Salam sejahtera semua pembaca, terima kasih jika cerita ini di terbitkan. Bukan ingin meminta nasihat, bukan juga ingin memberi nasihat.
Ini sekadar cerita saya yang disimpan berbulan bulan hingga pada saat ini saya luahkan.
Perkenalkan diri saya Ain. Berusia pertengahan 30-an. Bekerja dalam bidang professional, belum berkahwin. Saya dibesarkan dalam keluarga yang mewah tapi tidak bahagia. Ibu seorang suri rumah, wanita yang sangat lembut, dan sangat menyayangi anak-anaknya.
Ayah saya juga dulunya bekerja dalam bidang professional, dan seorang yang tidak setia, punya banyak teman wanita (bukan isteri) sehingga kami anaknya juga tau perihal itu. Dan begitulah saya dibesarkan, dengan tangisan seorang ibu dan ego seorang ayah.
Saya kurang percaya dengan terma terma hidup perlu berkahwin, punya anak dan bahagia, mungkin kerana dihidangkan dengan “keluarga bahagia” dari kecil dan melihat sendiri sikap seorang suami yang tidak pernah membahagiakan.
Tetapi saya tidaklah menolak jika seseorang itu ingin berkahwin, atau ada perasaan membenci lelaki, tidak, saya cuma rasa berkahwin bukan untuk saya dan hubungan dengan lelaki itu hanya sekadar kawan.
Soal ibu saya, berjuta kali telah saya pujuk untuk bercerai, tapi ibu tidak mahu, sehingga saya hanya mampu membiarkan ibu tetap dalam air mata hingga sekarang.
Dengan ayah pula, kami berjumpa setiap kali hari raya dan hari-hari penting dalam perjumpaan keluarga, tapi saya tidak ingat bila kali terakhir saya bercakap dengan ayah saya.
Ok, itu kisah keluarga, sekarang saya ingin ceritakan kisah saya yang terlalu bercakap besar tidak mahu lelaki wujud dalam kehidupan saya.
Saya punya kawan baik, yang saya anggap seperti keluarga saya sendiri. Namanya Alia. Alia tau segala masalah diri saya keluarga saya dan saya juga begitu, tau serba serbi tentang Alia. Kisahnya apabila Alia di lamun cinta. Kelakar pulakan bila perempuan middle age bercakap soal cinta.
Saya dan Alia kerja satu pejabat. Jadi hari-hari balik dari kerja kami makan bersama sebelum pulang kerumah masing-masing, Alia akan bercerita tentang kekasihnya. Saya ok saja, kadang-kadang menasihatinya untuk berhati-hati.
Kerja kami ni ada masa yang sangat sibuk, bila project masuk, akan sibuk sampai tak sempat makan dan tidur di office, tapi kalau habis project, kami akan ada masa lengang dalam masa seminggu dua tiada kerja.
Jadi, entah dari mana dan macam mana, Alia memujuk saya untuk cuba dating apps yang pada saya mengarut, mana ada lelaki nak kan perempuan dah berusia, dan juga saya bukan la cantik mana. Biasa-biasa saja.
Alia pujuk berhari-hari, katanya kalau dia berkahwin saya sudah tiada kawan, dalam masa yang sama ibu saya mula suarakan supaya saya berumah tangga. Stress dengan Alia dan ibu saya, saya minta Alia set upkan dating apps.
Bermulalah saya berchatting dengan bermacam-macam lelaki.
Ada yang laki orang (maybe sebab usia saya ini, kebanyakkan lelaki sudah berumah tangga), ada yang duda (entah ye entah tidak) dan ada lah beberapa yang mengaku masih bujang. Yang laki orang memang saya reject awal-awal.
Yang duda pula kalau sudah punya anak, saya akan secara perlahan-lahan menjauh, bukan apa, saya sebenarnya tidak sukakan kanak-kanak. Nampak macam serius kan saya nak mencari jodoh? Bukan apa, saya buat tapisan awal-awal sebelum mula bermain dengan perasaan.
Kemudian saya berjumpa dengan seorang lelaki, saya namakan Hariz. Masih bujang, umurnya hampir 40-an. Pada mulanya kami chatting biasa-biasa saja. Tiada yang serius. Sampai kami mula kerap bermesej. Kebetulan saya lagi berada di waktu yang lengang, projek baru habis.
Dari dating apps bertukar ke whatsapp. Dia banyak menceritakan perihal keluarganya, saya hanya mendengar. Saya banyak juga bertanya dan dia nampak selesa berbual dengan saya. Saya seorang yang tidak pernah bercinta. Walaupun umur sudah menuju ke pengakhiran haha.
Jadi saya tidak pasti adakah saya sukakan lelaki ini. Pada awalnya dia suka cari saya dan tanyakan soalan-soalan caring (tak tau la caring atau saya saja perasan).
Akhirnya kami bersetuju untuk berjumpa. I have bad feeling about this.
Pada awalnya saya menolak, kerana saya mengaku, saya seorang yang tidak attractive, introvert dan seorang yang mendengar, bukan bercakap. Tetapi dia menyakinkan saya untuk tetap berjumpa dan dia menunjukkan perasaan yang sangat excited untuk berjumpa.
Akhirnya saya setuju. Walaupun seminggu sebelum berjumpa saya tidak pasti mengapa, dia seperti menjauhkan diri dan tidak lagi seperti biasa. Saya tidak pasti mengapa. Ia menambah lagi rasa tidak mahu berjumpa.
3 hari sebelum tarikh yang dijanjikan, saya ada request untuk video call, tetapi dia menolak. Bukan saya ada niat jahat, saya cuma nak dia lihat saya dulu, kalau dah tak suka, saya nak batalkan je perjumpaan tu, pada saya buat apa buang masa.
Dia menolak dengan alasan jumpa je macam biasa, macam jumpa kawan-kawan. Di sini saya mula rasa dia sebenarnya bukan la nak sangat jumpa saya, cuma dia telah terjanji dulu, jadi sekadar tak mungkir janji, dia tetap hadirkan diri.
Perjumpaan kami hanya sebentar. Selepas perjumpaan itu saya nampak dia memang tidak berminat langsung dengan saya.
Saya yang introvert pula yang banyak tanya, tapi perjumpaan itu bukanlah sesuatu yang awkward, kami berbual seperti biasa, but I know the feeling wasn’t there. And I know this will end badly.
Selepas hampir dua jam berjumpa, dia meminta izin pulang, saya pun perlu balik untuk kejar waktu asar.
Sepanjang perjalanan balik saya berfikir lama sambil memandu. Apa yang saya fikir? Teruk sangat ke rupa saya? Teruk sangat ke diri saya?
Bukanlah saya tidak dilayan selayaknya, tapi kita nampak cara seseorang tu jika tidak suka. Pertama kali saya jumpa dia pun saya tak sangka dia tidak sekacak seperti dalam gambar dan berparut di muka, nampak gangster sangat bagi saya. Tapi tidaklah saya layan dia seperti yang dia lakukan.
Sampai di rumah saya ok saja. Dia ada hantar message courtesy bertanya saya dah sampai rumah ke dan saya jawab selayaknya. Saya jadi tawar hati, tapi saya masih message dia tak tau la kenapa, sama ada saya suka kan dia atau saya dah jatuh cinta? Entahlah.
Lama kelamaan sikap caringnya hilang, sweet talknya juga hilang. Saya nampak dia mula dry text dan menjauhkan diri. Tak apalah saya terima. Saya juga bukannya budak-budak lagi yang perlu pujuk rayu untuk perhatian. Akhirnya kami berhenti bermessage.
Mulanya saya fikir saya ok, sampai satu masa, 2 minggu selepas perjumpaan itu, saya sedang membaca Al-Quran, saya tiba-tiba menangis dengan sangat teruk. Tak tau mana puncanya, saya jadi sangat sedih, saya tertanya-tanya kenapa dia pergi.
Malamnya saya tidak boleh tidur dan tidak lalu makan. Inikah perasaan jatuh cinta sebenarnya? Saya rasa terlalu attach dengan message-message dia. saya baca semula message yang dia hantar dan banyak kesilapan diri saya yang saya jumpa.
Contohnya dia kata di sangat suka budak kecil, saya pula terus kata saya tak suka kanak-kanak. Patutnya saya berlakon dulu macam suka. Hahaha teruk kan pemikiran saya ketika itu?
Saya fikir sendiri, saya tidak boleh macam ni, saya perlu keluar dari situasi ni. Maka saya offer diri untuk handle projek besar di pejabat.
Projek ini makan tahun prosesnya jadi ramai yang tak mahu. Alia juga terkejut dengan keputusan saya. Saya perlu sibukkan diri untuk tidak sentiasa fikirkan cinta yang tak kesampaian. Tapi saya ingat saya berjaya.
Rupanya tidak, dalam keadaan sangat sibuk dan memenatkan mental dan fizikal, balik rumah pada 11 malam, saya tetap menangis dan tidak dapat tidur. Hingga terkesan kerja kerja dan aktiviti harian saya.
Saya mengadu pada Alia, kenapa keadaan saya teruk sampai macam ni. Saya tak salahkan Hariz, dia tidak pernah berjanji apa-apa. Tidak pernah kata pun dia sukakan saya, saya tau saya je yang over dalam hubungan itu.
Alia meminta maaf kerana dialah punca semua ini katanya. Saya juga tidak menyalahkan Alia, sebab saya sendiri yang tidak pandai mengawal diri. Akhirnya saya buat solat taubat, saya tau ini semua salah. Saya minta Allah tunjukkan jalan terbaik. Berat rasa hati saya.
Perlahan-lahan saya cuba move on. Masih sibukkan diri dengan tugas, dan ada kalanya tetap kalah dengan air mata, tapi tidaklah sekerap dulu.
Saya bersyukur saya tiada masa senggang sekarang, kerana jujurnya tiada sehari pun saya tidak ingatkan Hariz. Tapi ingatan itu sekarang bertukar kepada rasa syukur.
Mungkin ini terbaik untuk saya. Saya mungkin tidak dapat berikan yang terbaik jika berkahwin. Allah takdirkan saya punya rezeki dari pelbagai bentuk, Cuma berumah tangga bukan rezeki untuk saya. Tidak mengapalah, Allah tahu segala yang terbaik untuk hambanya.
Saya masih tak tau apa perasaan saya pada Hariz, adakah saya sedih sebab dia tidak lagi mahu berkawan dengan saya, apakah saya sukakan dia? atau cinta kan dia?
Dan saya juga masih tak tau kenapa dia pergi dari saya, saya hodoh ke? Saya buruk ke? Dia ada orang lain ke? Atau saya tidak sesempurna yang dia harapkan?
Kami memang sudah tidak berhubung dari segi apa pun hampir 6 bulan, saya tak block dia dan dia pun tak block saya. Kami Cuma tidak berhubung.
Saya delete tak message Hariz? Untuk ke situ, saya belum ada kekuatan lagi, saya tidak lagi baca message-message dia, tapi biarkanlah ia disitu. Sekurang kurangnya ia ada. Sedih.
– Ain (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit