Assalamualaikum admin dan para pembaca. Tergerak nak meluah di sini. Aku perempuan. Aku juga sudah dewasa. Aku mempunyai latar belakang agama yang baik. Pendidikan yang baik. Juga kerjaya dan keselesaan hidup yang baik.
Aku sedar akan semua nikmat yang aku kecapi sekarang ini. Aku seorang yang ceria, aku seorang yang dilihat bermotivasi. Tetapi hakikatnya, jauh jauh dalam hati ini. Aku tidak seperti aku.
Aku akui sudah lama aku terjebak dalam ‘barah porno’. Ada beberapa confession sebelum ini juga menyatakan hal yang sama. Sehingga hari ini Allah masih menjaga aib aku. Ramai ingat aku baik, jaga agama, calon menantu pilihan kononnya.. Tetapi hakikat perit yang terpaksa aku lalui ialah merawat barah ini.
Aku tak ingat sejak bila aku terjebak dan bagaimana aku terjebak. Cuma seingat aku sejak sekolah rendah. Mula-mula rasa seronok yang tak diketahui, seterusnya rasa tidak dihargai, rasa kecewa maka aku teruskan kegiatan tak bermoral ini. Sehingga kini aku sudah dewasa, aku seolah hidup berkahwin dengan diri sendiri. Seronok dan rasa lega setelah menikmati ‘maksiat’ ini.
Seringkali aku menyesal, aku berhenti.. Tetapi akhirnya makin pandai dan bijak aku mencari bahan untuk melampias nafsu sendiri. Aku sedih sebab aku tahu perkara ini membawa mudarat.. Aku tahu aku tak sihat. Aku tahu ini tak sepatutnya berlaku. Aku rasa lebih separuh umurku aku sudah terjebak dengan penyakit ini. Susah nak buang, susah nak kawal.
Mula-mula rasa menyesal, kemudian dah selalu.. Rasa tidak lagi dipandang. Malah, rasa semakin jauh dengan Allah. Aku rasa diri aku kotor, jijik… Aku sudah pandai tinggal solat, tidak lagi membaca al-Quran seperti lazimnya kerana aku rasa aku kotor, aku rasa aku buat apa saja susah hendak pulih. Puasa? Juga masih tidak mampu membendung penyakit barah aku ini.
Jahat dan kejinya aku. Dulu aku tak berani tinggal solat.. Dan walaupun aku buat perkara keji itu, aku akan mandi wajib. Aku tahu aku tak bersih. Kemudian mula tinggal solat sebab tak mandi wajib lagi. Sekarang, baca al-Quran juga dah jarang sangat.
Bila ada kesedaran, setiap kali baca al-Quran aku baca tafsir, aku insaf.. Aku terfikir sampai bila lagi aku harus macam ini. Sedih.. Membantu diri sendiri pun tak mampu. Setakat ini alhamdulillah aku tak pernah lagi mengotorkan diri aku dengan orang lain. Aku hanya buat dosa dengan diri sendiri je.
Aku confess bukan nak takutkan orang.. Aku confess sebab aku perlukan nasihat, atau apa-apa sahaja untuk normal kan hidup aku. Mungkin ada doa kalian yang membantu aku.
Sampai satu masa, aku pun tak tahu apa lagi aku perlu buat untuk rawat barah ini. Aku memang dah layak berkahwin. Tetapi tiada calon lagi. Aku juga tak nak kahwin sebab perkara ini. Aku takut aku menzalimi suami atau sebenarnya perkahwinan pun tak mampu bantu aku.
Aku takut ini istidraj.. Allah tidak lagi memandang aku.. Membiarkan aku dalam maksiat ini. Aku bukan salahkan Tuhan. Aku cuma rasa jauh dari Tuhan. Mungkin ini balasannya. Aku semakin jauh dan tidak lagi dipandang. Namun hakikatnya, dalam hati aku terdetik juga rasa ‘kembali’ tapi tidak tahu lagi harus bagaimana.
Masihkah aku dipandang oleh-Nya?
– Ratu
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit