Betul Ke Nak Buat Perubatan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih admin siarkan luahan aku. Maaf kalau aku tak pandai nak menulis best-best macam confessor lain.

Aku ialah seorang pensyarah perubatan di universiti awam. Umur pertengahan 30an. Sekarang banyak isu tentang doktor; burnout, pos kontrak, gaji rendah dan macam-macam lagilah.

Tapi sebenarnya pelajar yang nak buat medic ni sentiasa bertambah. Tak padan dengan kontroversi pasal kerjaya doktor dalam surat khabar.

Setiap kali musim interview, penat betul nak menapis calon-calon. Yang memohon beribu-ribu. Tempat setiap universiti pula terhad, kadang seratus kadang 60.

Kalau tak dapat, ramai akan cuba pergi ke negara luar atau universiti swasta. Aku tidak ada masalah mereka nak ke universiti awam, luar negara atau universiti swasta, asalkan kau pergi universiti yang diiktiraf MMC.

Pesan buat ibu bapa,

Semasa interview, ramai pelajar akan kata, “Saya ialah harapan ibu bapa saya untuk jadi seorang doktor”.

Bila kami tanya, “Awak sendiri minat ke nak jadi doktor ni?”. Semua pun kata, “Oh saya minat, dari kecik nak jadi doktor”. Aku pun tak pasti diaorang ni minat betul ke, nak sedapkan hati penemuduga.

Tetapi bila stress di pertengahan jalan, ramai yang salahkan ibu bapa.

Jadi point pertama aku, ibu bapa jangan paksa anak jadi doktor. Bagi pendedahan tentang doktor tak apa. Biar anak buat pilihan sesuai tak dengan jiwa mereka.

Walaupun doktor di Malaysia ni makin ramai, tapi kerjanya memang tak pernah berkurang. Yang dalam drama tu memang nampak macam best – bedah pesakit, cakap dengan pesakit lama-lama.

Ada satu drama Abang Bomba tu siap boleh termenung panjang teringat kat Abang Bomba.

Tapi hakikatnya satu doktor nak kena jumpa kadang-kadang 100 pesakit sehari. Nak buat surat keluar hospital, isi borang itu ini. Makan pun kadang tak sempat. Nak kerja macam ni, minat tu memang perlu ada.

Kita memang berharap anak kita boleh jadi pakar macam yang keluar di tv dan surat khabar. Tapi jalannya panjang.

5 tahun ijazah, 2 tahun houseman, 2 tahun pegawai perubatan (biasanya lama lagi), dan 4 hingga 7 tahun buat sarjana kepakaran. Paling kurang 13 tahun nak jadi pakar.

Tak habis lagi tu, gazet 6 bulan, buat subkepakaran lagi 3 tahun kalau nak sambung. Kalau anak kita minat, mungkin tempoh ini akan jadi the most fulfilling life. Tapi kalau tak minat, memang azab.

Aku pernah jumpa houseman yang meluahkan perasaan bagaimana ibu bapanya yang nak dia jadi doktor.

Dia sakit hati bila dia balik lewat malam, ibu bapanya sedap-sedap tidur. Sedangkan dia kerja penat macam ni sebab ikut kata ibu bapa.

Untuk pengetahuan semua, lebih kurang 300 doktor pelatih berhenti setiap tahun.

Tak salah berhenti, mungkin rezeki kerjaya di tempat lain. Tapi kalau dari awal tak minat, baik jangan bazirkan masa di medical school. Banyak lagi kerjaya lain yang hebat-hebat kalau kita explore.

Pesan buat anak,

Dari beribu-ribu pelajar yang mohon tu, dari segi akademiknya semua layak. Semua pointer 3.90 ke atas.

Tidak dinafikan sistem pendidikan negara kita memang prepare pelajar jadi scorer dalam exam. Tetapi kalau betul nak jadi doktor, pastikan kita bukan seorang yang kaki study saja.

Doktor yang memberi kesan pada pesakit bukan yang pandai saja, tapi yang berkomunikasi dengan baik.

Doktor yang bagus bukan merawat penyakit saja, tetapi melihat insan yang berhadapan dengan penyakit juga. Ini bukan skill yang datang dari IQ tapi dari EQ kita. Dan EQ ni bukan dari buku tapi pengalaman dan kematangan.

Sepanjang hampir 10 tahun aku terlibat dengan budak-budak medic ni, ada dua kategori. Kategori pertama, kaki study dan tak minat nak libatkan diri dengan sukan, persatuan atau kerja komuniti.

Cakap dengan pesakit pun keras je nampak. Diaorang ni memang akan grad cemerlang tapi ramai juga yang berhenti masa kerja.

Kategori kedua, pelajar yang balance. Study pun buat, banyak join co-curriculum. Hujung minggu cari peluang buat kerja sukarelawan.

Biasanya diaorang ni yang buat houseman dengan smooth dan ramai dari mereka ni survive buat kepakaran sebab pandai handle stress.

Satu lagi aku selalu fikir diaorang yang selalu volunteer ni, mungkin sebab selalu dapat doa dari pensyarah dan komuniti yang diaorang tolong.

Aku pun kalau doa, selalu tak berapa terlintas nama yang kategori 1, tapi yang kategori 2 ni selalu teringat.

Okay panjang pulak. Ini last tapi macam trivial sikit nampak.

Pesan buat pelajar,

Sebenarnya ini tak terhad kepada pelajar perubatan. Semualah. Zaman aku jadi pelajar sekolah dulu, bercakap bahasa Inggeris tu memang kira hebat, biasanya set debaters saja.

Zaman sekarang ni ramai pelajar memang boleh bercakap dalam bahasa Inggeris. Mungkin sebab belajar Sains dalam English, faktor internet dan sebagainya.

Aku sangat support pelajar aku cakap dalam bahasa Inggeris, broken pun tak apa. Tapi satu je. Korang jangan gulung R tu tebal-tebal macam seorang pelakon wanita terkenal ni. Gulung R tebal-tebal tak menjadikan accent English kita bagus.

Sebenarnya jika dibandingkan negara lain yang tak cakap Inggeris, lidah kita orang Malaysia ni cakap English dah jelas dah pronunciation.

Aku tak tipu ni sebab masa belajar di luar negara, member-member orang putih aku yang bagitau. Just be natural and focus on what you would like to say.

Bila kita dok sibuk gulung R tebal-tebal pastu tambah lagi “like, like, like”. Aku pening jadi dengar budak-budak ni nak cakap apa sebenarnya.

Nak tegur depan-depan tak sampai hati. Tapi pening tau dengar presentation ramai-ramai gulung R ni. Hehe.

Semoga yang masuk medic bulan 10 ni jadi doktor yang baik. Yang di bangku sekolah, explore dulu kerjaya-kerjaya yang ada. Jangan sempitkan pilihan kita.

– Pensyarah Prihatin (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *