku dan anak anak aku ke syurga supaya boleh berjumpa semula dengan arwah ayah aku nanti. Aku rindu sangat dekat dia.

Tolong doakan bahagia aku ini kekal ya? Dan doakan semoga mak aku panjang umur. Terima kasih semua.

– Husna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *