Biadab Si Peminta

Bismillah, terima kasih jika cerita ini di siarkan. Saya hanya ingin berkongsi peristiwa yang terjadi. Mungkin ada salah di pihak saya dan juga mungkin ada salah di pihak dia. Biarkan cerita ini menjadi iktibar. Yang baik kita ambik. Yang buruk, lebih baik ditinggalkan.

Minta maaf jika tajuk itu agak keterlaluan.

Tajuk : Biadap si peminta.

Hari ini merupakan hari yang paling memenatkan buatku. Terpaksa bekerja pada hari sabtu. Maka hari ahad merupakan hari untuk aku bersama rakan-rakan dan berehat.

Aku memilih untuk bertemu kawan karib semenjak dari sekolah menengah ; Shah. Aktiviti bermula dari awal pagi sehingga ke malam. Sewaktu kami ingin mengakhiri pertemuan kami, kami memilih untuk makan di Shah Alam dan cerita ini akan bermula di sini. Di tempat yang melakar satu memori yang mengejutkan buat kami.

Segalanya bermula apabila seorang gadis menghampiri meja kami. Aku dapat meneka dari awal niat si gadis itu; meminta sumbangan untuk anak yatim atau sekolah tahfiz.

Dengan muka mencuka gadis itu memberi salam. Maka kami menjawab salam dengan segera. Sesi memperkenalkan tujuan sumbangan itu dimulai. Aku dan Shah sama-sama menolak dengan baik. Aku mulakan dengan mengangkat tangan menandakan tidak sambil memberikan senyuman. Mungkin dengan senyuman dapat menunjukkan penolakan yang lebih sopan. Andaiku.

Gadis itu menjadi lebih agresif dengan memujukku untuk menderma atau bagiku lebih kepada memaksa. Kami tetap menolak. Bagi aku, aku sudah banyak mendengar cerita berkaitan dengan sendiket-sendiket seperti ini. Apatah lagi dengan cara si gadis itu, memasam muka dan memaksa. Dapat mematahkan niat kami untuk menderma. Mungkin lebih molek jika dimulakan dengan senyuman bukan dengan jelingan dan muka mencuka.

TIBA-TIBA. Sesuatu kertas tercampak di atas meja. Lalu gadis itu berlalu pergi.

“Eh, budak tu campak resit ke apa?” Soalku di dalam hati.

“Shah, budak tu terjatuhkan resit ke? Ke dia sengaja campak kat kita?” Soalan itu akhirnya ditujukan kepada Shah.

“Weh, ni duit seringgit weh. Dia terjatuh kot masa nak pergi tadi.” Jawab Shah dengan berprasangka baik.

“Kau bagilah dekat budak tu. Duit tu kau lipat elok-elok. Tak elok bagi balik dalam keadaan ronyok macam tu. Nanti dia ingat kita nak menghinanya.” Arahku kepada Shah.

Shah mula membetulkan duit yang dironyok oleh gadis itu sambil melangkah menghampiri gadis itu yang tidak jauh dari meja kami.

“Adik, duit adik terjatuh tadi.” Tegur Shah kepada gadis tadi.

“Bukan jatuh tapi AKU sengaja campak!” Jawab gadis itu dengan angkut tambahan pula mukanya langsung tidak memandang Shah. Sungguh BIADAB. Bisik hati Shah.

Terkesima. Shah membatu hampir lima saat. Dengan sopan dan tidak ingin menyakitkan hati sesiapa, Shah berkata “Oh, tak apa lah. Ambil balik duit ini.”

Gadis itu dengan sombong tidak mengendahkan kata-kata dari Shah. Bahkan berpura-pura bahawa Shah tidak wujud di situ. Shah mengambil pilihan untuk berlalu pergi dari tempat itu. Pilihan untuk bersabar. Mungkin ini ujian pada hari ini.

Shah kembali ke meja dengan membawa semula duit ditangan. Hal itu mendatangkan persoalan kepadaku. “Apa yang terjadi?” Setelah segalanya diceritakan, kami sama-sama mendiamkan diri dan berfikir; “ada sesuatu tindakan yang salah telah kami lakukan?” Sedangkan cara gadis itu dari awal menyakitkan hati sesiapa sahaja yang berdepan dengannya.

“Tak apa. Kita tinggal je duit itu kat atas meja. Tapi kenapa perempuan tu macam psyco semacam. Cuak pulak aku.” Ujarku kepada Shah.

“Bagi aku. Budak tu agak biadab. Mula-mula dengan muka masam mencuka, sambil menjeling meminta sumbangan. Niat aku nak hulurkan sedikit tapi cara dia buat aku tak tergerak hati. Tambahan tiba-tiba dia membaling duit tu kat kita. Macam mana kalau duit tu adalah sedekah dari orang sebelum ini yang ikhlas nak bagi dekat budak tu? Akhirnya duit itu dibaling macam ni je.” Leter Shah kepadaku. Ya, akulah mangsa untuk mendengar segala leterannya pada malam itu.

“Tak apa lah Shah. Bab duit tu, urusan dia dengan tuhan lah. Yang penting orang yang bagi duit tu ikhlas. Walaupun dah tercampak depan kita duit tu.” Balasku.

Duit itu kami tinggalkan di atas meja. Mungkin rezeki si pemilik kedai atau sesiapa yang lebih memerlukan. Mungkin perjalanan duit satu ringgit itu bukan ke tempat yang diimpikan oleh si pemberi.

– Mr Capital H

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit