Bila Bondanya Membenci II

Untuk part I, (https://iiumc.com/bila-bondanya-membenci/).

Assalamualaikum para pembaca IIUMC. Aku Aleya sekali lagi.. Terima kasih admin kerana menyiarkan cerita ku Bila Bondanya Membenci.

Pada mulanya aku hanya sekadar ingin menceritakan kisah aku dan tidak mahu membuat sambungan, namun aku baca komen kalian dan ada yang pening dengan ceritaku, jadi aku cuma ingin membuat sedikit penjelasan dalam confession kali ini.

Jika admin siarkan cerita ini juga, aku ucapkan jutaan terima kasih..

Semalam, Natalia menghubungiku sekali lagi dan bertanya tentang cerita Bila Bonda Membenci itu. Aku memohon maaf padanya kerana menceritakan pada umum.

Alhamdulillah Natalia memahami dan katanya jika aku dapat melepaskan rasa yang terbuku dalam hati melalui medium ini, dia tidak kisah. Maafkan akak, Natalia. Terima kasih kerana banyak menyokong akak.

Berbalik kepada cerita kali ni,

First, aku mengaku itu memang adalah cerita aku sendiri.. Aku mohon maaf kerana mengelirukan semua pembaca..

Pada mulanya aku memang mahu sekadar bercerita sebuah kisah, kononnya kisah seseorang tapi mungkin kerana aku terbawa emosi, aku terlupa bahawa cerita itu adalah cerita aku sendiri. Aku mohon maaf ya semua.

Ada yang mengatakan ianya adalah drama jam 7, sinetron, fiksyen dan lain lain. Sejujurnya aku tidak harap para pembaca percaya akan ceritaku.

Aku hanya menceritakan apa yang pernah aku alami tidak lama dahulu. Bahawa sememangnya pandangan perbezaan dua darjat itu wujud dan kami yang menanggung akibatnya, kerana bondanya menolak mentah mentah aku.

Mungkin rezeki aku bercinta dengan keluarga orang kayangan dan rezeki aku dan keluargaku juga dihina sebegitu. Alhamdulillah. Pengalaman yang akan ku ingat hingga bila bila. Dan aku juga sudah memaafkan bonda. Aku ingin belajar melepaskan.

Dan aku tak nafikan keluarga Shaz antara keluarga yang memang berada. Bondanya bersangkut paut dengan kayangan.

(Aku tak nyatakan semuanya begitu, mungkin segelintir sahaja. Aku juga tidak mahu mention tentang jenis kayangan mana, cukuplah faham kayangan sahaja, aku risau takut ke dalam pula hehe). Dan salah seorang adik beradik shaz merupakan figura yang dikenali.

Namun walau mereka berada, mereka memang sangat baik, tidak langsung memandang aku seperti orang biasa. Tetapi bondanya, hmm berlainan dengan sikap anak anaknya.

Jangan salah faham akan peneranganku, aku cuma ingin kalian memahami dari segi pandangan kenapa bondanya mementingkan taraf dan darjat. Dan aku hormat pendirian bonda. Namun terkadang hati ini sekali sekala rindu pada Shaz.

Sebenarnya ada beberapa lagi ayat yang aku tidak reveal semasa pertemuan aku dan bonda pada makan malam di rumahnya. Tapi cukup untuk aku faham siapa aku di mata dia.

Jika aku sahaja yang dicaci, aku langsung tidak kisah, dan aku berfikir aku akan cuba ambil hati bondanya dengan cara lain, namun jika ibubapaku turut diheret sama, aku rasa aku tidak mampu bertahan dengannya.

Kain batik yang aku berikan pada Bonda, dipos kembali pada hospital tempat aku bertugas (hospital semasa aku tag HO dulu) dengan satu nota kecil, Berambus. Juga berserta barang hadiah yang ku berikan pada papa Shaz.

Setelah kejadian makan malam tu, aku memang sibukkan diri dengan kerja aku. Shaz pula kerap ke pantai timur semata untuk berjumpa aku tanpa memberitahu aku dan memujuk aku kembali.

Dia meninggalkan tugas kerjanya begitu sahaja dan menyebabkan prestasi kerjanya terjejas. Fokusnya juga lari. Oleh kerana itu jugalah aku terpaksa meminta dirinya untuk berhenti membuat demikian. Aku juga perlu fokus akan kerjaku juga.Aku perlu pulun untuk menghabiskan HO aku dahulu.

Pembaca sekalian,

Perasaan aku tidak hilang dan aku tidak mampu melupakan dirinya setelah 3 tahun berlalu.Begitu juga dirinya ( setelah diceritakan oleh Natalia tempoh hari, yang membuatkan aku terus membuat confession Bila Bondanya Membenci).

Selepas pertemuan terakhir kami, aku langsung tidak menghubunginya. Bohonglah jika aku tidak rindu.Allah sahaja yang tahu tapi aku hormat akan keputusannya mendahului ibunya. Shaz pula sering menghubungi aku walaupun kami sudah menetapkan noktah pada hubungan kami.

Namun aku tidak angkat call atau membalas mesejnya untuk tidak mahu memanjangkan cerita, dan setelah beberapa ketika, akhirnya dia mengalah dan tidak lagi menghubungi aku.

Tetapi sebenanrnya Shaz rupanya ada hubungi adik lelakiku sekali sekala untuk bertanyakan perihal keluargaku dan aku sendiri. Tetapi aku hanya diam sahaja. Tidak mahu masuk campur.

Natalia adik perempuannya bercerita, abangnya Shaz tidak lagi bercakap soal kahwin lagi, tak seperti semasa bersama aku dahulu. Dia juga banyak mengelak dari bondanya. Mungkin kerana isu hinaan namun sebab sebenarnya hanya Shaz yang tahu.

Natalia juga berkata, Shaz masih menyayangi aku dan tidak melupakan aku walau setelah 3 tahun berlalu. Buktinya, gambar aku dahulu, masih dalam handphone dia and dia juga ada screenshot gambar aku terkini dalam ig dan fb

(Aku unfriend dengan Shaz untuk fb.. tapi untuk ig, Shaz masih follow aku tapi aku tak follow dia, dan aku tak block dia btw). Barang pemberianku juga dia masih simpan.

Shaz tidak bercakap langsung tentang aku dalam rumah tu tetapi dia pernah memberitahu Natalia, aku adalah cinta pertamanya dan dia tetap menyayangi aku walau jodoh kami tiada.

Pembaca sekalian,

Kami keduanya saling mencintai dalam diam dan saling menyayangi sehingga sekarang namun kami akur akan ketentuan takdir dan hormat pada bondanya kerana bondanya tidak sukakan aku malahan membenci aku.

Aku tahu kalian tidak percaya masih ada kisah sebegini tetapi jujurnya aku memendam rasa sakit ini sehingga 3 tahun. Tiada yang tahu kecuali Maiza dan keluarga kami keduanya. Mereka saksi segala kesedihan aku dek kerana cintaku terhalang.

Aku sentiasa berdoa agar bondanya dibukakan pintu hatinya untuk menerima aku. Dan hati aku sudah rasa mahu pecah disebabkan cerita Natalia tempoh hari dan aku ingin mencari medium untuk aku meluahkan segala rasa aku tanpa ada yang tahu selain doa pada Allah.

Maka di sini lah tempatnya aku meluah. Maafkan aku ya kalian, aku memang lemah saat ini. Walau selepas 3 tahun, aku masih tidak mampu kuat. Kerana aku baru tahu, dia juga sengsara.

Namun peristiwa ini sejujurnya lebih mendekatkan aku pada Allah.Aku sering berdoa agar Shaz kembali pulih dari masalah imsomnianya (semoga tidak lead to depression, aku risau), semoga bondanya menerima aku jika masih ada harapan.

San jika benar Shaz jodohku, dekatkan dia padaku. Aku juga sering berdoa agar aku diberikan kekuatan untuk aku keluar dari masalah ini. Soal hati, aku kalah dalam menguruskannya, kalian. Aku gagal.

Kini aku berusia 29 tahun. Aku semakin meningkat usia, dan keinginan aku untuk berkeluarga dan mempunyai cahaya mata itu sangat tinggi lebih lebih lagi bila aku melihat pt (patient / pesakit ) aku yang berkeluarga dan mempunyai anak.

Ibu aku juga meminta aku untuk melupakan Shaz, katanya dia kasihan melihat aku merana namun dia tidak pernah memaksa aku untuk berkahwin.

Oh ya aku tidak khabarkan kepada ibu bapa aku tentang soal bonda menghina mereka juga. Aku cuma khabarkan sebab aku putus dengan Shaz kerana tidak bersefahaman dan tiada masa. Jadi dimata mereka, aku merana kerana kecewa dalam cinta. Sedikit pun tidak aku khabarkan kisah sebenar.

Para pembaca budiman,

Jika kalian mempunyai anak, di hari tua nanti, moga kalian menjadi antara ibu bapa yang sentiasa terbuka.

Ertinya disini bukan terbuka dalam segala hal, tetapi dalam soal pilihan anak, sekiranya kalian tidak bersetuju, jangan terus membuat penilaian. Mungkin kalian boleh berbincang dahulu sebelum membuat kata sepakat.

Anak kita membesar dengan didikan kita, kita tahu apa yang kita beri, jadi percayalah padanya dalam soal membuat keputusan dan penilaian.

Mohon maaf ya kalian jika tidak bersetuju dengan pendapatku ini, aku juga belum mempunyai cahaya mata jadi aku mungkin tidak nampak masalah sebenarnya.

Dalam soal ini, tidak lah aku menyalahkan Bonda, aku faham akan sikapnya yang mungkin menjaga nama.

Menantu pertama mereka, iaitu wanita yang dikahwini oleh abang Shaz, aku difahamkan mereka berkahwin atas dasar pilihan keluarga namun sebenarnya mereka berdua saling mengenali sejak zaman sekolah, kerana itu lah mereka berdua senang get along dan serasi selepas berkahwin.

Menantu pertama itu juga adalah antara keluarga yang berada dan sekufu juga. Beliau juga ada kerjaya yang hebat, bukan doktor cabuk seperti aku…….

Jadi kalian faham kan bagaimana situasi ini.Dan jauh disudut hati, aku sebenarnya rasa hormat pada Shaz kerana sikap Shaz yang tidak membelakangi keluarganya, tidak membelakangi Bondanya walaupun kami berdua merana.

Kerana jika Shaz tetap memilih aku, perkahwinan kami itu pastinga tidak direstui Bonda, dan walaubagaimana pun Shaz tetap perlu mendahului Bondanya jua dalam apa apa hal. Jadi bagaimana kami akan bertahan dengan semua ini nanti. Pastinya lebih sukar selepas berkahwin.

Shaz, awak adalah lelaki yang terbaik sekali selain ayah saya. Ya, yang terbaik. Mungkin satu hari nanti awak akan berjumpa dengan wanita yang pasti boleh membahagiakan awak dan orang tua awak.

Seperti mana pesan saya sebelum ini, berhentilah hidup dalam kegelapan, teruskan kehidupan awak dan cuba berhenti mencintai saya juga. Awak dah berjanji untuk menggembirakan bonda jadi keep it. Saya sentiasa doakan yang terbaik untuk awak. Tentang saya, pandailah saya uruskan diri.

Ada satu lirik dalam lagu Kasih Dalam Hati by Ippo Hafiz yang aku sedih sangat bila mendengarnya.

“Dengan rasa hati ini

Mengharapkan kasih yang dicintai

Jiwa yang penuh terluka

Merapuhkan penuh derita”

“Kesedihan yang dirasa

Tiada yang bisa untuk mengerti

Sepi yang selalu terlihat

Agar tidak bisa berulang ”

Terima kasih admin IIUMC kerana menyiarkan kisah ini lagi. Terima kasih pembaca atas doa dan komen kalian. Aku memohon maaf sekiranya ada kekeliruan dalam cerita ini dan cerita sebelumnya. Aku hanya sekadar ingin berkongsi rasa. Dan jangan risau, tiada sudah sambungan ini.

Doakan kami berdua masing masing dapat melupai satu sama lain. Jika benar dia jodohku, maka dekatkan lah kami kerana Allah. Doa kalian semua sangat membantu.

Oh ya, jika PKP ni sudah tamat nanti, jangan terus tinggalkan amalan yang kita sedang buat ini.

Teruskan social distance, pemakaian mask, dan sekiranya anda mengalami gejala dan simptom berkaitan pernafasan seperti batuk, selsema, demam sakit tekak dan sesak nafas, anda boleh ke klinik kesihatan terdekat untuk pemeriksaan.

Beritahu doktor anda sekiranya anda ada close contact dengan pt positive covid atau suspect covid. Beritahu juga jika anda pernah ke luar negara.

Jika anda ingin mendengar kisah kisah pengalaman aku semasa aku merawat pesakit covid, aku boleh menulisnya sekiranya ada masa dan permintaan.

Sekali lagi aku mohon maaf jika ada salah silap aku. Maafkan aku juga jika bahasa menulis aku mengelirukan.

Semoga Allah memberkati kita semua. Terima kasih kalian.

Assalamualaikum.

– Aleya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *