Terima kasih admin sudi siarkan confession yang tidak seberapa ini. Semoga ada antara intinya yang boleh memberi manfaat kepada pembaca.
Saya sekarang berada di bilik kosong. Bilik yang besar. Sesuailah dengan namanya Bilik Tidur Utama. Tidaklah kosong secara fizikal. Ada kabinet pakaian melekap di seluruh dinding.
Ada meja solek lengkap cermin berukir. Ada katil dan tilam tebal. Ada tandas dan kamar mandi juga. Kosong di sini ialah saya sendirian.
Bersama jiwa yang tenang, lapang, ringan dan kosong. Sambil minda berundur laju ke belakang.
Sebelum itu, saya perkenalkan diri dahulu. Saya Zafya, berusia awal 50-an. Sudah tua. Sudah bersara. Dahulunya bekerja di sebuah jabatan kerajaan.
Syukur, ada pencen bulanan yang lumayan untuk saya meneruskan hidup. Punya 3 anak. Yang baik-baik semuanya. Yang sangat berbakti.
Mereka semua sudah berkahwin dan sudah ada kehidupan sendiri.
Saya ibu tunggal. Sudah berpisah dengan suami 10 tahun lepas. Saya tidak mahu memperincikan dengan jelas tentang perpisahan itu kerana puncanya tidak jauh beza dengan confession lain di IIUM Confession ini. Nanti pembaca muak pula.
Saya nak ajak pembaca bersama saya mengimbau memori lalu. Seperti yang saya katakan tadi, minda berundur laju ke belakang.
Saya telah melalui banyak perkara suka duka, gembira bahagia, tawa tangis di sepanjang hayat ini. Namakan apa sahaja, semua saya sudah rasa. Saya senaraikan antara perkara gembira dahulu.
1. Punya keluarga yang bahagia. Tinggal di kampung pedalaman bersama ibu bapa yang bertanggungjawab. Adik beradik yang ceria. Kawan-kawan yang sama nakal dan penuh aktiviti.
Kebanyakan aktiviti di hutan dan di sungai. Di akhir tahun 1970-an dan awal 1980-an, hidup kami sama.
Tiada yang kaya tiada yang miskin. Tidak ada perbandingan apa-apa. Ibu bapa kami semua sama, kerja kampung. Menoreh getah, mengerjakan sawah, menangkap ikan di sungai, menanam sayur di keliling rumah.
Kami tidak pernah tahu rupanya di kota sana ada orang miskin, ada orang kaya. Tidak pernah tahu rupanya jadi orang miskin itu hina, jadi orang kaya itu mulia. Seronokkan jadi kanak-kanak di zaman itu.
2. Saya agak bijak di sekolah. Walaupun cuma sekolah kampung, saya berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah berasrama penuh. Setiap peperiksaan awam, keputusan di slip peperiksaan penuh dengan A.
Dapat anugerah peringkat negeri untuk SRP dan SPM (bukan saya seorang ya, ramai yang dapat untuk setiap batch). Ini benar-benar zaman kegemilangan saya. Bahagia betul bila melihat senyuman di wajah tua ibu dan ayah.
3. Dengan keputusan SPM cemerlang, gred 1 dengan agregat 7 (ini penggredan zaman itu, penghujung tahun 1980-an),
Saya terus ditawarkan masuk ke universiti terulung ketika itu untuk program asasi sebelum menyambung peringkat ijazah pertama (degree) dan seterusnya ijazah sarjana (master).
Mudah benar jalan ke menara gading. Dan selepas tamat degree, terus dapat penempatan pertama (first posting).
Segalanya lancar, mudah, penuh gembira dan bahagia. Ditambah dengan kesihatan yang berada di puncak. Sihat, bertenaga, berselera dan tak pernah sekalipun masuk wad/hospital.
Tetapi benarlah. Hidup ini tak akan yang indah-indah sahaja. Tak mungkin warnanya hanya putih. Pasti banyak warna lain sedang menunggu untuk dilakar.
Sekarang, saya senaraikan pula antara kisah luka dan derita saya.
1. Kehilangan ibu bapa – sedihnya tak tertanggung. Walaupun ketika mereka pergi saya sudah dewasa (ayah pergi dahulu, 10 tahun kemudian ibu menyusul).
Ketika membacakan yasin, huruf-huruf hijaiyah itu berlompatan sesama sendiri. Kabur oleh airmata yang tumpah tidak berhenti.
Suara jadi serak dan parau. Di setiap sudut rumah ternampak-nampak ibu dan ayah sedang melakukan aktiviti yang mereka suka.
Ternampak emak sedang menganyam tikar. Ternampak ayah sedang membaca kitab-kitab lama. Sekarang pun masih sayu dan rindu bila teringat mereka.
2. Hidup susah – ketika baru berkahwin, gaji fresh grad tidaklah besar. Dan suami pula berpendapatan tidak tetap. Bayangkan kesusahan tersebut lebih-lebih lagi setahun kemudian dapat anak pertama.
Tetapi saya percaya, kebanyakan orang juga mengalami kesusahan yang sama ketika baru memulakan hidup berumahtangga.
3. Dikelilingi hutang keliling pinggang angkara kebodohan saya menuruti kehendak suami yang meminta saya buat pelbagai personal loan, kononnya untuk bisnes.
Janji asalnya dia akan bayar bulanan. Tetapi pembaca boleh fikir sendiri kesudahannya. Kereta kena tarik itu perkara biasa.
Ini cerita lebih 20 tahun dahulu. Ketika anak-anak masih kecil. Ketika bergelut dengan gaji yang tak selari dengan kemampuan. Minda muda yang tak pandai buat keputusan.
Hanya ikut sahaja kehendak suami kerana sayang yang teramat sangat. Waktu itu hidup sangat tertekan.
Setiap kali telefon berdering, sudah menggeletar satu badan kerana menyangka itu panggilan dari bank menuntut hutang. Hidup dalam ketakutan.
Sekarang, di usia tua begini, alhamdulillah semua hutang piutang sudah langsai. Sudah lega dan tiada beban.
Menyesal benar bila teringat khilaf ketika muda. Bekerja hanya untuk membayar hutang. Segala kekhilafan itu saya ceritakan pada anak-anak supaya mereka tidak ulang kesilapan saya.
3. Kecurangan suami berkali-kali sepanjang perkahwinan. Hanya yang pernah melaluinya sahaja akan tahu rasanya.
Tidak ada perkataan untuk gambarkan rasa luka dan sakit itu. Seperti ditikam berkali-kali di dada dengan senjata paling tajam hingga tembus ke belakang badan. Luka parah. Tetapi masih hidup. Masih bernafas.
Ingat lagi ketika itu, tengah kaki melangkah berjalan, tiba-tiba kaki jadi lembik apabila teringat suami tidur dengan orang lain. Sedang menyampaikan taklimat, air mata laju bak hujan di musim tengkujuh teringat suami berseronok dengan orang lain.
Teresak-esak di hadapan semua orang. Sehingga peserta seminar kalut dan suruh saya duduk kerana menyangkakan saya sedang sakit.
Siang dan malam sama sahaja kerana tidak dapat tidur walau sepicing. Hanya menangis dan menangis. Rasa kenyang atau lapar juga sudah tidak ada. Kenyang, lapar, tidur, jaga semua tiada.
Sedih dan perih mengenangkan segala pengorbanan tidak dihargai. Sedangkan sayalah penafkah tunggal untuk keluarga. Saya tidak pernah pertikaikan kegagalan dia sebagai ketua keluarga.
Kerana tidak mahu bergaduh. Jika bergaduh (biasanya asbab kantoi curang), lebam birat pasti melekat di badan. Ya, saya juga salah seorang mangsa keganasan rumahtangga.
(Cuma setelah sekian lama berpisah, saya sudah maafkan bekas suami dan sesiapa sahaja yang turut membintangi episod-episod duka dalam rumahtangga saya. Kerana marah yang berlarutan itu akan membuatkan hati tidak tenang.
Tidak guna pun marah, kerana Allah telah menyediakan kehidupan yang jauh lebih baik buat saya dan anak-anak selepas perpisahan itu terjadi. Hikmah perpisahan amat besar).
4. Dan akhirnya saya didiagnos sebagai pesakit kronik. Mungkin kerana siri tekanan hidup yang saya harungi. Rasa ‘down’ itu juga tidak dapat diceritakan. Sesiapa yang pernah didiagnos sebagai pesakit kronik tahap akhir pasti tahu rasa ‘down’ itu bagaimana.
Yang ada di fikiran, cuma mati, mati dan mati. Kesakitan melalui pelbagai prosedur dan sesi rawatan juga tidak tergambar rasanya. Mungkin saya akan buat confession lain tentang penyakit dan rawatan ini (jika masih ada rezeki usia).
Kerana penyakit inilah, maka saya memilih untuk bersara awal demi mahu fokus pada rawatan.
Dan sekarang, beginilah saya. Di atas katil, di bilik kosong ini. Mengimbau segala kenangan perit pedih, riang gembira yang silih berganti.
Menginsafi hakikat hidup yang tidak lama. Tersangat sekejap. Nisbah hidup di dunia ini hanya 2 minit berbanding kekalnya kita di sana kelak.
Adik-adik dan anak-anak sekalian, bayangkan ya, saya yang sudah berusia 50-an ini, masih terasa segarnya bau embun ketika zaman kanak-kanak.
Masih terhidu harumnya padi yang baru dituai. Masih terasa tangan ini melempar selipar ketika bermain lontar tin. Masih pedih rasa tapak tangan ketika bermain konda kondi. Itu cerita lebih 40 tahun dahulu.
Tak termasuk lagi sentiasa rasa anak-anak masih kecil. Padahal masing-masing sudah dewasa. Malah ada yang sudah punya anak (ya, cucu saya hehehe).
Saya sedang menghampiri fasa terakhir dalam hidup saya. Zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman dewasa, zaman berkerjaya, zaman berumahtangga saya semua sudah berlalu.
Saya sudah bersara. Sudah pencen dari segalanya. Pencen dari jadi kanak-kanak, pencen dari jadi dewasa, pencen dari jawatan, malah sudah pencen dari jadi isteri. Cuma saya masih belum pencen daripada menjadi makhluk-Nya yang masih hidup.
Pasti tidak lama lagi akan tiba saat saya dipanggil Ilahi. Kita tidak mungkin mampu menahan apabila Izrail datang menjalankan tugas utamanya.
Memang rasa rindu kepada kematian setelah terlalu letih berpenat lelah di dunia ini.
Tetapi risau apabila mengenang amalan tidak cukup, bekalan hanya sebekas kecil. Semoga setiap kesakitan, kelukaan, kepedihan, kesengsaraan yang kita lalui dengan redha itu turut memberatkan timbangan amalan kita semua.
Terima kasih Allah kerana memberi peluang saya hidup di alam dunia ini. Merasa segala rasa yang lengkap sebagai manusia. Diberi segala pengalaman yang penuh warna.
Jemputlah hamba-Mu ini pulang dengan pengakhiran yang paling indah.
– ZAFYA (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit