Biawak Hidup

Ibu dan ayahku berkahwin atas aturan keluarga. Setiap pagi, aku akan terbangun dari tidur kerana pertengkaran mereka. Punca utama pergaduhan biasanya soal wang. Ibu dan ayah tidak bertegur sapa selama berbulan-bulan itu perkara biasa.

Ketika ibu dan ayah bergaduh, ibu akan duduk di tingkat atas, ayah di tingkat bawah. Ayah akan makan di luar. Ibu pula akan diam sahaja semasa ayah di rumah.

Ketika ayah keluar, ibu akan mengamuk kepada anak-anak. Pelbagai kata cacian dan makian dilemparkan. Ayah pula adakalanya jika naik angin akan menterbalikkan meja makan dan sebagainya.

Ayah malas bekerja. Dia hanya bekerja ikut mood dan tahap kerajinan. Lebih banyak masa dihabiskan untuk tidur. Senang cakap, makan dan tidur sahaja kerja ayah. Urusan sekolah, makan pakai anak-anak langsung tidak dipedulikan.

Ibu yang bekerja menanggung keluarga. Mengikut cerita ibu, ayah dimanjakan oleh neneknya ketika neneknya masih hidup. Makan pakai tersedia dan diwariskan rumah pusaka nenek sebagai seorang cucu kesayangan.

Aku membesar dengan figura seorang ayah yang langsung tidak layak dijadikan sanjungan. Seingat aku, tidak pernah ayah berikan aku wang saku mahupun dibelikan apa-apa sebagaimana ayah orang lain.

Ibu dan ayah akhirnya berpisah setelah ayah mencanangkan kepada satu kampung yang dia ingin berkahwin lagi. Ketika ini aku baru sahaja melanjutkan pelajaran di peringkat asasi di sebuah universiti. Aku mengikut ibu keluar dari rumah.

Ayah kemudian kahwin dan cerai beberapa kali dengan beberapa orang wanita sepanjang tempoh beberapa tahun. Sepanjang tempoh tersebut, ayah masih dengan perangai malas bekerja. Aku juga tak faham bagaimana ada wanita yang berminat menjadi isterinya.

Setelah aku bekerja, aku berikan duit setiap bulan kepada ibu dan ayah. Aku ingin keberkatan dalam gaji. Tapi ayah ambil kesempatan. Aku repair rumah ayah sehingga aku terpaksa hold untuk masuk rumah sendiri walaupun telah mendapat kunci kerana lari bajet.

Tak cukup dengan duit repair rumah yang hampir 10k, ayah juga minta duit kopi walaupun duit bulanan telah aku beri. Dia akan whatsapp minta dimasukkan duit.

Aku juga pernah diberitahu oleh seseorang dari kampung yang ayah bercerita kepada sesiapa yang datang ke rumah yang aku culas dengan duit bulanan sehingga dia perlu meminta-minta. Aku jadi marah. Aku benci dia. Kenapa aku tak ada ayah seperti orang lain?

Ibu pula baru-baru ini minta pinjam satu jumlah yang agak besar untuk bebaskan adik dari penjara. Adik mengikut perangai ayah. Umur pertengahan 20an tetapi malas bekerja dan menjadi biawak hidup di rumah.

Jika diikutkan hati, aku ingin dia merengkok sahaja dalam penjara. Tapi kerana kasihankan ibu, aku keluarkan juga wang. Ibu langsung tak tanya jika aku ada duit. Terpaksa aku gunakan duit simpanan untuk masuk rumah yang sememangnya telah berkurang kerana ayah.

Ibu katakan mahu pinjam dan minta aku potong dari elaun bulanan yang aku beri kepada dia setiap bulan. Tapi aku tak tergamak untuk potong pun. Setiap bulan aku masih beri jumlah yang sama.

Adik pula setelah keluar masih tidak bekerja. Hanya makan dan tidur. Tak boleh ditegur juga kerana ibu akan marah aku semula. Ibu akan katakan aku tidak boleh ditumpang senang.

Aku tak faham kenapa ibu tidak belajar dari kesilapan. Kenapa ibu biarkan seorang lagi lelaki menjadi lelaki tak guna. Aku wanita. Aku penat menanggung biawak hidup. Aku juga takut untuk berkahwin. Takut jika mendapat suami seperti ayah dan adikku.

Tolonglah ibu-ibu sekalian, semuanya bermula dari rumah dan didikan anda. Please dont teach our daughters to be independent then turn around and baby our sons. Creating self sufficient women and the men who are okay with living off them. Jangan biarkan dunia ini terbalik.

– Strong Lady Not So Strong Anymore (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *