Biar Lambat Asal Selamat

Semalam aku berborak dengan ibu tentang kekesalan aku berkahwin dengan suami. Masa berkahwin aku berusia 27 tahun, masa tu aku rasa aku ni andartu. Mungkin sebab satu-persatu rakan sebaya dah berkahwin dan orang keliling mula bertanya.

Ibu kata dia kahwin masa umur 37, dapat aku ketika umur dia 38 tahun dan adik pada umur dia 40 tahun. Walaupun berkahwin lambat, rezeki anak tu masih ada cuma ada sedikit komplikasi disebabkan faktor usia.

Dulu masa aku nak kahwin, ibu dan ayah tak menentang memandangkan mereka pun dah tua. Lagipun mereka dah kenal baik dengan suamiku dan pada pandangan mata mereka memang tiada masalah.

Ayah kata aku yang nak kahwin, aku lebih kenal siapa suami. Kalau memang dah hati memilih dia, maksudnya dia lah yang terbaik untuk menjadi pelindung dan pendamping aku hingga hujung usia.

Sejujurnya sebelum berkahwin aku dah nampak banyak red flag pada keluarga suami, tetapi aku tutup mata dan pura-pura tak nampak.

Alasan utama aku sebab aku dah lama bercinta dengan suami dan malas nak berkenalan dengan orang baru sedangkan ada je yang cuba nasib. Lagipun lepas kahwin kami duduk berdua je.

Kami bercinta dan saling sayang menyayangi, tetapi benarlah kata kawan baik aku cinta tu bukan segala-galanya. Kalau bertahan sebab cinta memang tak berbaloi, kena pandang lelaki tu dari pelbagai sudut.

Ada sedikit nasihat aku untuk yang masih mencari jodoh, boleh digunapakai untuk lelaki dan perempuan tetapi sebenarnya lebih untuk perempuan.

Pertama, pandanglah dia dari sudut keluarganya.

Lihat ibu dan ayahnya. Bagaimana mereka bertutur dan bagaimana mereka melibatkan diri dengan anak-anak. Paling penting, lihat tahap kewangan mereka macam mana.

Kalau memang susah sejak awal dan berhutang untuk keperluan mungkin kau boleh pejam mata. Tapi kalau berhutang disebabkan kehendak, kena fikir balik betul ke pilihan kau.

Pasangan kita tu anak, tipulah kalau anak langsung tak ada rasa nak tolong mak ayah dia yang dalam kesusahan. Kita sendiri pun bila mak ayah kita susah, rasa nak terbang je balik kampung kan?

Bila dah kahwin, benda-benda macam ni kita sebagai menantu mesti akan kena tempiasnya jugak. Tapi berbaloi ke sampai kita pulak yang kena berkorban?

Berbalik pada diri aku, hutang yang ditanggung oleh keluarga mertua memang bersifat kehendak bukan keperluan. Kereta dah ada sebiji, tambah lagi satu kereta. Motor dah ada yang biasa, sibuk ikut trend beli motor besar. Tilam boleh beli cash, sibuk nak beli yang bayar bulanan.

Barang rumah dah sendat dan padat, nak juga tambah macam-macam, lagi-lagi bahagian dapur. Masaknya tidak.

Bila sangkut, panggil semua anak-anak balik kampung dan minta solusi. Anak-anak dah namanya ibu ayah, bergolok bergadai nak tolong bayar. Masa nak buat hutang tak tau apa yang dia fikir.

Berbalik part macam mana ibu dan ayah dia melibatkan diri dengan anak-anak, pertama sekali tengok ayah dia. Kita memang maklum, sifat seorang ayah ni memang kebiasaannya tegas dan garang.

Tapi kena tengok balik sejauh mana sifat ketegasan dan kegarangan ni. Kadang-kadang tegas sangat tapi tak berasas pun tak guna.

Tegas dengan anak yang atas, tiba part anak yang hujung-hujung dah hilang pulak garangnya. Rimau dah tukar jadi kucing. Anak yang awal memang develop sifat baran dan kepala angin dari si ayah, anak yang hujung degil dan tak mendengar kata pakej dengan kurang ajar.

Statement atas ni bukan untuk semua, tapi apa yang aku nampak dari keluarga suami aku. Dia dengan abang-abang dia memang baran, dan ibu mertua selalu kata sebiji macam ayah dia masa muda-muda. Boleh pulak dikatanya penyakit keturunan, ah pening.

Ibunya pula jenis suka manjakan anak. Anak perempuan kegemaran dia memang tak boleh disentuh, buat kerja pun tak boleh. Anak perempuan yang lain dikerah habis-habisan, tengah sakit pun diherdik mengada-ngada. Anak lelaki ditatang bagai minyak yang penuh, basuh pinggan pun tak boleh.

Habit anak lelaki dan si ayah, lepas makan terus cuci tangan. Pinggan adik-adik yang kutip. Sebab benda ni aku nampak sebelum kahwin, aku buat perhitungan siap-siap dengan suami aku tak suka cara family dia.

Bagusnya suami, dia menurut tapi bila ibu dia nampak memang sedap aku diperli. Terkejut kononnya anak dia basuh pinggan.

Yang kedua, pandanglah dari sudut adik-beradik dia.

Macam mana mereka bergaul sesama adik-beradik? Gaduh tu asam garam, tapi tengok ada tak terselit hormat antara satu sama lain?

Kalau tak ada, dan kau dari keluarga yang proper baik angkat kaki terus. Sebab sampai bila-bila pun dalam hati kau akan complaint macam-macam dan susah nak terima mereka. Mulut mungkin ya, tapi hati sentiasa berkata tidak.

Adik-beradik dia pandai berdikari tak? Atau suka mengharapkan adik-beradik lain? Sejenis semua benda nak disuap.

Sebenarnya ini yang buat aku give up. Give up besar sampai aku rasa nak failkan fasakh.

Sebelum kahwin, aku memang dah ada rumah sewa sendiri yang aku sewa dengan kawan baik aku. Kebetulan dia kahwin dulu, aku duduk rumah tu sorang.

Harga sewa aku memang mampu bayar sebab rumah tu teres kos rendah je. Lagipun masa tu aku memang dah nak kahwin, jadi memang susah aku nak lepas rumah tu.

Beberapa bulan sebelum kahwin, aku ada deko sikit-sikit rumah dan beli apa yang perlu. Rumah tu ada tiga bilik, jadi satu aku buat bilik aku dan suami, bilik kedua untuk tetamu dan bilik ketiga personal wardrobe dan ruang kerja aku.

Aku kahwin sebelum bilik ketiga siap. Tepat sebulan usia perkahwinan, kakak suami yang belum berkahwin datang menumpang atas alasan dapat kerja yang berdekatan dengan suami.

Jadilah dia penghuni tetap bilik tetamu aku, dan sekarang dah tiga tahun menjadi penghuni. Tak habis dengan kakak, adik pun tiba-tiba dapat kerja yang berdekatan, maka bertambahlah lagi satu penghuni.

Adik dia datang pada usia perkahwinan aku tujuh bulan. Konon nak honeymoon berdua, semua tu dusta. Privacy langsung tak ada, nak bergurau dengan suami pun aku jadi malas. Dinding rumah kos rendah, syiling jatuh pun dengar.

Yang paling sedih, dua beradik tu berkeras taknak kongsi bilik. Si adik rela duduk dekat bilik wardrobe aku.

Tak sempat aku nak kata apa, balik je rumah siap dah si ayah renovate bilik tu siap belikan katil lagi untuk si anak. Rak baju aku diletakkan dalam bilik aku, punya tak ada rasa hormat langsung dekat anak menantu.

Suami diam. Akibat takutkan dan terlalu hormat si ayah yang terpaling garang tu, perasaan isteri tergadai.

Kenapa aku give up? Pertama tentulah sebab aku rasa privacy aku diceroboh, dah lah rumah aku. Walaupun sewa, barang dalam tu semua aku punya. Kedua sebab baik adik dan kakak, kedua-duanya bergantung harap pada kami.

Pergi kerja kami ambil dan hantar. Kalau kami balik kampung atau ada urusan, kami kena orderkan grab atau aturkan siapa yang nak ambil dua beradik ni. Soal duit tak payah cakap, dah adik-beradik buat apa nak berkira kan?

Tanggungjawab seorang ayah tu, diserah bulat-bulat pada suami aku. Biras aku yang lain mengaku, mereka bersyukur duduk jauh dari kami jadi tak terbeban dengan apa yang aku tanggung.

Aku pernah stress, aku lari balik rumah mak aku. Bukan stress sebab mereka jahat ke apa, sebab tak ada privacy dan aku rasa terbeban. Soal duit tak payah cakap, memang tak pernahnya stabil. Orang korek, kita kambus.

Ibu ayah dia pulak dah kata anak mereka tinggal dekat situ, memang keraplah datang. Susun atur rumah aku mana yang dia tak berkenan, habis diubah. Nak cari barang pun kadang-kadang aku pening sebab ditukar tempatnya.

Konon nak buat konsep boho rumah tu, semua tu bohong. Sekarang semua barang aku selit je dekat mana-mana. Kemas mana patut, nak deco memang dah ke laut. Rumah tu umpama hotel je bagi aku, tak ada dah rumah ku syurgaku.

Last sekali, pandanglah betul-betul siapa suami kita. Sebagai suami dan teman hidup, dia memang yang terbaik. Tapi bila dia sendiri tersepit diantara status anak dan suami, dia lebih memilih menjadi anak.

Dia bukan anak mak, sebab dia selalu juga membantah bila pendapat ibu kurang bernas dan tak masuk akal. Tapi disebabkan ketakutan yang melampau pada ayah sejak kecil, dia akur dan tunduk pada segala arahan ayahnya yang kadangkala datang dari ibu.

Benda-benda dekat atas ni aku dah nampak dari sebelum kahwin, tapi aku tutup mata je. Aku sedapkan hati dengan mengatakan dah kahwin nanti aku dah prepare rumah, tak payah duduk rumah parents dia.

Aku sedapkan hati dengan mengatakan aku nak hidup dengan dia, family jarang-jarang je jumpa. Aku sedapkan hati dengan bermacam-macam kata positif, sebab dah terlalu cintakan dia dan memang nak dia je.

Aku pun ada kekurangan tapi bila aku pandang semula, kekurangan tu datang dari aku bukan dari keluarga aku. Ibu dan ayah aku bebas hutang semenjak mereka pencen. 10 tahun sebelum pencen, tiada kereta baru dalam keluarga aku.

10 tahun sebelum pencen juga mereka dah tamatkan renovate rumah dan segala pengubahsuaian. Boleh aku kata semua yang berkenaan duniawi mereka dah tamatkan lebih awal.

Sekarang mak dan abah aku duduk dekat rumah orang tua di sebuah madrasah, mereka bayar sendiri setiap bulan. Bekalan hari tua katanya. Kadang-kadang je mereka pulang ke rumah terutama bila aku dan adik balik.

Jangan kata keluarga mertua aku tiada pencen, malah pangkat mereka lagi besar dari mak dan abah aku. Aku boleh kata duit pencen ibu dan ayah mertua dua kali ganda dari mak dan abah aku. Tapi tulah, mereka masih lagi kejar duniawi.

Wahai saudara saudari, ambil lah seberapa masa anda untuk kaji siapa bakal pasangan anda. Take note tentang setiap perkara yang pasangan adukan atau apa yang anda nampak. Orang kata biar lambat asal selamat. Jangan macam aku, hati masih sayang dengan suami.

Tapi rasa untuk nak hidup bersama tu semakin hari semakin lenyap.

Aku masih mencari kekuatan dan petunjuk, apa langkah aku yang selanjutnya.

– Raden Adjeng (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *