Bimbang Perangai B0yfriend Sebiji M4k Cik Bawang

Hai.. saya Lisa (bukan nama sebenar). Tujuan saya menulis di sini untuk minta pandangan semua.

Saya wanita bekerja di sebuah syarikat swasta di Cyberjaya. Saya ada seorang teman lelaki bernama R.

R seorang bujang usia 35 tahun, belum pernah berkahwin. Manakala saya usia 30 tahun. R mengajak saya berkahwin.

Masalah saya adalah R suka menggunakan empat akaun fake di facebook untuk mengumpat, mengutuk dan mencaci orang.

Semua hal orang orang R akan komen dan kutuk macam dia kenal sangat orang yang dia kutuk walaupun R tak pernah jumpa mangsa-mangsa kutukan dia.

Kami keluar dating pun R akan bercerita tentang orang lain. Orang itu buruknya itu. Orang ini buruknya ini. Tiada yang elok pada orang yang R kutuk.

Saya lihat kawan-kawan R pun sama perangainya. Mereka adalah kumpulan lelaki yang suka mengumpat orang. Lelaki kalau mengumpat lebih teruk dari perempuan. Lebih dari Makcik Bawang.

Mereka tidak takut memfitnah orang. Asalkan mereka dapat aibkan orang dan hancurkan kerjaya orang yang mereka kutuk, mereka sudah puas hati.

Sejak akhir-akhir ini saya lihat R rapat dengan beberapa orang surirumah yang juga berperangai seperti R. Surirumah-surirumah itu juga menggunakan akaun fake untuk menghendap orang.

Hari-hari wall akaun fake R dipenuhi umpatan, cacian, kejian dan fitnah tentang macam-macam orang dan komen-komen dari surirumah-surirumah yang menyokong R.

R sering bertemu dengan kumpulan surirumah untuk mengumpul bukti katanya. Supaya kutukan R lebih berkesan jika dapat bukti.

R dan kawan-kawan lelakinya paling suka mengutuk pegawai kerajaan dan pensyarah. Terutamanya pegawai atau pensyarah perempuan berjawatan tinggi. R kata perempuan tak layak pegang jawatan tinggi.

R bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat security. Manakala saya bekerja sebagai eksekutif syarikat swasta yang terkenal.

R suka makan di restoran mewah dan kerap menayang makanan di media sosial walaupun kebanyakan makanan itu saya yang bayar.

R suka menunjuk-nunjuk macam dia baik dengan ibunya di media sosial tetapi saya pernah melihat R menengking ibunya dan menyindir ibunya bertalu-talu ketika kami dalam perjalanan ke satu kenduri kahwin.

R sangat ego tambahan pula semua kawan-kawan R menjadi batu api menggalakkan R mengumpat dan mengutuk orang.

Saya lihat tiada kawan lelaki R yang berani menasihat R agar berhenti dari mengumpat, mencaci, menghina dan membuka aib orang yang R kutuk.

Jika R kutuk seorang mangsa. Maka sampai berhari-hari mangsa yang sama akan dikutuk bahkan difitnah dengan cerita yang R reka sampai R puashati.

R pernah menggunakan kereta saya untuk menghendap abang kepada seorang wanita yang R kutuk di Selangor dan upload abang wanita itu yang sedang menggoreng ayam serta menghina abang wanita itu kerana wanita itu tidak respon kepada kutukan R.

R juga pernah menghendap sebuah sekolah pada waktu kerja dan merakam video sekeliling sekolah itu dan upload di akaun-akaun fake R kerana ada seorang pengetua perempuan di sekolah itu tidak respon kepada kutukan R tentang pengetua itu.

Siapa yang tidak respon kepada kutukan R, R akan cari rumah atau tempat kerja mangsanya dan rakam video kemudian upload di akaun fake untuk tarik perhatian mangsanya. Adakah ini perbuatan mengugut orang?

Saya bimbang apakah selepas berkahwin saya kena mendengar umpatan tentang orang lain setiap hari dari R?

Saya bimbang apakah selepas berkahwin R akan membazir masa dan wang serta menggunakan kereta saya untuk menghendap orang yang tidak respon kepada kutukan R?

Adakah R mempunyai masalah mental?

Atau adakah kawan-kawan R mempengaruhi R jadi begitu?

Inilah kali pertama saya temui satu kumpulan lelaki yang masing-masing sudah berusia lebih 30 tahun, belum berkahwin dan kerja dengan gaji yang kecil,

Hingga nak makan pun terpaksa minta girlfriend bayarkan tetapi suka mengumpat perempuan secara terbuka di media sosial.

Adakah ini normal perangai lelaki hari ini?

Ibu R tidak mahu bercerita tentang anaknya kepada saya walaupun saya tanya kisah R semasa kecil. Ibu R lebih banyak berdiam diri ketika saya duduk bersama Ibu R.

Saya mahu berkahwin tetapi saya terbaca lebih baik berkahwin lewat dari berkahwin dengan lelaki yang salah.

Tolong saya.

Saya buntu.

Adakah saya mampu mengubah sikap buruk R selepas berkahwin dengan R?

Atau adakah saya akan menjadi mangsa cacian R jika apa-apa berlaku dalam perkahwinan kami?

Adakah R lelaki yang baik untuk saya kahwin?

– Lisa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *