Bila Tuhan Nak Ambil Aku

Assalamualaikum. Memang ke hadapan aku akan hidup dengan balasan Tuhan? Hidup aku dari kecil tidaklah baik, aku hadap diri sendiri pun penat. Anxiety + stress + panic attack + fobia seawal umur 7 tahun.

Dari seorang yang aktif terus jadi pasif. Dari seorang yang berani terus jadi takut dengan segala hal. Kerisauan melampau, seawal umur tu aku dah takut kalau mati, kalau mak ayah mati, aku terbayang seksa azab kubur, aku terbayang hari kiamat, aku takut tengok jenazah, aku takut warna putih.

Masa ni rasanya semua benda aku takut. Selalu jadi sesak nafas, kunjung bahagian kecemasan dan doktor hanya cakap aku gastrik. Makan ubat gastrik. Dan memang sentiasa berulang-alik hospital.

Aku hanya mengetahui apa itu anxiety, apa itu panic attack bila berumur 18 tahun selepas membuat ujian DASS. Jadi, sejak tu aku kawal secara alami seperti yang diajar oleh seseorang yang aku percaya dalam bidang berkenaan.

Dia minta aku pergi hospital untuk rawatan lanjut tapi aku menolak sebab aku tak mampu terima kenyataan keadaan aku.

Alhamdulillah, aku mampu alihkan perhatian dan pemikiran aku dari risau berlebihan, mampu kawal panic attack. Ada masa gagal juga. Menggigil juga. Ada la juga nak kena pergi hospital disebabkan aku panic bila nafas pendek. Alhamdulillah, 7 tahun aku kira berjaya juga la kawal mental aku ni.

Tapi tak sangka hanya sekejap itu aku dalam keadaan ‘baik’. Selepas diuji dengan kesakitan, aku murung. Lebih 5 penyakit aku ada. Bukan 5 serangkai eh.

Mummy aku dah risau tengok aku berkurung. Masa ni tersilap langkah, aku berkawan dengan ‘seseorang’ yang bergelar suami orang. Dia banyak bagi aku semangat, isteri dan keluarganya pun baik. Di sini aku ketepikan prinsip ‘tak nak kahwin’, prinsip aku anti lelaki yang ‘poligami’.

Sepanjang hidup, aku perasan, apa yang aku benci itulah berbalik kepada aku. Banyak, bukan satu dua. Mungkin betul orang kata, jika tak suka sesuatu jangan sampai membenci. Netizen mesti nak kecam aku kan sebab bercinta dengan suami orang? Kecam la sebab aku pun dah sedia hancur dengan diri sendiri.

Aku boleh rapat dengan dia disebabkan dia banyak tolong aku masa sakit. Lama-lama aku pun percaya dengan dia, walau dalam masa yang sama aku benci diri aku sebab dia suami orang.

Aku percaya yang isterinya ok sebab isterinya baik dengan aku. Aku menidakkan fikiran aku yang berfikir “tak ada perempuan yang baik-baik saja bila suami ada perempuan lain”.

Salah aku, ye salah aku. Aku BODOH. Aku NAIF. Aku cari manusia untuk memastikan emosi aku baik-baik. Aku bergantung padanya untuk melupakan semua apa yang aku rasa (risau, stress, murung dengan keadaan aku). Dia selalu tenangkan aku.

Hari-hari aku doa supaya Allah ambil aku, walau hakikatnya jika tengok amalan, memang aku takut nak mati. Bila panik aku takut nak mati, tapi bila murung aku nak sangat mati. Tapi takat ni aku tak sampai tahap cederakan diri. Aku cuma doa je nak pulang cepat. Penat sangat bila ada perasaan ini.

Dan di akhirnya, sekarang aku menerima kifarah. Mereka yang dulu berbaik dengan aku, kini membuang aku, menuduh aku benda yang aku tak buat. Dia pergi bukan kerana dia menipu aku tapi disebabkan keadaannya. Ni balasan untuk aku dan dia sebab menyakiti hati isterinya.

Mungkin sampai mati aku akan terima pelbagai balasan walau sudah bertaubat. Kerana ada insan yang hatinya hancur takkan maafkan aku sampai bila-bila.

Mental aku bertambah kacau, kesihatan merosot, kerjaya hancur, kewangan zero. Sekarang aku hidup dalam tekanan, mental yang hancur, hari-hari menyalahkan diri aku, menangis tanpa ada siapa yang tahu, pura-pura baik.

Hampir setahun dah malam aku berendam air mata. Tapi esoknya aku pura-pura ok. Takkan ada bahagia untuk orang jahat dan bodoh seperti aku. Kesilapan yang membuat aku takkan maafkan diriku sampai bila-bila. Tuhan, ambillah nyawaku…

Terima kasih admin, jadikan ceritaku pengajaran. Jangan jadi seperti aku. Aku yang jahat, insan hina.

– Aku ni hina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *