Bibik

Assalamualaikum. Harap admin approve cerita ini kerana aku sudah lama ingin meluah namun tidak tahu harus pada siapa. Aku tak pandai bercerita, tapi aku cuba tulis semampunya.

Aku Rerama, berusia 25 tahun. Aku anak kedua dari 8 beradik, jarak umur kami dekat-dekat.

Sewaktu aku berusia 7 tahun, ibubapa ku telah mengambil bibik dari indonesia untuk menjaga kami adik beradik serta menjaga rumah, kerana ibu & bapaku kedua2 perlu bekerja mencari rezeki untuk keluarga.

Kata ayahku, sebelum mengambil bibik dia betul-betul istikharah supaya dapat bibik yang baik dan dapat menjaga anak-anaknya.

Bibik, sudah akhir 40-an usianya waktu mula bekerja di sini. Seorang yang sangat penyabar, penyayang, rajin, amanah, sentiasa buat yang terbaik, disenangi semua.

Sudah kami anggap sebagai ibu atau nenek kami. Dia lah yang menjaga pakai minum kami dari kecil, dengan kudratnya yang makin berkurang saban hari dek faktor usia.

Gaji yang tidak seberapa nak dibandingkan dengan penat lelahnya, namun itulah pengorbanan seorang ibu tunggal kepada 5 anak yang merantau mencari rezeki untuk mengirim wang kepada keluarganya yang hidup susah di Indonesia.

Pengorbanan bibik menjaga kami sekeluarga sangat besar, segala kerja di rumah dia uruskan, tambah lagi bukan mudah nak menguruskan kami adik beradik dengan masing-masing bermacam-macam ragam ketika kecil.

Setahun cuma sekali pulang ke Indonesia selama 2 minggu sahaja.

Kami lebih rapat dengan bibik tika itu kerana ibubapa kami sibuk bekerja.

Kadang aku kesal dan kesian, kerana bibik menjaga kami sehingga tua, sehingga sering kepenatan. Tidur juga kurang cukup, setiap awal pagi sudah bangun siapkan adik-adikku untuk ke sekolah.

Kami hanya ada satu kereta waktu itu, setiap kali kemana-mana, termasuk pulang ke kampung, kami terpaksa duduk berhimpit beramai-ramai, bibik terpaksa meriba adik-adikku. Sudahnya makin sakit tubuhnya, tapi tak pernah mengeluh.

Ke mana-mana juga bibik aku akan menggendong adikku yang masih kecil.

Sungguh aku bersalah kerana tak banyak mampu meringankan beban dan waktu itu masih bersekolah. Sakit kami, semua bibik yang jaga. Namun jika bibik sakit, bibik hanya tanggung sendiri sahaja dan teruskan kerja.

Semasa tingkatan 1-5, aku bersekolah di asrama penuh. Jadi kurang masa aku di rumah. Waktu itu, adik-adik akulah yang 24 jam di rumah bersama bibik. Sewaktu tingakatan 6, aku bersekolah di sekolah berdekatan dengan rumah.

Saban hari bibik masakkan lauk kegemaran aku, tiap kali pulang dari sekolah sudah tersedia makanan tengahari.

Kami banyak bercerita dan lebih rapat waktu itu. Seluruh keluarga besarku juga menyenanginya. Setiap kali pulang ke kampung, bibik banyak membantu dan sangat ramah.

Ketika siang hari aku di sekolah, seorang sepupuku yang rapat denganku yang diam-diam menyimpan perasaan padaku telah beberapa kali datang ke rumah bertemu bibik dan bercerita dengan bibik tentang hasratnya ingin menikahiku.

Bibiklah orang pertama yang mengetahuinya, malah sebelum aku lagi dan bibik paling teruja. Bibik menyimpan rahsia tersebut daripada orang tuaku kerana tika itu aku masih di tingkatan 6, hehe.

Bibik beritahu niatnya bekerja mencari duit adalah semata-mata demi anak-anaknya. Dia ingin menebus kerana tidak dapat memberi kehidupan yang baik untuk anak-anaknya sewaktu mereka kecil kerana kemiskinan hidup.

Setiap bulan bibik akan kirimkan wang gajinya untuk anak-anaknya.

Bahkan apabila anaknya ingin membina rumah, bibik mahu membantu dengan duit gajinya yang tidak seberapa serta ada meminjam dengan saudara-maraku.

Ketika anak lelakinya ingin menikah, bibik dengan gembiranya bercerita pada kami, dan segera mengumpul duit dan meminjam lagi untuk tanggungan nikah anaknya.

Sewaktu aku di tingakatan 6 itu, bibik sudah mula sering sakit-sakit dan badan semakin kurus. Umur juga sudah semakin berusia namun gagahkan diri mencari rezeki.

Kami bawa bibik berjumpa doktor dan disahkan bibik sakit thyroid. Tiba hari untuk bibik pulang selama 2 minggu lebih untuk tahun itu.

Sebelum ke sekolah pagi itu, aku sempat bersalaman dengannya sekejap sahaja dan tiada kesedihan kerana aku gembira bibik akan berjumpa dengan keluarganya lagi setelah setahun.

Asalnya kontrak bibik memang sudah tamat kerana sudah tiada kudrat dan ingin berehat bersama keluarga,

Tetapi bibik ingin menyambung setahun lagi demi melangsaikan hutang-hutangnya serta mengumpul wang untuk membuka gerai apabila pulang ke Indonesia buat selamanya nanti.

Jadi aku tidak menjangkakan perpisahan, kerana sepatutnya bibik akan kembali tinggal lagi dengan kami untuk setahun yang terakhir.

Sewaktu bibik di Indonesia, kami mendapat panggilan telefon dari bibik menyatakan dia tidak dapat pulang ke Malaysia kembali kerana sakitnya semakin kronik semasa di sana.

Bibik dengan kerisauannya akan hutang dan kesedihannya berpisah buat selamanya dengan adik bongsuku yang ketika itu baru 4 tahun yang dijaganya seperti anak sendiri. Adik bongsuku juga masih mengingati bibik sehingga sekarang.

Namun ayahku menenangkan bibik agar tidak risau akan hutang dan akan menjelaskan pada saudara-mara kami.

Aku sangat terkilan kerana masih banyak yang tidak dapat aku lakukan untuk bibik, belum mampu membalas pengorbanannya serta membantunya dari segi wang ringgit ketika itu.

Aku berniat ingin membawa bibik jalan-jalan apabila aku sudah pandai memandu kereta dan ingin belanja macam-macam namun tidak kesampaian.

Masih banyak pengorbanan dan kenangan bersama bibik yang tidak mampu kuceritakan kesemuanya di sini.

Setelah bertahun-tahun kepulangan bibik, kami lost contact dengan keluarga bibik kerana kehilangan nombor anaknya dan nombor yang lama sudah tidak dipakai.

Gambar-gambar bersama bibik juga sudah hilang kerana rosaknya telefon lama, hanya ada sekeping dua yang untungnya aku ada simpan di google photo sewaktu itu.

Kali terakhir aku berhubung dengan anaknya, 5 tahun yang lalu sewaktu aku di universiti, dinyatakan keadaan bibik kurang baik dan berulang kali dikejarkan ke hospital.

Aku menangis sendiri kerana tiada apa yang dapat ku bantu ketika itu. Aku berhasrat apabila sudah bekerja ingin melawat keluarganya di Indonesia.

Namun sekarang aku tidak tahu cara untuk mencari dan menghubungi mereka. Aku ada cuba mencari-cari facebook dan instagram anak-anaknya namun hampa kerana nama yang sama sangat ramai.

Aku sentiasa mengingati susuk tubuh tua yang telah setia menjaga kami dengan penuh kasih sayang selama 12 tahun lamanya. Aku sedih kerana kami tidak dapat banyak membantu bibik terutama ketika bibik sakit jauh di sana.

Pernah terdetik alangkah indah jika aku dapat banyak membantu bibik seperti orang-orang kaya yang mempunyai bibik.

Seringkali aku bermimpi bertemu bibik, melawat bibik, bibik kembali ke rumah kami dan aku gembira namun ternyata hanya mimpi.

Yang paling terkesan baru sahaja tadi aku bermimpi bibik sedang sakit tenat, kurus kering dan suaranya telah hilang. Tanpa sedar, air mata mengalir lagi sewaktu menulis kisah ini.

Aku tidak tahu bagaimana hendak menggambarkan perasaanku sehingga saat ini, tidak mengetahui keadaan orang yang sangat kusayang sama ada masih hidup atau sudah tiada. Sejujurnya sakitnya lebih dari putus cinta.

Kini, aku sudah menikah dengan sepupuku tersebut, ternyata dia jodoh yang tertulis untukku, kalaulah bibik ada pasti dia orang yang paling gembira.

Setiap kali teringat, aku hanya mampu berdoa, sekiranya bibik sudah tiada maka semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan di taman-taman syurga atas segala kebaikannya yang tidak dapat kuhitung.

Jikalau bibik masih hidup juga pasti sudah sakit teruk. Ya Allah, kau lindungilah bibik walau dimanapun dia berada. Dan semoga Allah pertemukan kami kembali, jika tidak di dunia ini, moga-moga satukanlah kami di Syurga kelak.

Aku sangat berharap. Kerana bagiku, bibik adalah keluarga, bukan orang luar, walau dah lekat panggilan bibik itu. Tolong aamiinkan doa aku.

Sekadar ingin meluahkan apa yang terpendam di hati, jika ada pembaca yang tahu bagaimana cara nak mencari orang Indonesia yang kita hilang nombor dan alamatnya, mohon kongsikan dengan aku.

Terima kasih kerana sudi membaca kisah bibik.

– Rerama (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *