Bodohkah Aku?

Assalamualaikum buat semua pembaca IIUM Confession yang amat saya kasihi.. Kenalkan nama saya Ana, merupakan seorang mama kepada dua orang cahaya mata dan semestinya nama samaran dan saya berharap agar profile saya dirahsiakan..

Saya berharap sangat confession saya ini disiarkan agar beban yang saya tanggung terluah, kalau tak tersiar admin je lah yang tahu sebab dah baca luahan saya ini.. Hehe..

Hari ni pada tarikh 16 OCTOBER 2024 (saat article ini ditulis) saya kena scam untuk kesekian kalinya, puncanya kerana saya mohon personal loan secara dalam talian sebab saya tidak menepati kriteria untuk mohon loan dengan bank…

Kerana saya juga merupakan seorang agen takaful dan agen loan yang mana syarikat saya bekerja menjalinkan usaha sama dengan beberapa buah bank,

Dan apabila loan saya ditolak saya mencuba untuk mencari pinjaman wang secara dalam talian yang tidak memerlukan dokumen yang rumit seperti memohon pinjaman wang dengan bank..

Betullah kata orang hidup ini ibarat roda sekejap kita di atas, sekejap kita di bawah dan begitulah juga dengan kehidupan saya.

Semuanya berubah setelah kematian arwah ayah saya, arwah meninggalkan aset berpuluh juta di dalam negara termasuk aset² yang arwah miliki di luar negara dan setelah kematian arwah,

Adik beradik arwah menuntut harta arwah ayah saya kerana arwah ayah saya dan emak tidak mempunyai anak kandung dan mereka mengambil saya serta adik beradik saya yang lain sebagai anak angkat,

Tetapi kasih sayang mereka melebihi kasih sayang seorang ibu bapa kandung bahkan hingga ke akhir hayat arwah, arwah tidak pernah cakap kami ni bukan darah daging arwah sebab arwah seboleh mungkin menutup kebenaran ini daripada kami semua.

Kami adik beradik diambil sebagai anak angkat ketika usia kami 2 hari dan hingga ke saat ini kami tidak pernah kenal mahupun tahu siapa ibu bapa kandung kami.

Arwah ayah sebelum meninggal dunia telah menukar harta² arwah kepada nama kami adik beradik ketika hayatnya dan ada di antaranya arwah hibah pada kami tetapi adik beradik arwah saman kami dan menuntut hak mereka di mahkamah syariah dan saya secara sedar, sedar saya tidak layak atas semua ini kerana mereka yang lebih layak,

Maka kami adakan perbincangan melalui peguam masing² untuk menjual salah satu aset arwah ayah saya yang dihibahkan kepada kami buat adik beradik arwah..

Namun mereka menolak dan mahukan semua tanah, rumah dan kereta dan aset2 yang lain yang sememangnya nama kami bertahun-tahun sebelum arwah ayah meninggal menjadi milik mereka dan disebabkan itu kes kami masih tidak selesai meskipun lagi setahun dua genap sudah 10 tahun arwah ayah meninggal dunia..

Saya sedar siapa saya dan disebabkan itu saya mohon budi bicara dengan mereka untuk menjual salah satu aset dan duit jualan tersebut mereka boleh ambil kesemuanya.. tapi mereka tamak dan mahukan kesemua harta arwah ayah meskipun telah ditukar nama kepada nama kami adik beradik ketika hayat arwah ayah masih lagi hidup kerana mereka mahu kami hidup merempat..

Allah menguji saya dengan masalah kewangan beberapa bulan yang lepas setelah duit simpanan saya semuanya dihabiskan untuk saya membeli barang² rumah, di rumah sewa dan saya hanya mampu bertahan duduk di rumah sewa hanya 2 bulan lebih kerana rumah tersebut berhantu dan anak² saya selalu diusik..

Maka saya kembali ke rumah peninggalan arwah ayah yang sememangnya arwah telah memindahkan hak milik rumah termasuk tanah² di dalam halaman rumah ini kepada nama saya,

Tujuan saya berpindah ke rumah sewa kerana saya rasa tercabar dan marah apabila saya tidak diberikan hak untuk menegur, menasihati dan memarahi anak yang saya kandung dan lahirkan oleh emak dan abg saya kerana mereka terlalu sayangkan anak-anak saya,

Sehinggakan banyak kali saya hampir ditampar serta hampir dipukul kerana saya memarahi anak saya supaya jaga adab dan jangan cakap yang bukan-bukan sehinggakan anak sulong saya sendiri panggil saya dengan panggilan “Babi” sebab tiadanya hormat dia terhadap saya kerana setiap kali saya nasihat dan tegur akan ada orang yang selalu sebelahkan dia..

Untuk pengetahuan saya tidak pernah naik tangan atau kaki pada anak-anak saya hanya mulut saja yang bising pot pet pot pet..

Sudahlah duit habis kerana membeli semua kelengkapan di rumah sewa, duit deposit serta duit bil elektrik tuan rumah yang hampir dipotong oleh pihak TNB juga saya yang bayar kesemuanya sebab tuan rumah minta tolong suruh bayar dulu dan cakap boleh tolak dari sewa setiap bulan selama setahun,

Sedangkan bil elektrik tersebut dia dan keluarganya yang guna dan orang tnb hadir ke rumah sewa tersebut bila saya sedang memasukkan barang² saya ke dalam rumah sewa tersebut dan akhirnya apabila saya keluar awal dia enggan menyerahkan duit deposit dan duit bil eletrik yang saya tolong bayarkan dan kenapa dia berani buat macam tu?

Kerana tiada surat perjanjian sedangkan saya berkali-kali dah suruh buat surat perjanjian siap tolong buatkan lagi tapi dia tak tandatangan dan dia mengatakan tak perlu surat perjanjian sebab leceh dan dia kenal dengan suami saya sebab dia atasan suami saya dan dia berpindah kerana ditukarkan kerja ke negeri lain..

Allah uji saya dengan suami yang tidak pernah cukup dengan seorang isteri dan kaki perempuan, dia tak kira perempuan tersebut tua, hodoh, bodoh atau cacat sebab semuanya dia layan dan di tiktok dia penuh dengan dia menghantar chat secara random kepada wanita² dengan meminta nombor talefon mereka,

Dan yang paling saya terasa sekali kecurangan dia bila dia curang dengan seorang perempuan yang berbelas² tahun saya kenal dan hubungan kekeluargaan kami memang rapat dan mereka bercinta dalam diam sedangkan perempuan tersebut tahu dia suami saya tapi dia tetap melayan siap suami saya belikan perempuan tu cincin di hari ulang tahun pernikahan kami,

Sedangkan dengan isteri sendiri ucapan juga tidak ada apatah lagi hadiah dan apabila saya mengetahui kecurangan mereka, saya meminta perempuan tersebut datang ke rumah saya untuk bersemuka dan dia datang bersama abang-abangnya dan bila tengok dia turun dari kereta semua rasa marah saya pada dia serta merta padam sebab apa?

Sebab saya baru terlintas dia mempunyai IQ yang rendah dan jenis lurus bendul serta mudah terpedaya dan dengan suami saya yang buaya darat lagilah mudah untuk dia gunakan.

Saya dah puas meminta untuk dilepaskan sebab penat hidup dengan suami kaki perempuan dan narcissistic, dia tak pernah mengaku semua kesalahan yang dia buat meskipun bukti ada siap perempuan tersebut mengaku semuanya dan tidak pernah ada kata² maaf yang terucap di bibirnya di atas semua kesalahan-kesalahan yang pernah dia lakukan..

Selagi hidup selagi itulah kita akan diuji dan Allah tidak akan menguji sesuatu diluar kemampuan kita, namun saya betul-betul terseksa apabila Allah menguji saya dengan masalah kewangan kerana saya merasakan saya gagal sebagai seorang mama buat anak² saya sebab saya tak mampu nak beli dan sediakan keperluan asas kepada mereka apatah kemahuan mereka,

Dan saya dah puas meletakkan maruah saya di kaki dengan mengiklankan di semua kumpulan jual nombor plate kenderaan di Facebook serta menghubungi ejen untuk menjual nombor plate saja sebab saya masih perlukan kereta dan sekarang kereta saya tersadai sebab rosak dan kos membaiki memang mahal sebab kereta import dan jenama mercedez,

Siap saya pernah diejek oleh ejen nombor plate mengatakan harga yang letakkan mahal dan nak beli tak nombor plate yang digitnya sama seperti nombor plate kenderaan saya sedangkan saya siap² cakap sebelum itu bahawa harga boleh dirunding lagi dan boleh diturunkan.

Saya juga letakkan maruah saya sebawah-bawahnya dengan mencuba mesej langsung (direct message) di Instagram kepada usahawan-usahawan Kelantan seperti Cik Na (Farhana Zahra), Dato’ Sri Vida dan saya baru sahaja menghantar direct message kepada Neelofa tadi.

Kenapa saya fokuskan pada mereka sebab saya berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan hanya orang Kelantan yang boleh membeli tanah di Kelantan dan saya juga pernah private message Doktor Hanan Yusuf (Hanan Medispa) di tiktok dengan mengatakan saya nak jual tanah dan nombor plate tetapi kesemua yang saya pernah direct message atau private message semuanya tak pernah berbalas.

Saya nak jual tanah untuk kelangsungan hidup saya dan anak-anak sebab anak-anak saya hanya ada saya untuk menyara mereka lagipun tanah saya nama bersama dengan mak saya dan mak saya dah awal-awal cakap 95% hasil duit tanah mak saya nak jadi bahagian saya hanya 5% dan saya tak kisah asalkan saya boleh jadikan modal untuk berniaga,

Sebab pekerjaan saya sekarang hanya lah komisen semata-mata bukannya gaji tetap dan saya ada mengupah broker untuk mengiklankan tanah saya untuk dijual tetapi hingga kini tiada sesiapa yang mahu beli sedangkan lokasi strategik di tepi jalan dan sesuai untuk dibuat wisma dan lot-lot kedai..

Jujur saya cakap, saya sangat-sangat terkesan bila saya tak mampu nak cukupkan keperluan asas anak-anak saya yang masih kecil sehinggakan saya berkali-kali terpikir ingin tamatkan riwatat hidup saya namun nasib baik masih ada secebis keimanan,

Dan bila saya tengok anak-anak saya terus saya peluk mereka sambil cakap yang saya minta maaf sebab tak mampu nak penuhi semua keperluan mereka lagi,

Sebab itu saya sanggup memohon pinjaman dalam talian dengan harapan saya akan bayar dengan duit sewa dari penyewa (arwah ayah tinggalkan saya dengan aset seperti tanah dan bangunan untuk diberi sewa) setiap bulan tanpa saya ketahui akhirnya saya kena tipu dan menjadi mangsa scam..

Bodohkan saya suami curang berkali-kali dengan berpuluh-puluh wanita yang berlainan tetap bertahan (saya dah puas minta dilepaskan, dia yang tidak mahu lepaskan saya) dan anak-anak saya hanya takut dan hormatkan papa mereka bukannya saya.

Jadi peranan dan sosok seorang ayah memang anak-anak saya perlukan dan bodohkan saya walaupun kerja dengan syarikat yang bekerjasama dengan bank tapi kena tipu juga dengan scammer hingga duit nak beli susu pun tiada sebab kena tipu dengan scammer hari ni.

RM2,000 duit saya lesap hari ni dan bagi orang lain mungkin jumlah tersebut kecil tapi bagi saya besar nilainya.. Saya tak kuat bila anak-anak saya juga turut terkena tempias ujian yang saya alami, kalau saya seorang saja yang diuji emosi dan mental saya kuat..

Tapi bila anak-anak saya minta dengan saya untuk beli barang tapi saya tiada duit untuk beli rasa macam diri saya mama yang tak berguna kerana saya isteri yang tidak dinafkahi dan suami saya hanya menampung dirinya sendiri serta memberikan duit kepada ibunya,

Manakala isteri serta anak-anak terabai dan saya sangat segan apabila terpaksa susahkan emak saya dengan keperluan anak-anak saya..

Doakan agar saya tabah menghadapi semua ujian dan dugaan ini ye dan tolong doakan agar ada orang yang nak beli tanah saya agar saya dapat teruskan kelangsungan hidup saya bersama anak-anak saya..

Untuk maklumat semua duit sewa tanah dan bangunan walaupun telah ditukarkan kepada nama saya tetapi semua hasil sewa saya bagi pada emak dan tiada satu sen yang tinggal untuk saya kerana saya sedar siapa saya dan itu saja cara saya membalas budi emak yang telah besarkan kami adik beradik dengan penuh kasih dan sayang,

Walaupun kadang-kadang saya terasa hati bab anak-anak saya bila saya tak diberikan hak untuk menasihati, menegur, mendidik dan memarahi anak yang saya kandung dan lahirkan sebab emak saya terlampau sayangkan kesemua cucu-cucunya sebab itu dia bersikap sedemikian.

Tolong doakan agar usia emak saya panjang, diberikan rezeki kesihatan yang baik, dikurniakan rezeki yang melimpah ruah dan sentiasa bahagia bersama anak-anak serta cucu-cucu sebab saya masih belum dapat membalas budi dan hutang nyawa kepada emak saya kerana membesarkan kami adik beradik dengan penuh kasih dan sayang melebihi kasih dan sayang ibu kandung..

– Ana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *