Bila Hadir Rasa Sepi

Assalamualaikum… semua. Terima kasih semua kepada yang sudi membaca luahan aku ini. Sebelumnya aku perkenalkan diri dulu supaya semua dapat lebih memahami apa yang bakal diluahkan nanti. Aku seorang perempuan. Bukan berasal daripada keluarga yang warak. Tapi abah aku memang akan marah kalau anak perempuannya keluar rumah dengan tidak bertudung atau berpakain ketat. Adik beradik aku pula ada 16 orang. Selalu cikgu atau kawan-kawan akan terkejut kalau diberitahu jumlah adik beradik aku. Kepada sesiapa yang ada keluarga yang ramai akan faham la setiap kali situasi itu berlaku. Aku anak yang keempat bongsu. Manja la juga sebab ada perkataan bongsu dekat belakang tu kan… huhuuuu.

Bila rasa sepi itu menyapa, aku tak mengharapkan ada yang pernah mengalami apa yang aku rasakan ni sebab rasanya amat sakit dan ngilu. Bukan rasa sepi yang biasa-biasa, tapi rasa sepi… seperti tidak berpunya. Sepi yang tak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata, rasa tidak dipunyai oleh sesiapa, untuk apakah nafas ini dihela… untuk apa hidup di dunia ini… semuanya berkecamuk bila rasa itu hadir. Dada ni rasanya seketat-ketatnya, sampai nak bernafas pun susah. Lelah sangat dalam kesepian yang mengilukan walaupun hakikatnya aku dikelilingi ramai orang.

Rasa ini tak pernah hadir semasa aku di sekolah, mungkin sewaktu itu aku masih menganggab dunia ini seindah-indahnya walaupun zaman remaja aku bukanlah seindah mana. Setiap orang ada ujiannya masing-masing, begitu juga aku. Rasanya tak perlu aku cerita bab zaman remaja aku, nanti jadi makin panjang sebab aku kalau dah bercerita memang tak reti nak tulis pendek-pendek.

Tahun pertama diploma aku tidak berkawan rapat dengan sesiapa, atau lebih tepat aku lebih suka bersendirian masa tu. Berkawan memang berkawan tapi tidaklah sampai kemana-mana mahu berteman. Sebab aku lebih suka kemana-mana sendirian. Tidak pelu mengajak atau menunggu sesiapa untuk ke mana-mana. Ketika itu rasa sepi itu tidak terlalu ketara, masuk tahun kedua rasa itu semakin mencucuk-cucuk dada ini. Maka bermulalah ujian tarbiah aku dalam mengenal apa itu ISLAM yang sebenar-benarnya.

Perlahan-lahan rasa sepi itu membawa aku lebih memaknai erti solat yang hanya dikerjakan semenjak aku berada di tingkatan empat. Itupun aku mengerjakannya diatas kesedaran aku sendiri, ibu bapaku tidak menitik beratkan soal solat kepada anak-anak walaupun mereka solat. Jika dulu aku solat kerana takut berdosa besar namun semakin hari ianya dilakukan kerana tanda kasih dan terima kasih aku kepada Allah. Allah hadirkan rasa sepi yang menyeksakan itu untuk aku lebih mengenali Dia. Allah menjodohkan aku dengan insan-insan yang mengisi rasa sepi itu. Insan-insan yang memberi makna kepada aku apa itu erti ukhwah fillah.

Memakai tudung dulu hanyalah sekadar pakai tudung bagi aku, namun sejak Allah hadiahkan dengan sahabat-sahabat yang mulai aku rapat ketika tahun kedua diploma itu membuatkan aku dapat membezakan apa maknanya menutup aurat dengan menutup kulit. Erti perbezaan itu dihadirkan lagi dengan maknanya yang paling dalam. Ianya adalah tanda aku menyanyangi Allah, keluarga aku, sesama Islam sebabnya aku memang tak mampu nak menarik sesiapa ke dalam surga namun aku tidak mahu menjadi penyebab insan yang aku sayangi diseret ke dalam ke neraka. Walaupun ianya sekadar lelaki yang aku berselisih di jalanan. Aku perlahan-lahan mula memakai sarung kaki dan tangan. Mulanya memang rimas gila-gila, pakai sebelah pagi keluar sebelah petangnya tak pakai pula. Sampai akhirnya aku merasakan bila tidak memakainya seperti aku lansung tidak berpakian. Sebelumnya, bila abang ipar atau sepupu aku datang ke rumah aku bebas menunjukkan rambut namun sejak aku tahu makna aurat aku akan memakai tudung di hadapan mereka.

Alhamdulillah perubahan aku yang perlahan-lahan turut merubah dua orang adik perempuan aku. Bila aku melihat mereka keluar dari pintu rumah walaupun sekadar ingin menjemur pakaian tanpa tudung aku akan menegur mereka (sebenarnya lebih kepada marah dan membebel, huhuu) begitu juga bila bukan ajnabi ke rumah kami. Teguran aku kepada adik-adikku rupanya turut berkesan kepada ma aku, sedikit demi sedikit mereka berubah. Alhamdulillah, walaupun kami semua tidak bertudung labuh atau berpurdah namun masih cuba mengikut syariat islam.

Kakakku yang lain? Adeh, ini cerita bab lain pula. Hijrah itu bukan sesuatu yang manis awalnya. Penuh kepahitan dan air mata (poyo jer ni lebih). Biasalah kene kondem dengan abang-abang dan kakak-kakak (kebanyakan diorang dah kawin masa ni), bajet alim la dan apa entah lagi yang lebel kepada aku. Semuanya aku anggab sebagai angin lalu, tak kisah pun sebab diorang tak faham apa yang aku rasa dan mahu dalam hidup aku walaupun kekadang aku ambil kesah sebenarnya.

Alhamdulillah, dalam meniti peritnya hijrah ni aku telah dilamar oleh seseorang… sampai sekarang aku masih ingat saat manis itu. Senyuman dan mata yang bersinar-sinar saat melamar aku, masa tu rasa rendah diri dan malu gila-gila. Subhanallah orang hebat macam dia melamar aku, rasa nak menangis pun ada. Beku kejab otak aku masa tu, serius aku rapat dengan dia pun tak, kalau jumpa pun mesti aku tunduk ke bawah jer dan cepat-cepat nak melesapkan diri sebab malu gila walaupun dia senyum kalah iklan yusuf tayyob. Aura dia boleh membunuh aku tau, aku kenal rapat sikit dengan dia pun sebab kawan aku yang kenalkan dan aku mula luahkan masalah aku sikit-sikit pada dia. Melalui dia aku mula kenal konsep ujian dan reda, cara dia memberi nasihat tu kalah pakar sakit jiwa ( aku sebenarnya pernah nak dirujuk ke pakar sakit jiwa tapi aku tak nak, malu kut walaupun diberi tahu dan baca yang bukan saja orang gila yang patut jumpa pakar. Yang pasti aku tak nak!) nasihat yang dia beri kadang-kadang tak boleh diterima oleh jiwa aku pun, dalam hati punyalah aku bebel apalah yang dia cakap ni… lain yang aku tanya lain yang dia jawab (ego jer lebih ni, padahal betul jer apa yang dia nasihatkan).

Dalam meluah perasaan dan memberi nasihat, kasih sayang antara kami pun semakin kuat lalu membawa kepada lamaran dia kepada aku. Seingat aku, kejadian tu berlaku pada waktu malam lepas aku luahkan masalahlah jiwa dan keluarga aku siap dengan pakej air mata. Biasa la perempuankan, kalau tak main kalbu dan menangis memang tak sah. Lagi-lagi kalau aku yang hati tisu ni. Dua tiga hari jugak aku duk fikir pasal lamaran dia dan aku cerita la kat kawan aku pasal lamaran dia, kawan aku pun terkejut sebab tak sangka selama diorang rapat… kawan aku ni duk ternanti-nanti la jugak kena lamar tapi last-last aku yang dapat lamaran tu. Kawan aku cakap yang dia ni memang susah nak melamar orang, Cuma orang betul-betu bertuah je yang dapat lamaran dia. Kawan aku cemburu gila kut, aku? Mestilah rasa bertuah sangat, walaupun rasa malu dan tak layak lansung dapat lamaran tu aku terima jugak akhirnya. Malu kut nak cakap ya, tapi dia macam faham jer tanda persetujuan aku (ada rasa sweet macam drama adaptasi novel best seller tak? Hehee2…)

Sebenarnya lamaran tu datang dari seorang kakak naqibah untuk masuk usrah di bawahnya, (heee… jangan patah hati pulak baca pengakuan ni, sebabnya ni bukan novel tapi kisah benar) sekaligus membawa aku lebih reda dan menyedarkan aku tentang maksud firman Allah dalam surah Al-’Ankabut ayat dua yang bermaksud… Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “kami beriman,” dan mereka tidak diuji?.

Lain pula kisahnya ketika aku di alam pekerjaan, rasa sepi tidak berpunya itu hadir… ketika mana aku tersenyum gembira di atas sebuah ikatan maksiat. Ya… ketika mana aku melihat seorang yang sudah aku anggab seperti kakak aku sendiri berpegangan tangan dengan seorang lelaki yang boleh dikatakan berpangkat adik kepada kami berdua (kami berkerja di bawah satu bumbung). Rasanya tak perlu aku bercerita tentang hubungan aib mereka walaupun korang tak kenal tapi yang penting ketika aku melihat semua itu aku boleh mengukirkan senyuman. Sedangkan sejelas-jelasnya ianya adalah satu dosa, betapa titik hitam sudah mula menghinggapi hati aku ketika itu. Sehinggakan aku merasa gembira melihat orang yang agak rapat dengan aku melakukan maksiat. Ketika solat asar petang itu hati aku disentap dengan maha hebat, bercucuran air mata aku mengalir ketika menunaikan solat. Betapa aku tidak berdaya ketika itu untuk menegur mera sementelahan mereka baru aku kenal tidak sampai beberapa bulan. Mereka bukan sahabat aku semasa diploma dulu yang saling menegur ke arah kebaikan dan kehadiran aku di sini juga dicop sebagai ustazah. Ia aku memang pengecut ketika ini… cuma mampu mencegah maksiat yang aku lihat dengan hati aku yang kerdil.

Lama kelamaan rasa sepi tidak berpunya itu semakin mencengkam aku, walaupun boleh dikatakan pekerjaan aku ketika ini agak berpangkat bagi lepasan diploma seperti aku dan tidak punya banyak banyak pengalaman kerja. Memang gajinya agak banyak bagi orang yang tidak punya komitmen seperti aku (ptptn dan bagi mak ayah je la), dengan bonus prestasi setiap tiga bulan, tidak perlu menyewa kerana syarikat memberi tempat tinggal, bonus hujung tahun dan bonus tahunan yang mencecah angka 10k mengikut gred yang pihak atasan beri. Kalau aku sebut nama syarikat mesti semua tahu sebab ianya terkenal di seluruh dunia (anak sedara aku yang umur tiga tahun pun pandai sebut… adeh). Namun semua tu tak mampu membuatkan rasa sepi tidak berpunya itu terubat, semakin hari aku menjadi semakin baran dengan orang bawahan. Mencarut dan menyumpah semakin menjadi mainan bibir aku disebabkan tekanan dari orang atasan dan penat melayan kerenah orang bawahan yang amat menguji iman. Dengan nak mengejar target orang atasan lagi, nak kena selalu pantau orang bawah lagi yang kerja mengalahkan pahat dengan penukul, patut ker tiap-tiap hari aku nak kena ingatkan diorang masuk kerja mengikut jadual (memang patutlah ramai yang berhenti) kalau aku cerita bab kerja ni memang makin panjang jawabnya. Yang paling buat aku menyesal adalah bila sepanjang aku bekerja ni dah dua kali aku tinggal solat. Kerana konon-kononnya sibuk dengan kerja, padahal aku sendiri yang melekakan diri dengan urusan duniawi.

Ikhtilat, perkara yang paling aku takut selama ini. Sejak dari sekolah rendah, walaupun aku ini agak kasar orangnya namun aku bukanlah tipikal kasar yang suka berkawan dengan lelaki. Sebolehnya aku akan mengelakkan diri dari bercakap dengan mereka, hatta rakan sekelas aku jika berselisih di mana-mana aku tidak akan menegur melainkan kerana darurat ( bab ikhtilat ni semua mungkin boleh lagi faham jika membaca buku Tarbiyyah Sentap dan kenapa aku tidak bercakap dengan lelaki tanpa sebab hatta menegur sekalipun). Bayangkan setiap hari aku terpaksa bekerja dengan hampir 90% adalah lelaki, macam mana aku nak menjaga ikhtilat. Memang aku lemah, mula-mula memang bercakap pasal kerja tapi lama kelamaan melalut kepada perkara yang melalaikan, tak bercakapkan aku juga yang gila. Tapi bila bercakap entah apa-apa yang keluar, apatah lagi semua umur lingkungan aku dan walaupun aku orang atasan mereka memang memasing bercakap macam kawan la. Bila dah macam kawan memang susah nak jalan kerja la bila aku bagi arahan atau tegur sesuatu. Paling aku sakit hati bila stok sampai, memasing akan saling buat tak tahu. Berpuluh kali aku suruh memang tak terangkat dan tersusunnya semua stok tu sampailah aku sendiri yang mengangkat stok yang berat-berat tu sambil mencarut, barulah ada yang mengangkat dengan muka tak rela padahal lelaki kut semua (salah aku tak boleh nak bertegas sebab aku faham macam mana perasaan kena marah tapi bila aku suruh elok-elok macam ni la jadinya, masing-masing naik kepala).

Akhirnya sebelum puasa yang lepas aku bertekat berhenti kerja dan sekarang aku lebih bahagia meskipun masih mencari kerja yang sesuai, doakan aku dapat kerja yang lebih baik. Semuanya sebab aku nak jaga iman aku yang senipis kulit bawang ni, dari sekadar bercakap dan bergurau dengan selama ni aku hampir mahu menampar bahu rakan sekerja lelaki aku (bukan tampar gaduh, tampar gurau). Saat ini hatiku tersentak hebat dan aku semakin menyoal diri aku. Adakah ini cara hidup yang nak aku jalani? Banyak sebenarnya yang nak aku cakap lagi, tapi cukuplah rasanya takut jadi novel pula… huhu. Cuma aku nak simpulkan, (ini cuma pendapat aku, insan yang masih mencari penawar untuk mengisi kesepian yang aku rasa) bila mana hati kau mula rasa sepi tak berpunya. Jangan biarkan perasaan yang menyeksakan ini terus menghantui kau, carilah apa cara sekalipun. Walaupun kekadang bermakna kau kena korbankan seisi dunia sekalipun, korbankanlah sebab kau takkan mampu hidup dalam keperitan rasa sepi tak berpunya ni. Sebab nanti cuma jasad kau yang hidup… hakikatnya yang kau rasa cumalah perasaan sekosong-kosongnya… rasa tak dipunya oleh sesiapa.

– Sya

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit