Bisnes Networking

Hi korang. Dari tajuk ni mungkinlah ada segelintir yang dah tahu aku nak cakap pasal apa.

So kalau perasan, ada satu perniagaan networking ni tiba-tiba mencetus satu fenomena. Mungkin sebab dulunya tak ada social media nak hebohkan bisnes ni. Sekarang macam-macam platform tersedia untuk war-warkan bisnes ni.

Tak dinafikan bisnes ni memang bagus. Sistem pun bagus. Yang tak bagusnya, orang-orang yang membawa bisnes ni.

So, adalah sorang hamba Allah ni try approach aku dan ceritakan perihal bisnes ni. Aku ni surirumah je tapi ayat dia tu nyirap mak, nyah. Kau dengar eh dia cakap macam ni kat aku.

“Ira duduk rumah dari tak buat apa, baik Ira buat bisnes ni, boleh bantu suami”

Dan aku pun macam eh eh, mana kau tahu aku tak buat apa? Punyalah aku bersilat dekat rumah ni Allah saja yang tahu.

Boleh jadi baju tu sendiri masuk mesin dan tiba-tiba dah bersidai? Tiba-tiba dah berlipat? Ni lantai ni boleh jadi dia berkilat aje? Memanglah aku pakai robot kura-kura tu tapi kalau aku tak picitkan butang dia, mana mahunya dia berjalan kan.

Aku pun ada meniaga juga buat kuih talam, hantar ke kedai-kedai, bukan kata duduk saja. Letih memang letih. Kuih talam ni renyah. Tapi permintaan sentiasa ada. Majlis-majlis orang kahwin mesti nak ada kuih talam. Itulah usaha aku nak bantu suami dari segi kewangan.

Dah dia pula cakap,

“Baik kita letakkan usaha kita pada tempat yang betul”

Mana kau tahu usaha aku ni bukan pada tempatnya?

“Nanti esok kalau dah sakit, dah tak boleh niaga, maknanya tak ada income lah kan? Tapi dengan bisnes ni, bila dah tak nak buat pun, duit masuk. Boleh diwariskan kepada anak-anak.”

Tang ayat tu yang buat aku daftar ahli. Tambah pulak dia kata,

“Tak ada modal. Tak ada simpan stok. Tak payah menjual”

Haderrr. Kau sabar aku cerita.

Lepas dah sign up, aku pun semangat sebab kononnya dah terbakar dek kata-kata dia tadi tu.

Kelas online aku ikut. Kelas offline aku pun aku ikut. Sampai order kuih talam aku ada yang terpaksa aku batalkan. Sibuk dengan aktiviti bisnes baru.

Tadi dia kata tanpa modal kan. Tiba-tiba dalam kelas dia hasutnya kita beli itu ini. Ni aku pendek-pendekkan cerita. Nak cerita terperinci nanti terjadi novel.

Total hangus aku semenjak aku join jadi ahli adalah sebanyak lebih RM10k. Tu belum termasuk pergi seminar, duit hotel, duit tol. Kau rasa? Celah mana tanpa modal?

Tapi dia cakap “awak beli untuk awak pakai, bukanlah dikira modal”.

Sebelum aku join ni, elok je hidup aku tak pakai pun okay. Dan dan bila join, tiba-tiba aku rasa aku kena makan itu, makan ini, pakai itu, pakai ini. Aku macam kena pukau tapi kata positifnya, baru ada kesedaran.

Tapi aku nak cakaplah, arwah nenek aku hidup 90 tahun tanpa makan benda-benda ni, tanpa pakai ni semua, alhamdulillah. Sampai masa dia pergi.

Kita ni umat nabi Muhammad saw, jauh mana umur kita boleh pergi kan. Ayah aku meninggal umur 63 tahun. Ayah aku makan supplement brand bisnes ni. Dah sampai masa, pergi juga.

Katanya tanpa pegang stok. Sekali dalam kelas, tajuk utama malam tu “pengurusan stok”. Kena ada stok juga rupanya.

Kita pun ikut. Beli barang nak genapkan point punya pasal, jadikan benda tu sebagai stok. Alasan kena ada stok, “nanti orang nak beli senang, barang dah ada kat kita”

Awal-awal cakap, kita tak jual product. Kita jual ilmu ayat dia. Bila aku dah join kelas, macam mana pun ilmu kau bagitahu kat orang, kau cerita dekat orang, kau tetap kena close. So, jual product tak? Jual. Bila tak close dia kata, kita belum cukup ilmu. So memang kena pergi kelas selalu.

Aku terlalu sibuk dengan kelas sampai aku rasa aku terlalu bagi masa aku dekat bisnes ni. Anak-anak aku terabai. Mak aku sampai terkecil hati dengan aku sebab aku tak banyak luangkan masa dengan dia.

Pagi ada booster pagi, malam ada kelas. Nanti bila tiba waktu, ada seminar. Kesian anak-anak aku. Mak aku. Sampai aku terfikir, takkan 24 jam aku kena cakap benda ni? Macam tak ada life. Aku rindu life aku yang dulu.

So datang lah sorang dia cakap, bisnes ni bukan bisnes semata tapi it’s your lifestyle. Kau memang kena cakap 24 jam. So aku rasa ini bukan aku. Bisnes ni terlalu duniawi. Mati pun akan dapat duit.

Mungkin untuk orang lain, dia teruja. Tapi aku sebenarnya jadi lebih takut. Orang kaya yang banyak harta adalah orang yang lambat masuk syurga kerana banyak yang perlu dihisab.

Biarlah aku macam ni, ndak mengapa. Dia kata sejak dia join bisnes ni, “everyday is Sunday”. Aku sebelum aku join bisnes ni, tiap-tiap hari pun Sunday aku. Mana aku nak pergi, aku pergi. Aku nak makan apa, aku makan. Aku bebas.

Aku mungkin tak banyak duit macam orang yang hidup dengan bisnes ni, tapi aku bahagia dengan cara aku. Kalau hari-hari cakap pasal bisnes ni, ‘Sunday’ apanya?

Aku lagi suka hidup aku tanpa diganggu, tanpa perlu rasa tanggungjawab kepada orang bawah. Cukuplah dengan tanggungjawab aku sebagai isteri, sebagai mak, sebagai adik bongsu dalam keluarga, sebagai anak yang kena jaga mak aku.

Setahun aku berada dalam bisnes dan aku dah capai 4 angka income. Tapi buat aku penat bila masuk bulan baru aku kena genapkan point aku. Aku kena all out.

Orang-orang bawah aku masuk sebulan dua, dah keras, tak gerak. Zaman keras ni susah orang nak berbelanja beli barang yang harganya agak mahal.

Aku terima pelbagai rejection “dari saya beli vacuum awak yang harga sedemikian, baik saya beli jenama X, fungsinya sama. Daripada saya nak menanggung hutang setiap bulan”

“Kalau macam ni sikap awak, awak bukan leader!” Dijeritnya ke kita sebab kita tak gerak. Macam aku pulak kerja sama dia. Dia sedar tak point-point barang yang aku beli, yang aku jual semua pergi kat dia tapi bukan dia yang bayar gaji aku.

Tadi kata tak perlu jual barang, tak perlu maintain. Lepas tu suruh promote product pulak, wajib capai 50point setiap bulan supaya aku dapat merasa hasil pembelian downline aku.

Dia push aku, dia kata buat bisnes ni gila-gila selama 2 tahun saja lepas tu aku akan rasa manisnya. Aku dah buat setahun tapi masih jauh. Hakikatnya ramai yang dah bertahun masih di tempat yang sama. Banyak terlepas masa dengan family. Ada kerja kahwin pun tak pergi sebab nak join kelas.

Bagi aku, ada 1000 macam cara nak jana income. Selagi mana kita usaha, rezeki kita tu ada. Rezeki kan Allah dah tetapkan. Yang penting jangan kita tipu orang, aniaya orang, kita buat kerja yang berkat dan diredai.

Aku start tak minat bila dia cakap macam bisnes lain semua tak bagus, bisnes ini paling terbagus. Bagi aku, jangan kau perlekehkan usaha atau bisnes orang lain sebab kau dah berjaya. Kau berjaya bukan sebab bisnes tu tapi Allah yang izinkan kau berjaya dalam bisnes tu.

Aku tak nafikan bisnes ni memang bagus, sistem dia adil, kau buat kau dapat, kau susah nak jatuh senang cerita memang takkan jatuh, melainkan orang berhenti membeli.

Product-prodcut dia pun bagus tapi orang yang membawa bisnes ni yang bikin rusak. Kau jangan tipu dan jangan ajar orang lain menipu. “Bukan bohong cuma berhelah”. Apa bezanya?

Semua bisnes pun networking. Aku niaga talam pun ada networking aku. Aku kenal orang hotel, orang katering, owner-owner kedai makan. Aku tahu sebab tu aku antara prospek yang bagus supaya boleh membawa kau ke networking aku.

Setahun aku buat bisnes ni dan aku perasan ramai yang mula menjauh dari aku.

Sekarang aku dah stop.

“See you on top, madam.”

– Ira (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Itu la jangan mudah terpengaruh.. elok2 je jual kuih talam.. tak perlu keluar duit, duit datang.. ni tak.. duit keluar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *