Assalamualaikum admin dan readers sekalian. Andai confession ini disiarkan alhamdulillah kerana aku sangat membutuhkan nasihat-nasihat orang yang berpengalaman. Sebelum itu,aku minta maaf andai confession ini akan ‘ bias’ kepada diri aku kerana ini apa yang aku rasa. Hidup aku dan diri aku berubah selepas aku berkahwin dan usia berkahwinan kami belum pun cukup setahun. Aku berusia pertengahan 30an dan suami lebih muda dari aku beberapa tahun. Itulah manusia, bila belum dapat ( berkahwin) kita asyik meminta,tapi bila Allah dah bagi macam-macam pulak dicomplain.
Awalnya suami memang pilihan aku atas perkenalan melalui orang tengah juga tetapi akhirnya ia menjadi pilihan ibu aku pulak. Panjang cerita kalau nak diceritakan disini tapi cukuplah untuk semua faham bahawa pilihanku bukan lagi pilihanku kerana hati aku sudah tawar dalam waktu tempoh pertunangan dan aku cuba untuk putuskannya. Penyebab tawarnya hati aku adalah disebabkan banyak campur tangan orang luar berbanding perbincangan dari kami berdua. sampaikan nak memilih baju kahwin pun aku terpaksa makan hati belum lagi perkara-perkara yang lain seperti mas kahwin dan hantaran. Tetapi disebabkan suami pandai ambik hati ibu aku, aku pun tawakal ambil risiko untuk teruskan tambahan pula persiapan perkahwinan sedang dijalankan. Jujur aku akui, persiapan perkahwinan memang aku tak ambik ‘port’ langsung,semuanya ibu dan keluarga yang banyak uruskan memandangkan aku jauh diperantauan (sarawak).
Dipendekkan cerita,kami selamat diijabkabulkan. Tapi hati aku masih tawar sampai sekarang.
Lepas kahwin, memang kami berjauhan. Aku di sarawak, dia di semenanjung. Berjumpa hanya bila aku balik bercuti. Masalah yang aku hadapi sekarang ialah kami tidak macam orang yang sudah berkahwin pun dan aku tidak pernah rasa bagaimana bahagianya selepas berkahwin. Sebelum berkahwin, aku memang seorang yang berdikari dan berharap lepas kahwin bolehlah harapkan suami. Tetapi itu hanyalah angan-angan perempuan naif seperti aku kerana aku lagi perlu lebih berdikari selepas kahwin. Pada pandangan aku, suami masih belum pandai hidup berdikari walaupun sebelum kahwin dia akui sudah bersedia untuk berkahwin dimana pada pandangan aku sudah bersedialah untuk memikul tanggunjawab. Contoh yang aku boleh bagi disini yang aku nampak, dia masih harapkan ibu bapanya walaupun selepas kahwin. Nak kemana-mana pun ibu bapanya yang menghantar kerana dia belum mempunyai lesen. Nak ambik isteri sendiri pun, harapkan ibu bapa. Bayangkan untuk perjalanan yang jauh pun, aku yang kena memandu 8-9 jam dan dia hanya tidur di sebelah.
Jika aku pulang bercuti, tidak pernah sekali dia menjemput aku di ‘airport’. Aku tidak pernah rasa seperti kawan-kawan aku yang suami masing-masing akan tunggu di ‘airport’ menjemput isteri kesayangan. Aku di sarawak, dia tidak pernah telefon aku untuk bertanyakan khabar. Menurutnya, dia lebih selesa berhubung melalui what’sapp iaitu ‘line’ yang susah mau tembus sebab aku di pedalaman. Aku akui, ego aku memang tinggi. Selagi dia tak berhubung dengan aku,memang aku takkan berhubung dengan dia sebab hati aku sudah tawar. Sebelum berkahwin,macam-macam yang dijanjikan terutamanya dengan ibu aku, tapi lepas kahwin habuk pun tak ada. Kami memang ada masalah komunikasi. Aku dulu seorang yang ceria dan banyak cakap, tapi bila dengan dia aku tidak berminat langsung untuk bercakap. Dia pun, hanya jaguh di whatsapp, bila kami berdua dia hanya diam seribu bahasa. Aku lebih ‘prefer’ untuk bercakap ‘ face to face ‘ dan kami buat sesi itu sekali. Di situ aku luahkan segala yang terbuku dihati dan aku juga minta dia luahkan apa yang terbuku dihatinya. Tetapi ia umpama pasir yang dimakan ombak sebab tiada juga penyelesaian ditemui.
Sampai sekarang, dalam seminggu dalam dua tiga kali sahaja kami berhubung,itupun hanya dua tiga patah perkataan sahaja. Sebagai isteri, aku hanya mau tengok apa yang boleh dia lakukan sebagai seorang suami sebab aku tidak nampak dia sebagai ‘protector’ aku. Semuanya orang nampak aku yang salah, jika aku balik bercuti, jika aku tidak ke tempatnya aku yang salah padahal aku sebagai seorang isteri aku mau suami aku yang ambik aku ke tempatnya. Ini tidak aku yang kena memandu seorang berjam2 beranikan diri untuk bertemu dengannya. Bila dah bertemu, tidak ada juga komunikasi yang berlaku antara kami. Belum lagi campur tangan keluarga terutamanya ibunya yang sangat sayangkan anaknya itu yang selalu membuat aku terbeban dengan tanggungjawab untuk menjaga anaknya itu.
Sampaikan aku keliru, siapa yang perlu menjaga siapa sebenarnya ni. Orang cakap, orang perempuan ni untung,sebelum kahwin bapa yang menjaga,selepas kahwin suami pula yang akan menjaga. Tetapi tidak bagi aku. Semuanya aku yang kena buat sendiri. Sampaikan sekarang aku hanya fikir untuk tamatkan semuanya. Aku takut dengan perkahwinan ini akan menambahkan dosa aku. Ialah kan, lepas berkahwin, isteri tak buat itu berdosa,isteri tak buat ini kena laknat. Semuanya salah isteri. Di bulan yang mulia ini, aku berdoa semoga Allah lembutkan hati aku dan terima ketentuanNya. kadang kala aku rasa aku perlu tamatkan perkahwinan ini kerana hati dan perasaan ini tidak tertanggung sudah tetapi kadang kala aku juga rasa aku hanya perlu bertahan kerana hidup ini bukannya lama,hanya sementara. Jadi disini, aku mohon nasihat-nasihat dari orang2 yang berpengalaman. Tolong nasihati aku. Jangan kecam kerana hati aku dah cukup berat untuk menanggung semua ini. Terima Kasih.
– Si Penyesal
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit