Biasiswa Luar Negara Adalah Satu Pembaziran

Assalam. Aku graduan Ipta yang sudah pun graduasi 3-4 tahun yang lalu. Kini aku bekerja jauh di perantauan. Di negara orang putih ini, banyak suka duka pengalaman hidup yang aku timba. Rezeki Allah ada di mana mana walaupun bidang yang aku ceburi dan bekerja sekarang lari jauh dari apa yang aku belajar dulu di zaman ijazahku di Ipta sekitar Ibu Kota. 4 tahun aku menjadi robot mahasiswa dengan cengkaman dalam sistem pembodohan mahasiswa yang mencengkam. Aku ambil pinjaman Yayasan Negeri tanpa faedah dan bunga yang sangatlah mengikat perut. Syukur aktiviti aktivis aku di luar kampus lalu mendewasakan aku di alam kerja ini.

Lepas saja berakhirnya tempoh ijazahku selama 4 tahun, aku lihat ramai kawanku sambung belajar Master di pelbagai bidang. Tempoh masa pelajaran yang paling jimat adalah di UK yang rata-ratanya selama 1 tahun.

Untuk sambung pelajaran ke luar negara haruslah ada biasiswa atau pinjaman bukan ? Jadi, berbondonglah temanku ini dapat pinjaman dan biasiswa untuk lanjutkan pelajaran ke sana.

Usai tamat pelajaran mereka di luar negara, sesetengah dari mereka tidak ceburi bidang yang mereka belajar. Ada yang berniaga online, ada yang kerja biasa yang Tak perlukan kelayakan Ijazah dan Masters, ada yang tolong bisnes keluarga. Tak Ada kaitan dengan apa yang mereka belajar Di luar negara. Intinya di sini mereka tak bekerja dengan Masters yang mereka bawa dari Eropah atau Luar Negara sana.

Iya, kamu boleh kerja apa saja yang kamu mahu asalkan selesa dan minat. Tapi kasihanilah dengan ribuan lagi anak muda yang betul minat dan ingin lanjutkan pelajaran tapi gagal dapatkan biasiswa dan pinjaman kerana masalah quota yang terhad dan sebagainya.

Kenapa aku katakan ini proses pembaziran ? Kerana pinjaman dan biasiswa yang mereka dapat dulu tidak dilaburkan kembali pada pembangunan negara. Ilmu dan kepakaran yang mereka bawa pulang dari UK atau luar negara tidak dimanfaatkan untuk rakyat. Sedangkan negara dan generasi muda perlukan kepakaran dan ilmu mereka.

Dan aku juga melihat ramai graduan yang sambung Masters ini tidak betul- betul minat dengan bidang yang mereka ambil. Tujuan pertama mereka ke luar negara adalah untuk ‘travel’ berjalan dan menjelajahi Eropah dan luar negara. Ini dibuktikan dengan berbelas negara yang mereka lawati dalam masa setahun mereka di sana.

Aku tak cemburu dan tak peduli semua itu jika mereka pulang ke Malaysia dan berkongsi kepakaran untuk kemajuan negara. Aku juga langsung tak peduli jika mereka gunakan wang sendiri untuk lanjutkan pelajaran Ijazah/ Masters mereka ke luar negara.

Tapi semua biasiswa atau pinjaman itu wang siapa ? Iya itu semua dari Mara, JPA, dan sebagainya. Itu semua adalah wang rakyat. Kalian semua gunakan wang rakyat untuk berfoya dan berjalan ke luar negara. Walaupun Mara hanya bagi 80% biasiswa, tapi jumlah itu masih banyak kerana kebanyakan dari mereka mendapat Rm 200 ribu untuk setahun pelajaran Masters di sana.

Bayangkan jika beribu pelajar Malaysia dihantar untuk lanjutkan pelajaran Post Grad di luar negara. Berapa RM juta lagi wang rakyat dibazirkan ? Jika mereka berterusan tidak menceburi bidang kerja mereka setelah pulang dari Masters di luar negara, wang rakyat akan terus keluar ke arah pembaziran. Lebih bagus jika Pihak Mara, JPA dan sebagainya mengetatkan proses tapisan biasiswa ini agar hanya mereka yang betul minat dan serius saja yang layak ditawarkan biasiswa dan pinjaman dalam bidang yang dimohon.

Ingatlah, wang rakyat perlu dikembalikan untuk pembangunan sosial rakyat. Saham yang dilaburkan pada kamu dengan wang rakyat itu harus dikembalikan pada rakyat untuk pembangunan negara. Bukan wang untuk di bawa berfoya dan berjalan-jalan ke luar negara.

– Mohd

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit