Assalamualaikum kepada semua pembaca IIUM confession. Ini merupakan kali pertama aku menghantar artikel ke laman sesawang IIUM Confession selepas menjadi pembaca tegar setiap hari untuk membuang sisa waktu bekerja.
Jadi, artikel ini aku tulis untuk mereka yang masih berusaha mengubah hidup mereka dan dipandang hina oleh masyarakat.
Kepada anak anak setinggan, fakir dan miskin, coretan ini untuk anda, jangan berputus asa biarpun keluarga miskin sekalipun. Jangan mencuri dan jangan meminta sedekah. Meminta sedekah membuat anda menjadi terus miskin dan nasib takkan berubah.
Baiklah, sebelum aku mulakan coretan aku, aku ingin memperkenalkan diri aku. Aku dilahirkan dan membesar di rumah setinggan dan daripada keluarga yang besar, ayah aku hanya belajar sehingga darjah enam dah ibuku cuma belajar hingga tingkatan 3 (Jika merujuk zaman sekarang).
Mereka bukan golongan terpelajar dan hidup bergantung sepenuhnya dengan gaji ayah aku. ayah aku cuma buruh, disisih keluarga dan dipulaukan.
Kalau betul betul tiada duit, kami akan berlapar. Tapi keluarga aku kreatif, apa apa boleh dimakan , kami akan makan asalkan halal. Masuk ke hutan mencari pucuk pucuk atau ulam ulaman. kalau ada rezeki, jiran aku akan bersedekah lauk pauk. Dan masa ini adalah masa kami merasa makanan yang mewah sikit.
Bila musim perayaan, keluarga aku amat jarang dilawati keluarga. Kiranya keluarga aku adalah toksik dan dipandang sebelah mata. Membesar di rumah setinggan membuatkan keluarga aku dipulau dan dipandang hina oleh sanak saudara.
Aku tak pernah merasa menaiki kereta sejak kecil dan ayah aku tidak memiliki motorsikal. Semua jalan kaki. Televisyen adalah barangan mewah bagi kami dan kami dibesarkan tanpa memiliki televisyen. Tanpa televisyen, jadi hidup kami bosan? Tak, kami adik beradik kreatif dan sering mencipta mainan pada waktu lapang.
Disebabkan keluarga aku serba kekurangan, aku terpaksa bekerja sebelum dan selepas waktu sekolah. Letihnya, jangan cakap. Aku selalu jadi bahan ejekan kerana baju aku lusuh, kasut aku berlubang dan beg aku koyak rabak. Itupun aku jahit sendiri. Memang aku rasa ingin memberontak kerana rasa kerdil dan hina hidup sebagai seorang yang daif.
Jika musim hujan, atap bocor adalah perkara biasa. Tidur kebasahan pun biasa. Dengan rumah aku tidak bertingkap dan ditutupi kanvas/ guni, memang sngat daif. Memang tidak selesa dan penuh nyamuk. Bila hujan lebat, kadang kadang tap pun terbang. Dan aku paling risau jika rumah aku roboh.
Disebabkan hal ini, aku jarang menjemput kawan aku ke rumah. Pernah aku menjemput kawan aku ke rumah dan akhirnya aku rasa disisihkan kerana keadaan rumah aku yang teruk.
Kalau kawan kawan aku berborak tentang video game, melancong, aku amat naif kerana aku tidak berpeluang menyentuh semua gadjet ini dan aku tidak pernah melancong. Aku pernah dihina kerana tidak pernah ke luar negara atau melancong.
Alhamdullillah , biarpun serba kekurangan, aku dilahirkan bijak. Kiranya bijak semula jadi. Walaupun aku bekerja sebelum dan selepas waktu sekolah, prestasi aku setanding dengan anak anak orang kaya yang selalu pergi ke kelas tambahan berbayar dan dilimpahi kemewahan.
Wei, tak study sangat pun top student.. ini lah rezeki. Aku yakin kalau aku ada masa menelaah pelajaran, aku mungkin pergi belajar ke luar negara. Bukan ujub, tapi setiap kekurangan Allah bagi kelebihan.
Aku pernah mendapat keputusan sangat cemerlang tetapi dihina teruk teruk oleh saudara ayah aku. Paling teruk bila melihat ibu aku menangis kerana dituduh pencuri dan masa ini aku sangat stress kerana ayah aku juga kehilangan kerja.
Ayah aku dihina dan paling teruk sekali bila mak cik aku menegur aku, “kau belajar pandai pandai pun tak guna, bukan ada duitpun nak masuk U”. aku ingat ayat ni sampai bila bila.
Tapi mak aku ini sangat hebat, tak pernah mengeluh pun. Bagaimana dia membesarkan adik beradik aku tanpa seorang pun tercicir pelajaran.
Bagi dia, pelajaran no satu, tak pernah satu hari pun aku dan adik beradik ponteng dari sekolah. PIBG pun mak ayah aku tak pernah ponteng. Semua mesyuarat dengan cikgu pun tak pernah ponteng.
Berbanding kawan kawan aku yang may ayah kerja Oil and Gas, banyak je tak datang. Hebat mak aku ni biarpun tak berpelajaran tinggi. Sumbangan PIBG pun tak pernah miss. Kadang kadang aku terfikir dimana datangnya sumber kewangan mak aku.
Pernah ayah aku dibuang kerja kerana tindakan tegas ayah aku melapor salah laku di tempat kerja, ayah aku dibuang biarpun berlaku jujur. Jujur golongan miskin ini sebenarnya dosa besar bagi golongan bangsawan. Dan masa ini keluarga aku diuji dengan krisis kewangan yang teruk.
Aku sangat menghormati mak aku, biarpun serba kekurangan, meminta sedekah dan berhutang jauh sekali dari fikirannya.
Bayangkan dengan duit hanya tinggal RM30, Mak aku nekad untuk tidak memohon bantuan. Nak minta bantuan pun dipandang hina, bukan mengemis. Dituduh pencuri. Mak aku pantang jika aku ingin berhutang ataupun meminta sedekah. Kalau tak mampu, buat tak mampu.
Dan dengan RM30, mak aku memulakan bisnes menjual kuih. Mak aku cuma tahu membuang sejenis kuih sahaja, tapi mak aku mejaga kualiti dan mendapat banyak tempahan.
Alhamdullillah, keuntungan dari menjual kuih cukup untuk menampung keluarga hinggakan ayah aku mendapat kerja. Oleh sebab ini, aku amat menyampah dengan peminta sedekah di masjid masjid selepas solat jumaat. Maaf, aku miskin pun, maruah aku tetap jaga.
Aku pernah mempersoal tuhan kenapa rezeki aku terasa sempit. Benar, Tuhan memang adil dan bagaimana Tuhan atur rezeki kepada setiap hambanya. Semuanya adil. Biarpun aku cemerlang, aku dinafikan hak biasiswa semasa sekolah kerana politik dalaman. Aku yang tak ada kereta dinafikan tetapi kawan aku yang berkereta mendapat biasiswa.
Aku selalu mempertikai takdir Tuhan. Selalu menyalah Tuhan. Tuhan benar benar zalim terhadap aku. Biarpun keputusan cemerlang, aku tak mampu ke matrikulasi atau menyambung pengajian selepas SPM. satu satu jalan ialah stpm.
Tapi Allah adil…
Rezeki pertama aku adalah semasa masuk ke Universiti, dan aku benar benar tiada wang. Aku sangat stress kerana aku yakin, kalau aku tak masuk U, aku tak mungkin dapat mengubah hidup aku.
Dan tanpa diduga, seorang insan datang melawat aku dan memberi bantuan kepada aku. Bukan saudara, dan alhamdullillah, aku dapat bantuan RM3000 melalui pelbagai NGO atas tabung pendidikan. Bukan kenalan, bukan saudara. Aku tak kenal.
Saudara aku semua memandang rendah aku biarpun aku mendapat tawaran ke universiti. Betapa hina rasanya dan tiada belas kasihan. Pernah aku ditegur, “kenapa nak sambung study, bila lagi nak tolong ayah. buang duit mak ayah”. Walhal aku sambung study atas duit aku.
Rezeki kedua pula apabila aku hampir tamat belajar dan memohon internship, aku telah ditolak banyak syarikat kerana result aku sederhana. Bayangkan kawan aku semua sudah mendapat tempat kecuali aku. Belajar di universiti tanpa wang amat sukar. Pointer aku jatuh teruk kerana masalah kewangan dan ibu aku sakit. Aku tak dapat fokus.
Tanpa diduga, aku mendapat pangilan daripada bos tempat aku bekerja sambilan waktu sekolah menengah dulu. Oh lupa, aku dulu bekerja di kedai makan. Bekerja hingga jam 12-1 malam.
Rupa rupanya pelanggan setia aku adalah General Manager untuk oil and gas company, dan dia terus serap aku untuk latihan industri di situ. Kiranya aku ada network yang super power. Haha.. rezeki yang aku tak sedar. Bukan satu, tapi 3 general manager daripada syarikat berbeza. Semuanya oil and gas. Haaha.. power tak public relationship aku.
Selepas aku bergraduasi, aku berjaya masuk ke syarikat bertaraf antarabangsa dan tak sempat menganggur. Menganggur seminggu je. Aku tak masuk ke oil and gas kerana aku ingin memulakan kerjaya aku atas usaha sendiri. Jadi aku bermula daripada bawah.
Tapi disebabkan aku lahir dari keluarga miskin, aku tak pandang hinapun staff staff yang berjawatan rendah. Tapi masa ini gaji aku cukup cukup sahaja kerana aku masih perlu menolong keluarga. Kawan kawan aku pula ramai menganggur selepas bergraduasi. Tapi rezeki aku cepat. aku tak memandang hina kawan kawan aku kerana aku pernah merasa hidup dihina.
Sekarang alhamdullillah, aku mendapat pekerjaan baru dengan gaji yang cukup lumayan. Aku mendapat pekerjaan sekarang atas tawaran dan bukannya aku memohon. Kalau dulu aku tiada peluang untuk merasa tempat orang, sekarang hampir tiap minggu aku akan travel dan ada masanya aku dihantar hingga ke luar negara. semuanya ditanggung syarikat.
Aku pun macam jakun kerana dapat melihat negara orang. Memang aku post semua gambar aku untuk tatapan saudara aku yang menghina aku dulu. Bukan membalas dendam, tapi rasa sakit hati dihina sukar padam.
Keluarga aku? Baiklah ayah aku sekarang ada sebuah rumah 2 tingkat bebas hutang hasil kebijaksanaan mak aku menyimpan. Family aku diberi program penempatan semula oleh kerajaan dan lebih selesa.
Adik beradik aku belajar hingga ke universiti dan ada yang bekerja dengan kerajaan. Hanya aku sorang yang anti kerajaan dan bekerja swasta. Benar, bila roda berputar, ramai saudara saudara mengaku ibu aku saudara mereka. Selalu dipuji dan jadi tetamu utama kalau ada majlis majlis keluarga.
Masa ini aku nampak, perbezaan bila kau miskin dan bila kau dah senang. Jika kau susah, percayalah Tuhan akan tolong. Jalan pelahan lahan dan Allah akan buka jalan. Jangan meminta sedekah dan jangan sesekali berhenti sekolah. Untuk golongan hina macam kita, ilmu adalah jalan keluar.
Akhir kata, Allah sangat adil kepada mereka yang berusaha. Rezeki tetap ada, cuma cepat ataupun lambat. Dan jangan lupa diri bila berada di atas. Usaha, terus usaha dan jadilah keras kepala.
– Anak Setinggan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit