Hai dan Assalamualaikum semua. Saja nak tanya kau orang semua. Pendapat korang lah kan, penting atau tak sebenarnya sembahyang @ solat bagi seorang Muslim ya?
Sebabnya kan, yelah, aku selalu sangat perhatikan. Solat Fardhu vs Puasa Ramadhan.
Ramai dari kita selalu train anak-anak berpuasa dari umur yang cukup muda, seawal 3 tahun pun ada. Umur 7 tahun, puasa penuh sebulan Ramadhan. Wah, sangat bagus kan kedengarannya?
Aku pun turut gembira bilamana ada ahli keluarga yang berpuasa penuh sejak umur 7 tahun lagi.
Tapinyaaaaaa, kenapa lah Solat Fardhu yang merupakan tiang agama langsung tidak dititik beratkan oleh ibu ayah ya. Anak kecil bangun sahur jam 4/5 pagi boleh, tapi sayang seribu kali sayang, tiang agama ditinggalkan terus (Solat Subuh).
Ibu ayah kepada si anak kecil ni kebiasaannya berbangga sehingga mempamerkan kemampuan anak kecil mereka berpuasa penuh di media sosial masing-masing.
Ini memang berlaku dalam kalangan ahli keluarga aku semdiri ya, sebab tu aku boleh tulis sebegini.
Selepas berbuka puasa pula, aku ajak si anak kecil ini dan adik beradiknya untuk Magrib berjemaah tetapi langsung ditolak. Salah anak kecil kah atau salah ibu ayahnya kah atau salah aku sebab mengajak berjemaah?
Macam mana agaknya nak tanamkan kesedaran betapa pentingnya Solat Fardhu berbanding puasa ramadhan, entah aku pun tidak tahu kerna didikan mak ayahku lain.
Oh ya, si anak kecil tu berumur lebih kurang 9/10 tahun. Takkan lah aku nak merotan anak orang pulak kan? Tak logik, sedangkan ibu ayahnya sendiri pun tidak ambil berat hal ini.
Aku juga telah berkahwin dan pasanganku dari keluarga yang sedikit berbeza background denganku. Pernah kami beraya bersama keluarga besar suami, sehingga ke sempadan negeri (tidak cukup marhalah untuk jamak ya).
Azan telah berkumandang, namun semua masih asyik beraya. Ya, aku faham, raya kan untuk mengeratkan silaturrahim dan ia dituntut dalam Islam. Malahan, ganjarannya adalah pahala.
Akan tetapi, sedikit pun mereka tidak berganjak sebentar untuk menunaikan solat. Nasib baik suamiku keluar sebentar ke surau berdekatan.
Tenang sedikit hatiku yang gusar waktu itu. Kebetulan aku datang bulan, jadi tiada keperluan ke surau. Dan kami semua pulang kerumah waktu Isyak. Bermakna 3 waktu solat yang dilalui.
Itu kali pertama kejutan yang aku lalui selepas berkahwin. Betapa Solat Fardhu bukan tiang agama ya.
Dan pada bulan Syawal lepas, ada majlis kahwin keluarga sebelah suamiku. Biasalah, majlis berlangsung jam 11-3 atau 4 petang begitu.
Apabila azan Zuhur berkumandang dan sepanjang waktu Zuhur, tiada seorang pun kelibat ahli keluarga yang menunaikan Solat Zuhur di surau yang disediakan.
Apakah kalian risau kena touch up makeup balik? Atau takut baju cantik bling bling kebasahan?
Allahu Akbar, betapa mahalnya harga make up dan baju kalian ya. Betapa murahnya harga tiang agama di sisi seorang Muslim. Aku tak mampu lah nak tegur, sebab masing masing dah dewasa.
Tapi, perbuatan si dewasa akan diikuti oleh yang masih muda. Mungkin si muda atau kanak-kanak akan berfikir, ” Ah, mummy daddy tak solat, buat apa aku nak solat zuhur”.
Tapi aku nak buat pengakuan lah ya. Aku bukan seorang Muslim yang baik. Aku ni bukan lah ustazah, bukan belajar agama. Bukan pakai purdah atau niqab.
Cuma, aku nak tiang agama sempurna supaya aku dapat ke syurga bersama insan insan yang tersayang. Hanya dengan suami je aku boleh bersuara tentang hal ini, kalau ada anak, aku akan ajar dia juga nanti, InsyaAllah.
– Cik Boonga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit