Salam sejahtera. Saya telah berkahwin dan masih belum punya anak. Apa yang saya ingin luahkan disini mengenai keluarga pihak suami.
Suami mempunyai seorang abang yang berumur 38 tahun dan seorang adik lelaki berumur 30 tahun. Ya.. kedua-duanya lelaki yang cukup sifat dan sihat tubuh badan, tapi memilih untuk mengganggur.
Selesa dan seronok jadi penggangur yang ditanggung semua perbelanjaan. Mereka berdua tidak bekerja dan malas cari kerja. Ada kerja pun, tak bertahan lama kemudian berhenti atas pelbagai sebab yang entah apa-apa.
Keadaan jadi lebih teruk selepas kematian ayah mertua. Abang dan adiknya semakin naik lemak, hanya hidup mengharapkan duit pencen arwah ayah.
Alasan yang diberi ialah untuk menjaga ibu yang sudah tua. Padahal salah seorang boleh saja pergi bekerja. Tapi kalau dah malas, apa pun tak boleh buat. Alasan demi alasan dicipta untuk melepaskan diri.
Hal ini yang menimbulkan masalah kepada saya dan suami. Duit belanja sering tidak cukup. Padahal duit pencen arwah ayah kalau setakat nak tanggung ibu mertua seorang lebih dari cukup. Sebab tiada hutang-hutang lain yang perlu dibayar setiap bulan selain bil air dan letrik sahaja.
Abang dan adik suami menggunakan wang pencen sesuka hati. Bila tak cukup untuk makan (sejak ibu mertua uzur, makanan hanya dibeli setiap hari) suami saya yang menjadi mangsa.
Abang dan adiknya bijak menggunakan ibu mereka untuk meminta apa-apa saja dari suami. Suami jadi tak sampai hati untuk menolak permintaan ibunya.
Pada saya mereka hanya ambil kesempatan saja. Roadtax mati, minta saja pada suami saya. Handphone rosak, hantar kedai, tapi suami yang kena ambil dan bayarkan.. segala-galanya mengharapkan suami.
Untuk pengetahuan, semua bil-bil rumah mereka, suami yang jelaskan bayaran setiap bulan ditampung dengan sedikit duit pencen arwah ayah. Abang dan adik suami seronok belanja dengan boros untuk rokok, topup, belanja awek dan lain-lain perkara yang tak berfaedah.
Kerja malas, belanja nak mewah. Semasa arwah ayah mertua masih hidup pun, banyak kali dia mengadu duit belanja yang kami bagi telah dicuri oleh abang/adiknya..tapi takda siapa mengaku. Sedih dan panas hati rasa dengar keluhan ayah pada masa itu.
Saya masih bersabar. Saya anggap ini ujian rumah tangga. Apabila berkahwin kena terima keluarga suami seadanya.
Tapi saya juga manusia biasa, saya kesian dengan suami. Pada masa yang sama, saya juga rasa marah sebab suami terlalu berlembut dengan abang dan adiknya.
Hal ini yang menyebabkan kami sering bergaduh dan berbalah. Saya jadi stress dan tertekan sebab masalah ini. Bagi saya, masalah ini tak patut wujud kalau abang dan adiknya usaha cari pendapatan sendiri.
Ibu mertua pula asyik menangkan mereka, lagi tertekan suami saya. Saya nampak sifat ibu mertua yang terlalu manjakan abang dan adik suami sampai langsung tak pandai nak berdikari. Langsung takda usaha nak cari rezeki untuk sama-sama tanggung keluarga.
Sampai pernah ibu mertua cakap, eloklah kamu berdua tiada anak lagi sebab nak tanggung mereka. Ya Allah..rasa meluap-luap marah dalam dada. Tetapi memikirkan ibu mertua yang sudah tua dan uzur, saya diamkan saja.
Namun, lama-kelamaan saya jadi menyampah dan meluat nak balik rumah ibu mertua. Sebab bila balik, tengok abang dan adiknya hanya melepak tak pun tidur memanjang.
Bila lapar, bangun nak rokok, duit makan, minta pada ibu mertua. Perkara ni dah berlarutan bertahun-tahun macam tu.
Saya sedih, kami suami isteri ni kerja siang malam. Pergi balik kerja pun naik motor saja sebab nak berjimat. Punya catu dan kawal perbelanjaan bulanan. Tapi mereka boleh bermalas-malasan sebab tahu, tak kerja pun duit tetap ada. Nak apa, semua dapat.
Iyalah dapat duit pencen ditambah dengan duit gaji suami saya, lagi seronok mereka habiskan. Duit gaji suami banyak habis pada keluarganya saja. Bila masa suami nak menyimpan untuk sendiri, untuk rumah impian kami? Sedih saya memikirkan hal ini.
Saya pernah terus terang pada ibu mertua, namun apa yang saya sampaikan ibarat angin lalu. Tiada kesan, tiada tindakan. Saya terkilan.
Puncak kemarahan saya, apabila suami sanggup nak gadai barang kemas saya, apabila saya tak izinkan, suami tekad nak keluarkan wang simpanan tabung haji untuk menampung perbelanjaan mereka.
Terkini nak keluarkan Isinar pula sebab tak cukup belanja. Ya Allah, saya rasa geram dan marah sangat. Perkara ini pada saya sudah melampau.
Kenapa suami sampai nak bergolok-gadai untuk orang pemalas macam tu? Kami suami isteri sampai buat 2 kerja untuk menampung perbelanjaan, saya tidak reda bila hasil duit penat titik peluh kami dihabiskan untuk biawak hidup.
Saya sayangkan suami saya, saya tak sanggup tengok suami diperbodohkan oleh keluarganya. Mohon pandangan semua, apa yang patut saya lakukan?
– Miza Shuhada (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit