Hari ini merupakan hari yang paling bermakna untuk hidup aku. Tanpa insan yang bergelar “Bonda” , takkan ada aku yang sekarang. Semoga bermanfaat untuk setiap pembaca. Yang baik itu semua dari Allah swt, yang kurang itu dari kita sendiri.
Aku merupakan anak tunggal dalam keluarga, tiada abang, kakak mahupun adik. Tapi walaupun anak tunggal aku dibesarkan dengan cara didikan yang tegas. Boleh dikatakan mak aku ni memang garang dan suka berleter. Masa aku Form 1, mak aku dah hantar masuk sekolah berasrama. Bergenang jugak lah air mata masa tu. Pernah la rasa give up nak minta tukar sekolah tapi tak berani nak cakap dengan mak aku. Aku pun cakap dengan abah minta nak tukar sekolah. Jawapan abah aku “Tanya mama bagi ke tak.” Hmmm. Dah tahu dah apa jawapan mak aku. Selepas kena brain wash dan kena bebel dengan mak aku bertahan la aku kat sekolah berasrama tu sampai lah tamat SPM.
Perjalanan hidup aku bukan lah mudah. Abah aku meninggal masa umur aku 15 tahun. Aku dah on the way balik ke asrama. Mak aku yang hantarkan masa tu. Tiba-tiba dapat panggilan telefon dari mak saudara aku cakap abah aku dah tenat dekat hospital. Aku nervous sangat dah masa tu. Macam tak percaya sebab tadi sebelum gerak balik abah aku masih okay. Kami terus gerak ke hospital. Sesampai di hospital aku tengok badan abah aku dah penuh dengan wire, ramai doktor dan nurse di sekeliling katil abah aku. Keadaan masa tu kelam-kabut. Doktor minta aku tunggu kat luar, mak aku sorang je yang masuk masa tu. Aku tunggu di sofa untuk pelawat , tak sampai lima minit mak aku keluar dan terus peluk aku sambil menangis. “Kakak, abah dah tak ada.” Mak aku ni seorang yang kuat semangat. Aku tak pernah nampak mak aku menangis. Itu lah kali pertama aku nampak mak aku menangis.
Bermula dari saat itu, hidup lah aku berdua dengan mak aku. Bermula dari saat itu jugak lah aku jadi takut kehilangan mak aku sebab aku tak tahu aku boleh ke tak nak hadapi kehilangan tu. Aku selalu berdoa supaya Allah lindungi mak aku walau di mana sahaja mak aku berada. Mak aku duduk sorang je kat rumah. Aku risau kalau apa-apa terjadi dengan mak aku. Aku selalu berdoa supaya mak aku dipanjangkan umur, sempat tengok aku berjaya, sempat merasa gaji pertama dari aku. Aku punya takut tu sampai kadang-kadang bila dah masuk bulan ramadhan aku terfikir agak-agak sempat lagi tak tahun depan nak berpuasa dengan mak aku. Padahal masa tu mak aku sihat je , tapi perasaan takut tu lebih menguasai diri.
“Allah tidak akan menguji hambaNya melebih apa yang kita mampu.”
Aku balik ke utara untuk menjalani latihan industri di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Semester ini merupakan semester aku yang terakhir sebelum bergraduasi. Dalam masa yang sama juga, mak aku ulang-alik ke hospital. Ada satu minggu tu, aku balik kampung naik bas. Mak aku datang jemput aku kat stesen bas. “Harini mesti last kakak balik naik bas. Lepasni kakak tak naik bas dah.” Amboiii mak aku ni dah tak bagi aku balik ke. Hahahaha.
Minggu yang seterusnya aku balik lagi sekali untuk teman mak aku ambil keputusan dari pihak hospital. Kami pun gerak ke hospital macam biasa, sempat sarapan sama-sama macam selalu. Sampai turn mak aku, kami pun masuk berjumpa doktor. Dengan tenang mak aku terima keputusan yang doktor bagi tanpa setitis air mata. She has been diagnosed to have a stage four cancer. Masa tu aku rasa hidup aku macam dah tak berjalan, aku tak tahu macam mana nak hadapi semua ni. Aku cuba kawal emosi tapi dalam hati hanya Allah yang tahu macam mana perasaan aku masa tu. Aku nampak mak aku sihat, tapi dengan tiba-tiba Allah uji dengan penyakit yang maha dahsyat. Aku menangis depan mak aku sebab dah tak termampu nak tahan air mata. Mak aku cakap kita boleh berubat dan ikhtiar. Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Aku tahu masa tu mak aku cuba untuk sedapkan hati aku. Aku tahu dalam hati dia bermacam-macam perasaan yang dia rasa. Tapi itu lah mak aku yang kuat semangat dari dulu sampai sekarang yang tak pernah tunjuk dia rasa lemah.
Sejak dari tu bermulalah episod kami keluar masuk dari hospital. Mak aku baru selesai first cycle chemotherapy, dan tengah tunggu kebenaran untuk pulang ke rumah. Alhamdulillah mak aku boleh adapt dengan ubat tu tak ada muntah-muntah. The first cycle went well, syukur. Sementara tunggu permission untuk keluar ward, aku minta izin mak aku untuk ke cafeteria sebab lapar. “Nanti kakak naik lah makan dekat atas duduk dengan mama.” Aku pun bungkus makanan dari cafeteria dan terus naik ke ward. Masa aku makan tu aku tersedar mak aku tenung muka aku dengan renungan yang jauh tapi tenang, sampai aku rasa segan. “Kenapa mama tengok kakak macam tu?” “Saja, mama nak tengok anak mama. Seronok tengok kakak berselera makan.”
Lepas dah selesai semua urusan kami pun kemas barang-barang untuk balik ke rumah. Aku tegur mak aku “ Kenapa mama nampak berseri-seri, mama pakai bedak apa?” Mak aku dalam nada bergurau terus jawab “ Ingat mama ni koman sangat ke? Mama bawa bedak dengan lipstick masa kita nak datang hospital haritu.” “Amboiiii, sempat lagi tu!”
Sehingga ke saat ini , sambil aku tulis confession ni aku masih boleh terbayang-bayang lagi muka berseri-seri mak aku. Itu lah kali terakhir aku nampak mak aku berseri dan secantik itu. Things started to change, tahap kesihatan mak aku semakin merosot. Hospital tu dah jadi macam rumah kedua kami. Aku minta cuti yang panjang dari pihak universiti untuk focus kepada mak aku. Aku sorang-sorang terkejar ke sana terkejar ke sini. Walaupun nampak susah tapi alhamdulillah Allah mudahkan semuanya. Masa ni aku cuba kuat di depan mak aku, aku cuba tunjuk aku ni kuat walaupun dalam hati aku dah remuk seribu. Selepas first cycle chemotherapy, rambut mak aku dah mula gugur.Mak aku cakap “rambut mama dah gugur.” Sedihnya aku masa tu hanya Allah yang tahu.
Dalam keadaan susah masa tu macam-macam benda aku belajar. Aku kenal yang mana betul-betul saudara, aku kenal mana yang berpura-pura. Aku kenal siapa kawan, aku kenal siapa lawan. Setiap hari aku sedapkan hati aku, mama akan sihat. Setiap hari aku kuatkan hati, aku letakkan tekad di dalam hati aku yakinkan diri setiap yang berlaku ada hikmahnya. Aku dah mula aware dengan persekitaran aku, aku dah mula alert dengan siapa yang boleh aku bergantung harap ,dengan siapa yang aku perlu berhati-hati. Dalam keadaan yang susah macam ni, pelbagai jenis orang yang aku jumpa. Sampai satu hari tu aku rasa lemah sangat-sangat. Aku cuba fikir apa yang sepatutnya aku buat. Aku jumpa jawapan yang satu. Aku mulai redha. Aku redha dengan ujian yang Allah bagi pada keluarga kecil kami. Dari redha tu aku mula mendapat kekuatan. Aku jaga mak aku seorang diri tanpa bergantung harap dengan siapa-siapa. Itu yang mak aku ajar dari aku kecil, hidup ni jangan menyusahkan orang. Kita cuba dulu sehabis kuat yang kita boleh. Satu persatu benda yang mak aku berleter dulu terngiang-ngiang kat telinga. Yang paling terkesan mak aku cakap “Apa yang mama dok berleter ni la yang akan berguna untuk kakak nanti.”
Ada suatu hari ni elaun praktikal aku dah masuk. Aku nak sangat mak aku happy walaupun dia tengah sakit. Birthday mak aku lambat lagi, tapi sengaja aku beli hadiah birthday awal-awal untuk mak aku. Aku beli pinggan dan mangkuk soup dari Corelle untuk mak aku. Mak aku ni memang suka kumpul set pinggan mangkuk, tapi nak beli satu set Corelle aku tak mampu lagi masa tu. Aku belikan sekali juice mixer untuk mak aku sebab masa sakit ni mak aku lebih suka minum fresh juice. Mak aku nampak happy dari hari yang lain. Tapi happy dia pun dah tak sama macam selalu. Mak aku lebih banyak diamkan diri dari bercakap. Aku rindu sangat mak aku, rindu nak kena berleter macam selalu. Aku sedapkan hati mak aku akan sembuh suatu hari nanti.
Hari ini merupakan hari yang paling bermakna untuk hidup aku. Aku berjaya melangkah setapak dalam kerjaya aku. Mak aku ni memang tegas bab pelajaran. Aku ni kalau dapat keputusan yang tak elok memang takut nak bagitau mak aku. Mak aku kan garang. Mak aku cakap “Kita ni tak banyak harta, tapi dengan pejaran kita boleh bawa diri.Sebab tu mama suruh kakak belajar rajin-rajin.”
Aku takkan mampu capai apa yang aku capai hari ini tanpa adanya “Bonda”. Terima kasih mama banyak ajar kakak tentang hidup. Terima kasih mama paksa kakak masuk sekolah berasrama penuh untuk kakak belajar berdikari dan kenal apa itu kehidupan. Terima kasih mama sebab mendidik kakak tanpa kenal penat lelah. Terima kasih mama atas segala titik peluh mencari rezeki untuk keluarga kecil kita.
Ramadhan kali ini merupakan ramadhan kedua tanpa mak aku. Benda yang paling aku takut akhirnya terjadi. Mak aku pergi selepas lapan tahun abah aku pergi. Aku masih ingat saat terakhir dan syahdu ketika aku cium dahi sejuk mak aku. Orang nampak aku kuat tapi hati aku rapuh. Satu persatu aku kutip semangat untuk hidup. Aku bergraduasi seorang diri tanpa mama di sisi sedangkan itu lah saat yang paling dinantikan seorang ibu. Bergenang air mata aku sewaktu melangkah masuk ke dalam dewan. Aku nak peluk mak aku dan cakap “Mama, kakak dah berjaya dapat segulung ijazah untuk mama.” Hari ini aku nak peluk mak aku dan cakap “Mama, kakak dah berjaya jadi seorang jurutera.” Tapi aku tahu semua tu tak akan dapat aku capai.
Aku tulis confession ini pada hari paling bermakna dalam hidup aku untuk aku sampaikan sesuatu buat pembaca. Setiap dari kita akan ada dugaan yang berbeza. Apa yang aku belajar dari hidup aku sendiri, belajarlah untuk redha dengan setiap ketentuanNya. Dari redha itu kita akan mendapat sedikit kekuatan. Teruskan melangkah walaupun kau tak punya ibu dan ayah. Teruskan berbakti untuk ibu dan ayah selagi kau masih punya masa. Damailah Bonda dan Ayahanda di sana.
Terima kasih untuk segalanya.
– Kakak
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit