Bina & Beri Peluang Kepada Si Buta

Penulisan ini lahir bukan untuk mengajar sesiapa, tetapi sekadar sebuah perkongsian ikhlas daripada pengalaman peribadi aku sepanjang bergaul rapat dengan komuniti OKU penglihatan — atau lebih mudah disebut, golongan buta.

Sejak zaman persekolahan, aku pernah menimba ilmu bersama mereka. Aku membesar dengan mereka, dan ditakdirkan juga, kerjaya aku turut melibatkan tugas yang dekat dengan dunia mereka.

Maka, aku rasa bertanggungjawab untuk membuka sedikit ruang pemahaman kepada masyarakat luar tentang liku hidup yang dilalui oleh insan-insan istimewa ini.

Aku mulakan dengan satu situasi yang selalu berlaku, namun jarang dibicarakan secara terbuka: seorang anak buta atau rabun teruk yang membesar dalam keluarga celik.

Ramai ibu bapa yang tidak tahu bagaimana untuk menguruskan anak sebegini, lalu terperangkap dalam dua ekstrem — sama ada terlalu melindungi (overprotective) atau terlalu mengabaikan (underprotective).

Anak perempuan buta selalunya menjadi mangsa kepada perlindungan berlebihan kerana kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan mereka.

Ironinya, berdasarkan pengalaman aku, ramai ibu bapa yang tergolong dalam golongan profesional seperti pensyarah, doktor, jurutera, dan guru — juga tidak terlepas daripada sikap ini.

Bahkan ada juga yang langsung tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka berstatus OKU penglihatan. Lalu mereka memilih untuk menyembunyikan anak di rumah, tidak dihantar ke sekolah khas, tidak didedahkan kepada pusat latihan.

Bagi aku, ibu bapa perlu berani keluar dari zon keliru ini. Dapatkan maklumat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, dari sekolah khas, dari pusat latihan orang buta. Dan yang lebih penting, belajarlah menerima keunikan dan kemampuan anak seadanya.

Tidak semua anak mampu cemerlang dalam akademik. Ada yang berjaya dalam bidang kemahiran, sukan, atau pekerjaan teknikal. Apa yang mereka perlukan hanyalah sokongan dan kepercayaan.

Kemudian aku melihat pula realiti dunia kerjaya golongan buta. Di sekolah, kita sering dengar guru memberikan harapan tinggi kepada pelajar cemerlang — untuk jadi pensyarah, peguam, doktor dan sebagainya. Tetapi realiti di luar pagar sekolah sangat berbeza.

Aku kenal ramai rakan buta dan rabun yang memiliki kelulusan tinggi, ada yang tamat sarjana, malah ada juga yang memiliki PhD. Namun, berapa ramai yang benar-benar berjaya masuk ke sektor awam atau swasta yang bersesuaian dengan tahap kelulusan mereka? Boleh dibilang dengan jari.

Selebihnya? Ramai yang bekerja dalam NGO komuniti buta, atau membuka kedai urut. Bukan aku memandang rendah bidang itu. Tapi sampai bila sistem kita mahu terus membiarkan golongan ini mengejar impian yang kabur kerana peluang yang tidak adil?

Aku berpendapat, sudah tiba masanya sistem pendidikan kita digubal. Kenapa tidak diwujudkan satu aliran khas sejak sekolah rendah — yang benar-benar menekankan kemahiran vokasional seperti refleksologi, urutan, penyiaran radio, atau bidang lain yang sesuai? Jadi, dari awal lagi mereka tahu ke mana arah yang boleh dituju.

…Mereka Bukan Hanya “Anak Syurga”, Mereka Juga Manusia Biasa

Satu lagi perkara yang sering aku perhatikan ialah bagaimana masyarakat meletakkan label yang terlalu ideal terhadap orang buta. Mereka dipanggil “anak syurga” — dengan nada penuh simpati, seolah-olah hidup mereka hanya layak dikasihani, bukan dihormati.

Aku tidak menolak niat baik di sebalik gelaran itu. Tetapi bila gelaran itu digunakan secara berlebihan, ia sebenarnya menafikan hakikat bahawa mereka juga manusia biasa — ada cita-cita, ada kelemahan, ada potensi, dan ada keinginan untuk berdikari.

Terlalu memuji dan mendewakan golongan ini dengan kata-kata seperti “mereka semua pasti masuk syurga” atau “biarlah dia, dia dah cukup istimewa,” akhirnya menjadikan mereka dikecualikan daripada peluang dan cabaran dunia nyata.

Mereka tidak dimotivasikan untuk maju kerana orang sekeliling terlalu cepat “memaafkan kekurangan” dan tidak memberi ruang untuk membuktikan kebolehan.

Apa yang lebih menyedihkan, stigma ini menjalar ke tempat kerja.

Ramai majikan tidak percaya kepada keupayaan golongan buta, walaupun kelayakan mereka sama atau lebih tinggi daripada calon celik. Mereka risau kononnya golongan ini akan menyusahkan operasi syarikat, tidak cekap, atau tidak boleh berdikari.

Sedangkan hakikatnya, ramai dalam kalangan orang buta yang lebih berdedikasi, teliti, dan rajin jika diberi peluang dan latihan yang sesuai.

Aku pernah melihat rakan buta mengendalikan perisian komputer yang kompleks hanya dengan bantuan screen reader.

Ada yang mampu menganalisis data, menulis laporan, dan memberi ceramah motivasi yang menyentuh jiwa — tapi tidak dipanggil temuduga pun, hanya kerana status oku dalam borang permohonan.

Ini bukan soal kasihan. Ini soal keadilan.

Masyarakat perlu berhenti melihat orang buta sebagai beban, sebagai insan yang “tidak boleh buat apa-apa”. Apa yang mereka perlukan hanyalah akses kepada peluang , bukan simpati kosong.

Sehingga hari ini, orang buta masih lagi dipandang dengan stigma dan stereotaip. aku tidak salahkan masyarakat. Mungkin mereka tidak tahu. Tapi kita tidak akan tahu jika tidak diberi peluang.

Orang buta sama seperti kita yang celik. Ada yang cerdik, ada yang sederhana, ada yang nakal, ada yang lembut. Jangan disama ratakan dan terus anggap semua orang buta ini tidak berguna.

Kalau begitu logiknya, aku juga boleh kata semua orang celik itu tidak berguna hanya kerana mereka tidak tahu baca Braille atau guna gajet bersuara.

Setakat ini dahulu coretan aku. Mungkin suatu hari nanti, akan wujud satu sistem sokongan yang menyatukan ibu bapa dan pakar dalam bidang OKU penglihatan — agar dapat sama-sama membina masa depan yang lebih bermakna untuk generasi mereka.

– BungA RayA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *