Assalamualaikum… Selama ini rasanya hanya sekali dua pernah hantar coretan luahan rasa di sini.
Letih dengan kehidupan ini? Sejujurnya, ya… penat hadap ujian Allah yang datang bertimpa. Namun tetap rasa bersyukur, masih banyak nikmat Allah yang aku kecapi.
Sekitar 5 tahun yang lalu sehingga kini, aku diduga dengan suami yang disahkan pesakit mental skizofrenia. Awal sakitnya, seingat aku, dia tidak dapat tidur malam… perokok tegar yang berselang-seli dengan kopi 3 in 1.
Usai pulang dari kerja, dia tiba-tiba dalam keadaan ketakutan yang teramat. Sehari sebelum tu, dia dalam keadaan risau kerana keadaan kewangan kami yang merundum. Cukup-cukup makan sehingga akhir bulan.
Entah syaitan mana yang menghasut, dia pergi ke tempat berjudi tetapi tidak jadi meminjam, mungkin kerana digertak atau tiba-tiba dapat cahaya nur dari Ilahi. Entahlah, butir bicaranya dan jalan penceritaan suamiku sukar difahami.
Di sinilah segalanya bermula. Suamiku bukan lagi suami yang ceria… bukan lagi suami yang boleh berkongsi rasa… bukan lagi suami yang boleh diharapkan. Dia jadi ketakutan… takut disiksa, takut dipenjara, takut diperhatikan.
Aku yang dalam keadaan bingung mengadu kepada keluarga mentua. Mentua bawa berubat kerana beranggapan kemungkinan suami terkena sihir.
Namun, setelah banyak kali berubat dan menemui jalan buntu, aku ambil keputusan untuk membawa suami ke psikiatri.
Bukan mudah, ya, urusan di hospital… dengan keadaan COVID pada ketika itu… dengan anak-anak yang masih kecil, bayiku waktu ketika itu berusia 6 bulan… dengan keadaan suami yang tertekan sehingga ingin terjun bangunan hospital.
Aku temankan suami meronda satu hospital… berjalan turun naik tangga… berjalan di setiap blok bangunan hospital… walau tanpa sepatah kata… hanya berjalan merawat jiwa yang lara.
Keadaan suami yang bercelaru menyebabkan dia tidak boleh duduk diam di katil wad. Alhamdulillah, waktu itu ibu mentuaku tolong jaga anak-anakku walau berat hati dengan keputusan aku untuk menghantar suami ke hospital.
Sehingga kini, suami meneruskan rutin menerima rawatan psikiatri di hospital. Pelbagai jenis ubat telah ditelan… tahun keempat menerima injection sehingga kini.
Tahun ini sesuatu telah terjadi menyebabkan suami *triggered* dan sakitnya kembali teruk seperti tahun pertama dia sakit.
Suratan atau kebetulan, ketika hantar suami pergi berurut, kami telah dikenalkan dengan kenalan yang pandai mengubat.
Kisah 10 tahun lalu suami tersingkap… kisah judi, kisah kecurangan… Allahuakbar. Adakah ini kifarah Allah atas segala perbuatan suami? Patutlah setiap kali sakit, dia sebut-sebut nama itu.
Aku pernah kuatkan diri menelefon si empunya diri namun dia hanya mengelak dan menidakkan hubungan mereka, mungkin kecewa kerana telah ditinggalkan suamiku dulu atau merajuk membawa hati.
Tiga hari sahaja aku menangis merintih atas segala perbuatan suami… selepas dari itu, Allah beri kekuatan pada aku untuk tidak lagi mengalirkan air mata.
Entahlah… jangan ditanya lagi perasaan aku pada suami. Yang tinggal kini hanya tanggungjawab, walaupun terpaksa hadap semua sendiri.
Aku tidak lagi berkongsi rasa dengan keluarga mahupun sesiapa di sekeliling aku. Biar mereka nampak aku baik-baik sahaja… aku juga berharap aku terus baik-baik sahaja.
Entahlah… biar waktu yang merawat semua luka di hati.
– 4U (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit