Hai semua. Aku perempuan 20-an. Dalam adik-beradik, aku anak yang tengah. Hari ni aku nak bercerita tentang ibu aku.
Sepanjang aku membesar dengan ibu aku ni, sangatlah jarang untuk aku lihat dia menangis. Aku rasa dia seorang yang sangat pandai memendam perasaan dia, dan walaupun aku selalu bersembang dengan dia, tapi dia takkan pernah cerita benda yang membuatkan dia sedih.
Disebabkan tu jugak, aku jarang menangis depan ibu aku. Semua benda yang buat aku sedih, aku akan nangis dulu dan kemudian baru aku telefon ibu untuk mengadu apa-apa.
Berbalik kepada topik, aku tak ada memori sangat bila ibu menangis. Yang aku tahu, ibu akan menangis masa lawat kubur atuk dengan nenek, dengan masa bermaafan masa raya aidilfitri.
Tapi, ada satu peristiwa yang aku rasa dekat dengan diri aku dan aku rasa susah untuk aku lupa. Sebab masa tu tak ada orang lain, memang ibu aku nangis depan aku sahaja.
Waktu tu aku kecil lagi. Aku rasa masa tu aku umur 12 tahun. Masa tu pihak sekolah tengah buat sesi motivasi untuk murid-murid sempena UPSR.
Sambil-sambil kami tambah semangat nak exam, pakar motivasi tu tiba-tiba suruh kami tulis surat untuk ibubapa. Dia kata, “tulis je apa yang kamu nak bagitahu ibubapa kamu, nak cakap terima kasih ke minta maaf ke, nak mengadu ke apa sahaja.”
Sebenarnya aku ni seorang yang sangat beremosi tinggi masa kecil. Aku rasa dalam banyak-banyak adik-beradik, aku yang paling suka bagi surat pada ibubapa aku kalau aku nak mengadu apa-apa.
Mak aku cakap aku jadi macam sebab kurang kasih sayang. Katanya sebab adik aku yang bawah ni jaraknya dekat, jadi aku macam tak dapat perhatian sangat masa kecil. Aku selalu cemburu dengan adik aku dan selalu merajuk dengan ibubapa aku.
Jadi dengan emosi tu, aku pun tulis surat macam tu dekat ibubapa aku. Surat tu sangatlah panjang kandungannya, sehelai kertas tu penuh agaknya. Tapi bunyinya lebih kurang macam ni la,
”ibu, kita rasa sedih, kenapa ibu asyik sayang dekat adik je. Ibu selau tak tengok apa yang kita tengah buat. Kita sayang adik, Cuma kadang-kadang kita cemburu sikit. Sayang ibu dan ayah.”
Masa aku tulis surat tu, aku tak terfikir yang aku akan bagi dekat ibubapa aku. Sebab aku cadang nak buang je surat tu.
Aku teringin nak bagitahu ibubapa aku, tapi aku rasa benda tu akan membebankan fikiran dorang dan aku kesian pada adik-adik aku. Lepas selesai tulis surat tu, aku pun simpan.
Tiba-tiba, masa sesi petang tu, pakar motivasi cakap, “ibubapa peserta akan masuk dewan sekarang. Kamu boleh bagi surat tu pada ibubapa kamu.”
Aku rasa terkejut sangat. Sebab seingat aku, itulah kali pertama aku bagi surat pada ibubapa aku. Dan aku luahkan perasaan aku dengan sangat terperincinya sebab aku fikir masa tu aku nak luahkan apa yang aku pendam je, bukan nak bagipada mereka pun.
Bila aku nampak ibu masuk dewan, aku rasa malu sangat nak bagi surat tu, tapi nak buat macam mana. Aku bagi sajalah.
Bila ibu baca surat tu, aku rasa terharu sangat bila ibu peluk dan minta maaf pada aku. Ibu seorang yang baik, tapi ego dia agak tinggi.
Seingat aku, aku tak pernah dengar dia ucap minta maaf atau terima kasih. Kalau dia dah marah aku, dan dia tersedar dia terbuat salah, dia akan buat baik dengan aku dan semua akan okay saja tanpa perlu minta maaf.
Jadi, bila dia minta maaf hari tu, aku rasa sangat terharu dan aku pun ak dapat kawal tangisan aku. Yang aku ingat, hari tu, semua orang dalam dewan tu menangis dan aku rasa syahdu sangat masa tu.
Itu belum lagi dengar cerita anak-anak yang menulis untuk ibubapa yang tinggal jauh dan dah meninggal dunia.
Memang peristiwa tu membawa kesan yang mendalam lah pada aku. beria-ria aku minta maaf pada dia sebab aku rasa aku mengadu terlalu banyak dan sepatutnya aku simpan saja untuk diri sendiri. Tapi dia kata tak apa dan dia akan perbaiki kelemahan dia.
Mungkin sejak tu, kalau aku nak mengadu apa-apa, aku cuma tulis surat saja pada mereka. Yang buat aku terkejut, aku ingat ibu tak simpan surat-surat yang aku beri.
Tapi bila kami mahu pindah rumah, aku jumpa surat-surat aku dalam laci biliknya. Malu pula bila baca surat-surat waktu kecil. Sangat tak matang apa yang aku adukan tu.
Long story short, ibu aku masih berperwatakan macam dulu. Masih baik, cuma malu nak ucap maaf, terima kasih dan cakap sayang pada anak-anak dia. Dan benda tu turut diwariskan kepada aku.
Aku pun susah nak ucap sayang pada ibu aku. Dengan ibu aku, aku cerita benda happy2 saja atau aku mengadu benda yang buat aku stres, itu pun luaran saja.
Aku selalu dengar nasyid yang bertajuk ‘Lafaz Yang Tersimpan’. Nasyid ni mengenai seorang anak yang malu nak ucap sayang pada ibubapa mereka.
Aku harap yang aku diberi kekuatan juga untuk ucap sayang pada ibubapa aku. aku tak kisah pun ibubapa tak ucap apa-apa, aku takut ibubapa aku yang teringin nak dengar aku cakap aku sayang diorang.
Walaupun aku ni keras hati orangnya, tapi aku ingat ada 2 peristiwa yang aku menangis sebab aku tak tahan sangat dengan perasaan sedih aku.
Pertama, masa tu dah nak dekat SPM. Aku duduk asrama yang boleh kata berprestij la jugak. Maka harapan ibubapa dan cikgu-cikgu pun sama la tingginya.
Aku biasanya bukanlah jenis memaksa sangat kalau ibubapa aku tak boleh melawat aku di asrama, Cuma hari tu aku sangat stres, aku pun tak tahu kenapa.
Aku telefon ibu aku minta mereka datang, tapi mereka kata mereka sibuk. Aku cakap pada mereka yang aku nak coklat (padahal boleh saja beli sendiri). Lepas mereka kata mereka sibuk, aku menangis dekat telefon tu dan aku cakap tak apalah, aku boleh beli sendiri.
Aku cuba tahan nangis waktu tu, tapi aku rasa tak berjaya kot. Masa tengah belajar, tiba-tiba dapat panggilan yang ibubapa aku datang semata-mata untuk bagi aku coklat. Bila aku teringat peristiwa aku, aku rasa malu, dan aku rasa berkobar-kobar nak balas jasa ibubapa aku.
Yang kedua, yang ini aku tak nangis depan ibu aku, tapi adik aku. Masa zaman universiti, dan aku sedangambil kursus patologi, yang mana kita belajar tentang penyakit-penyakit manusia. Masa tu baru aku belajar secara mendalam tentang kencing manis, darah tinggi, strok dan banyak lagi.
Masa aku belajar tu, aku rasa sedih bila dengar yang kencing manis dan darah tinggi ni tak ada ubat, dan banyak komplikasi boleh berlaku daripada penyakit ini.
Disebabkan adik aku pun belajar bidang sains, jadi aku pun telefon adik aku dan kami pun mula bercerita tentang bila ibu mula didiagnos penyakit 3 serangkai tu.
Bila aku mula ceritakan pada adik aku tentang komplikasi penyakit-penyakit ni, hati aku rasa sedih sangat sampai aku menangis dekat dia.
Tak terbayang nanti bagaimana jikalau ibu dapat komplikasi2 tersebut. Aku nangis teruk sampai adik aku terpaksa pujuk aku. malu pula bila ingat semula.
Sekarang, ibu aku dah mula ada penyakit jantung. Aku antara orang bawa ibu ke hospital semasa dia mula-mula kena serangan jantung.
Bila aku ingat peristiwa ni, mesti aku banyak berfikir. Bagaimana agaknya pengakhiran ibubapa aku nanti. Aku pernah cakap pada adik aku, aku rasa tak sanggup nak tengok ibu dapat komplikasi jantung, buah pinggang, strok dan sebagainya bila ibu sudah berumur.
Ibu tak banyak bercerita, tapi aku pasti ibu sebenarnya risau juga dengan keadaan dirinya. Ibu seorang yang berpelajaran tinggi, jadi ibu baca semua maklumat tentang penyakitnya dan ibu tahu apa komplikasi yang boleh berlaku.
Pada satu sudut, aku sangat bersyukur yang aku berada dalam bidang perubatan. Aku boleh agak dan aku boleh tolong ibubapa aku dengan ubat-ubatan dan rawatan penyakit mereka.
Kadang-kadang, aku rasa yang sebab aku ambil bidang perubatan pun sebab aku nak bersedia untuk lihat apa yang orang takut. Lihat kematian.
Kadang-kadang, bila aku mandi dalam bilik air, atau bila aku duduk sorang-sorang dalam bilik, aku akan imagine 1001 kemungkinan siapa-siapa yang dekat dengan aku mati. Dan aku akan menangis dan cuba kawal perasaan aku.
Sakit jantung, strok, kemalangan, mati dalam tidur, semua aku bayangkan. Aku buat macam tu sebab aku harap bila kejadian sebenar berlaku, aku boleh terima takdir yang Allah dan tentukan.
Aku tak meratap pun. Cuma aku rasa tak nak terlalu bergantung emosi kepada manusia. Semua pun pinjaman dari Allah je.
Aku selalu berdoa supaya Allah matikan ibubapa aku dalam keadaan yang tenang. Dan aku harap, aku dan adik beradik lain diberi kekuatan apabila masa tu datang.
Maaf kalau confession ni panjang. Aku harap pembaca dan keluarga juga sentiasa bahagia dan dirahmati Allah sentiasa.
– ANAK (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit