Satu perkataan yang menakutkan. Tiada siapa pun yang inginkan status atau gelaran ini. Rata-ratanya tiada pilihan dan redha dengan apa yang berlaku.
Bila dapat sehelai kertas yang dipanggil Notis Tuntutan dari firma guaman, lepas itu terima pulak Writ Saman dan diikuti dengan Perintah Kebankrapan pastinya hidup kita dah tak tenang seperti dulu.
Jika kita berhutang dan kemudian tak mampu bayar pasti tiada ketengangan dalam jiwa. Hanya Allah sahaja yang tahu.
Sama juga jika orang lain yang berhutang lepas itu kita jadi Penjamin dan kemudian Peminjam tak mampu bayar, bank dah mula kejar kita.
Kesan Bankrap ini ada banyak. Salah satunya tak boleh keluar negara sesuka hati,
Kemudian aset – aset dirampas dan diuruskan oleh Ketua Pengarah Insolvensi dan macam-macam lagi implikasi apabila diisytihar sebagai seorang yang bankrap atau juga dikenali sebagai muflis.
Jaditu, tak heranlah kenapa ramai akan berfikir banyak kali sebelum terlibat dengan urursan-urusan berkaitan Pinjaman ini, terutamanya sekiranya mereka diminta untuk menjadi seorang Penjamin.
Sewaktu Peminjam ingin meminta bantuan kita jadi Penjamin memang pelbagai janji manis yang dibuat.
“Jangan risau, saya tiada masalah nak bayar bulan bulan sebab ada steady income”.
“So far semua hutang saya tak ada tunggakan. Rekod saya bersih. Jangan risau. Sign je Letter of Guarantee ini”..
“Takkan lah adik beradik sendiri pun tak boleh tolong?”
Kemudian janji tinggal janji.
Okey jom kita straight to the point. Apa itu Social Guarantor (Penjamin Sosial)?
MAKSUD PENJAMIN SOSIAL?
Penjamin yang tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada pinjaman diistilahkan sebagai ‘penjamin sosial’ (social guarantor).
Mereka terdiri dari mereka yang menjamin untuk :
– pembiayaan menyambung pelajaran,
– pembelian kenderaan persendirian ataupun
– pembelian rumah sebagai tempat tinggal.
Maksudnya semua Pinjaman kat atas ini untuk KEGUNAAN PERIBADI.
Jadi berbalik kepada persoalan tadi, bolehkah penjamin sosial ini dibankrapkan di Mahkamah?
Haa, jawapannya ya dan juga tidak, bergantung kepada bila kes dihadapkan ke Mahkamah dan undang-undang yang terpakai pada masa itu.
SEBELUM 6 OKTOBER 2017 :
Jika kes diputuskan sebelum 6 October 2017, seorang Penjamin sosial boleh dibankrapkan oleh Mahkamah mengikut Seksyen 5(3) Akta Kebakrapan 1967.
Tapi syaratnya, Pemberi Pinjaman mestilah berjaya membuktikan kepada Mahkamah bahawa dia telah menggunakan segala kaedah dibawah undang-undang bagi menuntut hutang daripada penerima pinjaman.
Dalam erti kata lain bukan senang nak bankrapkan Penjamin Sosial tetapi ianya tak mustahil.
SELEPAS 6 OKTOBER 2017 :
Sebaliknya, jika kes dihadapkan pada atau selepas tarikh yang disebutkan di atas Penjamin sosial SELAMAT daripada kebankrapan.
Ini kerana seksyen tersebut di bawah akta yang kini digelar Akta Insolvensi 1967 telah dipinda dan kesannya ialah ‘immunity’ penuh diberikan kepada Penjamin sosial daripada tindakan kebankrapan.
Tapi awas, ini tak la bermakna kita boleh dengan sewenang-wenangnya percaya dan bersetuju untuk menjadi Penjamin sesiapapun. Tetap ada risiko dan liabiliti.
TETAP BOLEH DISAMAN.
Walaupun tidak mungkin bankrap, Penjamin tetap boleh disaman.
Harta mereka juga mungkin akan menjadi taruhan dan tindakan-tidakan lain masih boleh dilakukan ke atas mereka selaras undang-undang yang berkaitan.
Maka, sentiasalah berwaspada sebelum bersetuju untuk menjadi penjamin kepada apa-apa pinjaman dan jadilah seorang yang bijak merancang kewangan dan pandai menilai komitmen sebelum berhutang.
Biarlah orang nak kata apa pun asalkan kita tak risikokan masa hadapan kita yang mana pasangan atau anak anak kita juga boleh terkesan tau.
APAKAH HAK-HAK PENJAMIN :
1) Hak untuk diberikan salinan Surat Jaminan (Letter of Guarantee), atau Kontrak Jaminan atau sebarang dokumen berkaitan.
2) Hak untuk mendapat nasihat guaman sebelum menurunkan tandatangan.
3) Hak untuk mengetahui status atau baki akaun Peminjam yang tertunggak (tertakluk kepada persetujuan Peminjam).
4) Hak untuk menggesa/ meminta Peminjam menyelesaikan baki pinjaman yang tertunggak untuk melepaskan liabiliti Penjamin.
5) Hak untuk mendakwa Peminjam sekiranya Penjamin telah menyelesaikan tunggakan pinjaman tersebut bagi pihaknya.
NASIHAT UNTUK PEMINJAM :
Bagi Peminjam pula, jika dah berhutang dan berada di air yang keruh, untuk elakkan tindakan kebankrapan :
1) Runding dengan Pemberi Pinjam /Bank untuk tempoh & kadar bayaran mengikut kemampuan.
2) Jangan lari dari hutang atau hanya diamkan diri.
3) Jika terima sebarang Notis Tuntutan atau Writ Saman, lantik Peguam dan hadir ke Mahkamah. Ini untuk elakkan Penghakiman Ingkar Kehadiran direkodkan.
4) Pemberi Pinjam (Bank) pasti akan terima cadangan kita selagi mana ada usaha dan rasa tanggungjawab untuk membayar. Ini lebih baik dari diamkan diri sahaja.
5) Ingatlah hutang wajib dibayar walau tak dituntut. Apatah lag jika dituntut dan jika ia melibatkan orang lain iaitu Penjamin pula.
6) Dapatkan lah nasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) secara percuma.
7) Boleh layari laman web https://www.akpk.org.my/ untuk mendapatkan temu janji di cawangan yang berhampiran.
Moga kita diluaskan rezeki dan dilindungi dari cengkaman hutang.
29.03.2023 | Johor Bahru
oleh :
– Shada Mazan
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit