Bila Sahabat Jadi Kenangan di Pejabat

Aku Mia, dan ini kisah aku.

Dulu, nama aku dan Kyra ibarat satu entiti. Orang ofis pun dah terbiasa nampak kami berdua macam kembar tak seiras makan bersama, lepak waktu rehat, curhat tentang emosi, kadang sampai menangis pun berteman.

Weekend kami ibarat sambungan hari kerja cuma tukar lokasi dan baju, bukan orangnya. Tak ada satu hari yang berlalu tanpa kehadiran dia.

Sampai satu titik, kami dah tak tahan. Bos kami ibarat lagu rosak ulang-ulang skrip yang sama: “Syarikat tak ada untung, kalian kena faham.”

Hari-hari moody, esok senyum, lusa marah. Suasana kerja toksik buat kami hilang semangat. Maka, kami ambil keputusan paling berani berhenti kerja bersama.

Lega. Sumpah, masa tu rasa hidup bebas. Tak perlu lagi telan tekanan. Tapi hidup bukan tentang rasa lega semata. Duit simpanan makin susut, dan dunia tak tunggu kita bersedia. Aku cari kerja macam orang gila hari-hari apply, setiap platform aku terjah.

Alhamdulillah, usaha aku terbayar. Sekali dua dapat panggilan temuduga, dan akhirnya rezeki muncul.

Tapi Kyra?

Dia diam. Katanya tak ada kerja. Katanya rezeki lambat. Katanya masih keliru. Katanya banyak tapi semua kata, tanpa tindakan.

Aku kesian. Aku cuba bantu, beri semangat, kongsi link kerja, betulkan resume dia. Tapi semuanya seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Dan satu hari, aku dengar sesuatu.

Dia dah kerja. Tapi bukan sebarang tempat dia kerja semula di syarikat lama, yang kami sama-sama benci, yang kami nekad tinggalkan.

Tapi yang paling menyakitkan, dia tak pernah beritahu aku. Bukan aku tahu dari dia. Orang lain yang khabarkan. Dia senyap. Hilang. Macam aku ni tak pernah wujud dalam hidup dia.

Aku cuba husnudzon mungkin dia malu, mungkin dia takut aku kecil hati. Tapi makin aku fikir, makin sakit. Bukankah kami pernah berkongsi segalanya? Bukankah aku yang tak pernah tinggal dia saat dia jatuh?

Aku pernah tanya, “Kau menyesal ke berhenti kerja haritu?”

Dan dia jawab, dengan yakin, “Tak. Aku tenang sekarang.”

Tenang rupanya bukan dengan aku.

Aku sedih. Kecewa. Tapi lebih dari itu, aku belajar sesuatu yang mahal nilainya:

Jangan terlalu ‘attached’ dengan kawan sekerja.

Kadang, kita rasa hubungan itu ikhlas dan kekal tapi hakikatnya, ramai yang hadir hanya sementara. Kawan kerja adalah untuk kerja. Titik. Nak berbaik, biar berpada. Nak lepak, biar berjarak. Jangan kongsi terlalu banyak, jangan terlalu berharap.

Kalau boleh jangan follow media sosial kawan tempat kerja. Sebab satu hari nanti, bila kau keluar dengan A, tapi B dan C nampak, akan ada yang terasa. Dan paling malang, bila kau sendiri jadi orang yang dibuang senyap-senyap.

Benarlah kata orang tempat kerja adalah untuk kerja. Bukan gelanggang cari sahabat sejati. Kerja tetap kerja. Dan aku belajar itu dengan cara paling menyakitkan.

Dulu, aku fikir aku lain. Aku percaya, walau dunia kerja sekeras mana pun, kalau ada seorang yang kau boleh percaya semuanya jadi mudah. Aku percaya pada erti sahabat sekerja. Aku percaya, bila kita tolong orang, orang akan tolong kita balik. Bila kita ikhlas, orang akan hargai.

Tapi realiti bukan begitu.

Aku terlalu terbuka. Terlalu percaya. Terlalu mesra. Hinggakan aku lupa bina sempadan. Aku kongsi terlalu banyak masalah rumah, target hidup, bahkan aib sendiri. Aku fikir kami berkongsi rasa, rupanya aku bersendiri dalam rasa itu.

Satu demi satu situasi membuka mata aku.

Ada mesej tidak berbalas. Ada senyuman yang makin tawar. Ada rakan yang dulu rapat, kini hanya bertanya bila mahu sesuatu.

Ada maklumat sulit yang tiba-tiba jadi bualan. Ada bos yang tahu hal peribadi yang aku cuma cerita pada ‘kawan sekerja’.

Salah siapa?

Salah aku.

Sebab tak letak garis. Tak asingkan dunia kerja dan dunia sendiri.

Hari ini, aku belajar untuk letakkan sempadan.

Fon kerja? Ada.

Fon peribadi? Lain.

Office hour? Bekerja.

Luar waktu? Hak aku.

Bukan sebab sombong. Tapi sebab aku pilih untuk jaga diri. Untuk pastikan, bila kerja selesai, aku balik rumah dengan emosi yang tenang.

Aku tak lagi buka mesej kerja waktu malam. Tak lagi kongsi perasaan dengan orang yang duduk meja sebelah. Aku baik, tapi tak terlalu rapat. Aku bantu, tapi tak buka semua cerita.

Dan aku lebih bahagia. Lebih damai. Lebih kenal siapa kawan, siapa sekadar kawan waktu makan tengah hari.

Jadi kalau kau tengah rasa penat, rasa dilukai oleh ‘kawan’ tempat kerja mungkin kau terlalu buka pagar.

Binalah sempadan. Asingkan dunia. Asingkan fon. Asingkan emosi.

Percayalah, tenang itu hadir bila kita tak lagi campur aduk semua perkara.

Tak perlu terus percaya kata aku sekarang. Tapi satu hari nanti, bila kau dah lalui sendiri…

You’ll say, “Thanks to me later.”

Aku Mia. Dan aku dah tak kisah lagi.

– Mia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

3 Comments

  1. mia, kisah kau sama dengan aku. sekarang, aku lebih berdamai dengan takdir. hidup aku lebih tenang.

  2. Kisah awak sama seperti yang terjadi pada saya. Buat baik berpada pada. Kita ikhlas berkawan sedangkan dia tak pernah anggap kita sahabat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *